Jumaat, 22 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ IKHLAS


















Perasaan ikhlas adalah milik Allah. Tidak semudah
kata-kata untuk mendapatkan perasaan ikhlas dalam 
semua aspek kehidupan. Semuanya adalah dengan keizinan
Allah.

Kerja syaitan memburu kita  dengan berbagai muslihat setiap
kali ingin  melakukan sesuatu kebaikan agar ianya tidak
ikhlas lillahitaala. Adakalanya setelah berpenat lelah melakukan
sesuatu tidak ada pahala yang kita dapat .  Ini adalah kerana
bukan datang dari perasaan  ikhas.

Kita buat kerana ingin dilihat oleh  guru besar atau sesiapa
sahaja yang dirasakan boleh memberikan  seuatu sebagai
balasan kepada kerja kita.

Kita lupa bahawa rezeki datang daripada Allah, bukan daripada
manusia. Kita lupa  Allah yang menentukan segala-gala.

Mengenangkan seseorang menyebabkan aku menulis
tajuk  ini.

"Aku nak cakap kau marahtak Mah?" kata guru senior itu
semasa membantu aku menggantung gambar di dinding kelas.

(Kerana terlalu rapat dia memang selalu membahasakan diri
"aku" apabila kami berbual ).

Aku memandang wajahnya dengan penuh tandatanya.

"Cakaplah, saya tak marah" jawabku  dengan debaran.
Apakah yang ingin dikatakan guru itu.

Guru itu adalah seorang guru senior yang  amat komited.
Sebenarnya dia telah layak untuk menjadi seorang  penyelaras.
Tetapi dia menolak dengan berbagai alasan. Akhirnya aku
yang telah memegang jawatan itu.

Dia begitu banyak membantuku  dalam keceriaan kelas.
Terlalu banyak yang telah dilakukan. Tidak dapat hendak
dikira dengan jari.

"Kalau ikutkan hati, aku malas nak tolongkau  cantikkan kelas ni"
Katanya tanpa menoleh padaku.

"Kenapa pula" tanyaku kehairanan.

"Aku buat macam-macam untuk cantikkan kelas,
tapi nama dan anugerahnya engkau yang dapat"

Kebenaran memang ada dengan apa yang dikatakannya.
Banyak  anugerah  yang aku terima semasa bertugas
disekolah itu.

"Tapi". dia menyambung lagi. "Bila fikir-fikir balik,
aku buat bukan kerana engkau, tapi kerana Allah untuk
budak-budak ni" .

Sebak dada ini masih terasa  hingga sekarang.  Walaupun
ayat  itu telah diucapkan berbelas tahun yang lalu.

Aku belajar banyak perkara daripada guru ini tentang
keikhlasan. Semua anaknya sangat berjaya dalam pelajaran.
Dia masih sihat boleh berkebun hingga sekarang walaupun
telah berusia.

Jadikanlah diri kita seperti guru ini jika inginkan kebaikan
dunia dan akhirat.Belajarlah untuk ikhlas dalam semua perkara.

Insyaallah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan