Sabtu, 30 September 2017

BICARA YB/ANUGERAH IBU MITHALI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Nama pasangan suami isteri yang sangat unik.
Abah:  Allahyarham Haji Hitam bin Hashim
Emak:  Puan Hajah Hitam bt Abu.

Bersyukur dengan segala nikmatNYA.

Emak nampak gementar,.
Senyumannya tidak seperti mana biasa.
Mungkin majlis ini  dirasakan terlalu besar.

Emak kelihatan mengalirkan air mata.
Mungkin gembira, mungkin sedih.
Sukar diteka.

Mungkin teringatkan pasangan hidup yang telah
lama meninggalkan dia bersama anak-anak serta
cucu cicitnya di dunia.

Allah berikan sesuatu kepada EMAK  pada hari ini.
Sebagai balasan di atas  pengorbanan  membesarkan
 11 orang khalifah.

Zamnah Hitam, Allahyarham Jaapa Hitam,
Bahar Hitam, Bachik Hitam, Rosni Hitam,
Hasmah Hitam, Mizan Hitam, Azman Hitam,
Mohd Zaki Hitam, Suffinah Hitam, Raizun Hitam.

Bukan nikmat yang ingin dibangga.
Namun yang perlu untuk disyukurinya.

Anugerah Ibu Mithali Sempena Maal Hijrah 2017
















Jumaat, 22 September 2017

BICARA YB/BETULKAH?

ALhamdulillah. Diiznkan saya menulis.

Betulkah?

Orang yang sering menyusahkan hidup kita itu
datang dengan kerelaan hatinya, bukan atas kehendak
sesiapa?

Jika kita yakin tentang  ketetapan Allah,  pasti
sangkaan itu tidak timbul.

Yakinlah. Orang yang selalu meremukkan hati
kita itu adalah  hadiah Allah kepada kita.

Bukan hadiah biasa-biasa.Namun hadiah istimewa.

Semakin banyak PERANGAInya yang menjeruk hati,
menyakitkan mata, mengeratkan lagi hubungan  kita
denganNYA.

Membolehkan kita sering meminta kepadaNYA  dan
 tidak leka.

Membolehkan kita sering sujud merendah diri kepadaNYA
dan tidak bebangga-bangga.

Ikatlah dia kepada kebaikan melalui doa kita.

Semua itu pahala. Semua itu ibadah. Andai kita redha.

Jangan dijauhi mereka andai inginkan Allah sentiasa
mendekati kita.



Selasa, 19 September 2017

BICARA YB/MAK LONG

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.


MAK LONG

Dua hari lepas saya berpeluang menziarahi seorang
ibu saudara yang sedang sakit di hospital.

Berusia lingkungan 74 tahun. Dia memang telah lama kurang sihat.  Juga  penghidap diabetes.

Dia pernah diserang stroke. Semenjak itu  percakapannya tidak begitu jelas dan kurang difahami.

Beberapa bulan sebelum, saya ada bertemunya.
Di majlis perkahwinan saudara sepupu.

Masa itu dia masih boleh berjalan dan bersolat
meskipun telah bertongkat.

Di hospital.

Dia hanya membuka sedikit kelopak matanya sebaik
saya dan anak menantu tiba.

Ternyata dia masih mengenali saya melalui jawapan
yang diberikan.

Saya menghampiri di bahagian sebelah kiri katil dan berbisik
ketelinganya.

"Allah sayang maklong" .

Saya tahu dia mendengar meski tiada reaksi yang berbalas.

"Banyakkan zikir". Itulah pesanan saya yang seterusnya.

Kulit di jari-jarinya yang saya pegang sangat kering.
Ternyata. Tubuhnya  kekurangan air. Dia masih  lemah.

Adik-adik dan anak buahnya yang turut menjaganya
menceritakan serba sedikit kepada saya perkembangan
penyakit Mak Long sejak dimasukkan ke hospital itu.

Mak long bertambah sihat dari hari sebelum. Itulah kesimpulan
saya,  daripada cerita mereka.

20 minit berlalu pantas.   Saya mohon mengundur diri
apabila melihat ramai ahli keluarga lain dan sahabat handai
yang datang.

Bilik itu terlalu kecil untuk dipenuhi lebih daripada 10
orang pelawat.

Terkenang.

Banyak kebaikan Maklong yang tidak akan saya lupakan.
Sejak saya kecil. Sehingga saya ingin mendirikan rumahtangga.

Dia dan ahli keluarganya sangat baik budi. Sentiasa
membantu keluarga kami yang susah ketika itu.

Memberi makanan, menjahitkan pakaian, menyumbang
tenaga, wang ringgit dan barang keperluan apabila ada
kenduri kendara.

Jasanya amat kami hargai. Tidak terucap dengan kata-kata.
Hanya Allah  yang membalasinya dengan pahala.

Kini keuzurannya tidak mengizinkan semua itu berulang lagi.
Juga tiada lagi sembang mesra seperti sebelum, apabila bertemunya.

Semasa saya bersalam, mencium pipi dan menghulur sedikit
wang sumbangan,   dia tidak menggenggam langsung wang
sumbangan yang saya berikan.

Begitu juga wang sumbangan yang diberikan oleh  menantu saya.

Dia melepaskan  sahaja wang di dalam sampul  itu jatuh di atas tilam. Sementara matanya tetap terpejam.

"Mak long telah mula  menjauhi dunia daripada  hatinya".

Itulah tekaan saya apabila mengenangkan  Mak Long.

Tiba masanya, saya juga akan melalui situasi serupa.
Cuma tidak tahu entah bila.

Ahad, 17 September 2017

BICARA YB/MENGHARGAI

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

"Syukur"
Itulah kata hati seorang guru.

"Gembira"
Itulah juga perasaan seorang guru.

Betapa
Allah memilih mereka untuk berjaya.
Allah memilih mereka untuk  berdikari.
Allah memilih mereka untuk belajar
menghargai.


Sabtu, 9 September 2017

BICARA YB/SURAH ASY-SYARH

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Semasa dia duduk rapat di sebelah saya pada hari reunion
rakan-rakan sekolah menengah itu, sempat juga dia bercerita 
perlahan. Umpama berbisik.

“Betul Mah”. (singkatan  daripada nama penuh saya Hasmah)

“ Allah beri kepada saya dan keluarga  apa yang kami inginkan
selepas ujian berat haritu”

Saya terpegun  seketika mendengar pengakuan ikhlas daripadanya.

Fikiran saya terus melayang akan musibah yang telah menimpa
sabahat lama saya itu.

Rumahnya hangus terbakar, kereta anak lelakinya yang berada
ditempat letak kereta juga turut musnah.

Kejadian yang bermula akibat kerosakan perkakas elektrik dirumah itu, 
berlaku semasa dia dan suami keluar bekerja.

Syukur, anak bongsunya  yang berada di rumah ketika itu berjaya
menyelamatkan diri.

Mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Semuanya musnah
dalam sekelip mata sahaja.

Semua perkakas persiapan perkahwinan anak lelakinya yang hanya tinggal 
sebulan juga turut musnah.

Subhanallah.
Berat sungguh ujian yang menimpa mereka sekeluarga. Mungkin hanya
mereka dan Allah yang tahu ketika itu.

Ingatan lama itu berhenti seketika,  apabila sahabat saya bersuara lagi.

“Sudah lama saya dan dan suami berhajat mengubahsuai rumah yang
kami duduki, tapi tak dapat”

“Anak saya pula,  telah lama mengidamkan sebuah kereta 
Honda tetapi tak tercapai.”

“Dengan insuran daripada  bahagian    pinjaman perumahan dan 
insuran daripada bank yang memberi pinjaman untuk  kereta,  
saya dan anak saya telah dapat apa yang kami hajatkan”.

Dia kelihatan gembira mengakhiri ceritanya.

Allhuakbar.

Allah turunkan ujian  dahulu untuk menilai kesabaran. 
Melihat seteguh  mana hambannya menjadikan DIA tempat 
pergantungan.

Dibakar hangus rumah  dan kereta.

Kemudian,   diganti baru mengikut apa yang dipinta.

Betapa Pengasih dan Pemurahnya DIA.

Kisah rakan saya ini semakin menguatkan keyakinan saya.
Pesanan Allah kepada hambaNYA. 

Melalui surah Asy- Syarh  ayat  lima  dan enam yang membawa makna.

“Sesungguhnya bersama kesukaran pasti ada kemudahan.”


“Dan bersama kesukaran pasti ada kemudahan

BICARA YB/ KITA ADA.....


Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Kadangkala ujian   dalam hidup kita datang  bertimpa-timpa.

Satu persatu. Mengusutkan fikiran  siang dan malam.

Sehinggakan mata sendiri  gagal untuk dilelapkan, meskipun di saat 
itu orang lain sedang lena dibuai mimpi.

Fokus kepada kerjaya sendiri juga hilang, lesap,  entah kemana. 
Kehidupan seharian umpama benang kusut yang hilang puncanya. 
Mustahil untuk dilerai. Berserabut.  

Kita menyalahkan orang lain di atas ujian yang menimpa. 
Sehingga berbagai prasangka buruk muncul di kepala .

Akhirnya….
Keresahan yang tidak mampu dilindungi  dapat dilihat dan dirasai 
tempiasnya oleh orang yang berada di sekitar.

Sahabat…..
Duduklah sebentar. Renungkan kembali kepada siapa kita patut
kembali saat diuji begitu. Kepada siapa kita wajib meminta apabila 
masalah berserabut di kepala.

Kepada Allah.

Renunglah dalam-dalam. Dalam diri sendiri. Mungkin ada silapnya
di mana-mana. Mungkin  telah  lama kita terlepas pandang.

Solat awal waktunya di mana?

Berjemaah bagi lelakinya sudahkah terlaksana?

Zikir harian tertunai atau sebaliknya?

Majlis ilmu sudahkah kita hadiri?

Berapa kerap gajet dirai  berbanding Al Quran di almari?

Bagaimana dengan tanggungjawab kita sebagai anak, ibu, 
ayah,   suami   ataupun isteri?

Auratnya sudahkah ditutup sempurna?

Masya Allah. Banyak lagi, sangat banyak jika diteliti.


Ya Allah.
Kita rupanya telah berada jauh di tengah lautan leka.
Tengah lautan lagha.

Allah hempaskan kita  kembali kepantai dengan sedikit 
 ujian  demi menyelamatkan. Agar tidak  lemas.

Yakinlah….
Allah tidak pernah menyukarkan hambaNYA dengan ujian,
selain untuk memberi kemudahan bersamanya.

Senyumlah sahabat.

Kita ada Allah. Tempat meminta.

Kita ada Rasullullah, Contohilah akhlaknya.

Kita ada Al Quran.  Ambillah pengajaran daripadanya.

Insya Allah….. semua akan baik-baik belaka.



BICARA YB/ SEKADAR LUAHAN

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Memang itulah sikap sebahagian daripada kita.

Disanjung melangit andai satu fikir, satu kepala.

Dicaci cerca buruk baiknya andai bertentang idea.

Sampai bila semua ini perlu berlaku?
Sampai nyawa nak sampai ke kerongkongkah?

Jangan terlepas pandang tentang seperkara.

Kita akan di hisab daripada setiap inci,
percakapan dan perlakuan.

Di SANA semuanya perlu ditangani sendiri nanti.
Tanpa sesiapa di sisi buat membela diri.

Sebenarnya......

KITA TIDAK AKAN TAKUT, 

Sebab kita tak nampak dan tidak yakin
dengan balasan kehidupan selepas MATI.

Itulah yang menjadi punca kita sangat berani, 

Tidak berjaga-jaga dan tidak berhenti,
dalam  mengata dan mengumpat keji.


BICARA YB/ PROJEK DA'I

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Projek da'i. Satu suara, 1 cerita, 1000 manfaat.
Menyumbang suara khas buat orang istimewa penglihatan.

Berbaloikah?

Daripada Melaka ke Sri Pentas TV 3 hanya untuk menyumbang suara?

Membaca satu daripada kisah dalam buku bertajuk Aku, Dia dan Rezeki
tulisan Mohamad Feroz Mohamad Zaini untuk dijadikan bahan audio 
buat insan istimewa bermasalah penglihatan.

Jika soalan ini diajukan kepada orang lain, mungkin mereka akan berkata, 
saya  hanya membazir wang, masa dan tenaga sahaja.

Namun bagi saya, hari ini ada pengalaman baru dan nikmat pahala yang Allah
telah beri.

Pertama.
Saya belum pernah berpeluang masuk ke Sri Pentas TV 3. Allah hantar 
saya hari ini ke sana. Bukanlah melawat keseluruh bangunan, namun
 menjejak  kaki ke dalam  salah sebuah bilik yang ada di situ. 
Saya sangat bersyukur  dan bangga.

