Sedikit tip ingin aku catatkan sebagai panduan
kepada guru-guru yang menghadapi kanak-kanak
bermasalah tingkah laku di program pendidikan khas.
Biasanya kanak-kanak yang belajar di program
pendidikan khas sangat bermasalah dalam kehadiran.
Para guru biasanya akan merasa gembira dan
sedikit lega apabila kumpulan ini tidak hadir ke sekolah.
Ini adalah kerana kehadiran mereka selalunya dirasakan
menjadi satu beban kepada guru-guru dan PPM yang tidak
mempunyai minat dan kesungguhan.
Seperkara yang perlu diingat bahawa, syarat untuk
menjadikan objektif pengurusan tingkah laku dapat dicapai
dengan jayanya ialah ianya perlu dilakukan secara
istiqamah (berterusan).
Oleh itu jika ada guru yang gembira dengan ketidakhadiran
murid bermasalah tingkahlaku di sekolah ianya adalah
satu perkara yang amat mendukacitakan.
Guru perlu berusaha untuk menarik perhatian mereka
untuk hadir ke sekolah jika ingin objektif tercapai dengan
baik. Perlu diingat bahawa untuk mengurus tingkahlaku
kanak-kanak di program pendidikan khas bukanlah satu
perkara mudah.
Latih tubi yang berterusan disertai dengan pengukuhan
samada negatif atau positif adalah amat perlu demi membantu
mereka meninggalkan tingkahlaku yang tidak diingini .
Tidak kurang juga terdapat ibubapa yang suka menyimpan anak
yang bermasalah tingkahlaku di rumah. Mereka perlu diingatkan
bahawa kesukaran semakin dekat, apabila anak-anak
itu semakin membesar. Tingkahlaku negatif yang telah menjadi
darah daging bukanlah satu perkara yang mudah untuk ditinggalkan.
Program pengurusan tingkah laku yang berterusan perlu dilakukan
oleh guru-guru juga ibubapa demi membantu mereka berkembang
dengan menyeluruh serta dapat diterima oleh masyarakat.
Memang penat, memang sukar, memang memerlukan kesabaran
apabila membuat modifikasi tingkah laku. Tetapi hasilnya....
Allah yang lebih mengetahui . Bagiku, kejayaan mengurus tingkahlaku
murid pendidikan khas adalah lambang kejayaan seorang guru
pendidikan khas.
" Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan