Selasa, 24 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ FIKIRKANLAH..

 LUAHAN  HATI

Seorang  bapa  menghubungiku  semalam.  Luahan hatinya   adalah berkaitan
masalah anak lelakinya yang  kini  berada  di  tahun  1  di  sebuah  sekolah
negeri  Melaka  ini.


Menurutnya, setelah seorang guru di sekolah anaknya bertukar,
pembelajaran  anaknya sedikit merosot. Jika sebelum ini  ada   dibekalkan kerja
rumah, kini  semuanya tidak  berlaku .Tidak ada latihan yang baharu di  buku tulisnya.

Dia  telah   cuba menghubungi guru mata pelajaran/guru kelas,
namun panggilan telefonnya  tidak pernah dijawab.  Dia rasa  dukacita
atas  kejadian yang berlaku.  Dia  menyedari akan  kekurangan  yang   ada
pada anaknya. Aku  sedih  mendengar  ceritanya tambahan bapa ini dan isterinya
juga adalah golongan  OKU.

Pernah sekali bapa ini   menyusun buku dan  alatulis  di dalam beg sekolah anaknya.
Apabila  pulang ke  rumah, dia  dapati  buku  dan  alatulis tersebut berada  dalam
keadaan yang   sama, seolah-olah tidak  digunakan langsung.

Anaknya juga   telah dihantar  belajar  dengan seorang guru  yang pakar
dalam mengajar murid bermasalah pembelajaran membaca  dan menulis.
Hasilnya amat memberansangkan. Walaubagaimanapun dia kesal kerana
kebelakangan ini guru-guru di sekolah langsung tidak membantu
perkembangan pembelajaran anaknya.

Kesimpulan daripada   ceritanya dia   merasakan anaknya terbiar begitu
sahaja  semasa berada di sekolah.



CADANGAN

Aku  memang pernah  dibawa bertemu   anak  ini  untuk  beberapa  kali. Cadangan
yang  kuberikan setelah  membuat penilaian  ialah, dia   masih  boleh dibantu dan
tidak  perlu  di tempatkan  di  program pendidikan khas. Walaubagaimanapun  anak
 ini masih  memerlukan tumpuan lebih  daripada guru mata pelajaran serta perlu
diberi perhatian individu  secara berterusan walaupun untuk beberapa  minit di dalam
satu-satu  sesi pembelajaran.

Anaknya boleh  berutur  dengan baik, boleh  mengurus diri, telah  mengenal  abjad
serta  nombor .  Masalah yang  ada  padanya ialah tidak  boleh menulis   dan  yang
amat  ketara  ialah menghadapi  masalah tumpuan yang singkat   serta  mudah terganggu.
Semua kerja bertulis yang dilakukan olehnya perlukan  perhatian dan bantuan
daripada guru. 

Dia  juga telah didiagnos  oleh  pakar perubatan sebagai menghadapi masalah disleksia
yang  ringan.   Bapanya  telah membawa anak ini menjalani program intervensi  di sebuah
pusat intervensi di  ibu negara.  Laporan  yang aku baca dari program intervensi ini
menunjukkan  anak  ini telah melalui perkembangan pembelajaran yang  semakin baik.

HAJAT

Sebagai  seorang yang bergelar OKU bapa ini memang berhajat anaknya  tidak menerima
nasib yang sama dengannya. Untuk  mencapai hasrat ini dia perlukan guru-guru di aliran
perdana yang ada inisiatif  serta komited dalam P&P. Aku  memahaminya.
Memang sukar untuk merealisasikan  harapan bapa  ini  jika guru  tidak ada
pengetahuan dalam  bidang  tersebut.

Tetapi  sebenarnya  kini  terdapat  banyak  cara untuk membantu anak  serupa
ini didalam  kelas  aliran   perdana.  Rujukan  boleh di buat kepada guru-guru
yang  mengajar  di program pemulihan dan pendidikan khas. Rujukan  di media
elektronik juga tidak pernah kurang.  Apa  yang amat  penting adalah keinginan
dan kesungguhan dalam membantu. 


Kita  amat beruntung  kerana serba sempurna juga memiliki  anak-anak
yang bijaksana. Walauapapun, sesekali, cubalah selami hati insan istimewa.
Cubalah buat sesuatu untuk anak-anak yang  boleh kita selamatkan daripada
bergelar OKU. 

FIKIR-FIKIRKAN TENTANG TANGGUNGJAWAB KITA...













Tiada ulasan:

Catat Ulasan