Kedua.
Beroleh pahala melalui menghubungkan silaturrahim. Rakan-rakan baru
yang terlibat  dengan projek da'i dan Puan Mahanom Mohamad juga
penulis buku Kontraktor  Jalanan, yang merupakan sahabat di alam maya 
yang kami sama-sama tidak sedari.

Kami adalah anak-anak didik Tuan Zamri Mohamad. Sempat juga
kami bertukar buku hasil penulisan sendiri. Pertemuan yang juga
merupakan satu magnet yang menambah motivasi saya untuk
tidak berhenti menulis.

Ketiga.
Dalam perjalanan pulang ke Melaka,saya berpeluang singgah di rumah
adik yang baru berpindah ke Shah Alam. Mendapatkan redha Allah melalui 
ziarah yang selama ini hanya mampu saya lakukan setahun sekali
iaitu Hari Raya.

Keempat.
Insan-insan istimewa telah membawa banyak pengalaman di dalam dunia
pendidikan  saya. Saya tidak akan berhenti untuk terus membantu meskipun
telah bersara. Semoga  sedikit sumbangan ini dapat memberi menfaat kepada
mereka.

Insya Allah.

Sabtu, 2 September 2017

BICARA YB/ MIMPI

Alhamdulillah. Di izinkan untuk saya menukis.

Mungkin terkesan dengan kisah rakan-rakan  yang baru
meninggal dunia, saya bermimpi bertemu  seseorang malam tadi.

Seorang rakan  berpangkat adik kepada saya yang telah meninggal
dunia lebih kurang  3 tahun yang lalu.

Dalam mimpi itu  rasanya saya berada di dalam satu majlis.
Semua kaum lelaki kelihatan berbaju melayu.

Dari jauh saya melihat dia sedang duduk, memakai baju
berwarna jingga, bersamping,  bersongkok namun  kelihatan
sedang bermenung jauh.

Tiba-tiba datang seorang lelaki.  (saya tidak kenali) Memegang
bahunya dan berkata sesuatu. Dia tiba-tiba tersenyum.
Sangat manis. Seperti mana semasa  bergurau dengan saya
di dunia ini.

Saya terjaga.

Masya Allah.

Allayarham Azman Nordin.

Salah seorang daripada guru Pendidikan Khas negeri
Melaka yang tinggi ilmunya.

Boleh mengajar di PPKI Bermasalah Pembelajaran,
di kelas Bermasalah Penglihatan juga di kelas Bermasalah
Pendengaran.

Ilmu yang tinggi nilainya telah  membawa allahyarham
menjadi seorang pensyarah di IPG Kampus Perempuan
Melayu Melaka seterusnya Pegawai di Seameo Sen sebelum
meninggalkan dunia untuk selama-lamanya.

Mungkin kehadirannya malam semalam untuk
mengingatkan saya.

Tiba masa saya juga akan menjejaki langkahnya.

Atau mungkin sebab saya terlupa  mendoakan
keampunan untuk mereka.

Al fatihah untuk sahabat-sahabat. Orang-orang yang
membantu di dalam membangunkan Pendidikan Khas Negeri Melaka.

En Aziz Nahar. Mantan Ketua Sektor Pend. Swasta dan Pend Khas

Mantan Guru Besar yang sentiasa meraikan anak Pend Khas
yang ada di sekolah mereka:
1. Puan Hjh Zainab Samad -GB SK Paya Redan
2. Tuan Hj Mohd Nor- GB SK Bukit China
3. Tuan Haji Shafie Jaafar- GB SK Paya Rumput.

Bekas guru Pendidikan Khas yang banyak berjasa:
 1. Azman Nordin
2. Rozilawati Ab Kadir
3. Noridah Yunus

Semoga roh kalian ditempatkan bersama orang--orang yang soleh.

Amin. Insya Allah.





Jumaat, 1 September 2017

BICARA YB/GARAM


Ujian di dalam kehidupan umpama gulai  dan garam.
Andai tiada garam gulai  akan tawar dan tidak enak untuk
dimakan.

Andai terlebih garam gulai  akan masin dan langsung
tidak boleh dimakan.

Hakikatnya ujian  yang Allah turunkan kepada hambaNYA
umpama gulai yang  secukup rasa kerana Allah lebih tahu
kesediaan  hambaNYA  berbanding hambaNYA sendiri.


BICARA YB/ TERSUNGKUR

Alhamdulillah.

Melihat seorang demi seorang kawan-kawan
meninggalkan dunia untuk selama-lamanya
hati ini tersungkur di kaki syukur.