Sabtu, 9 September 2017

BICARA YB/ PROJEK DA'I

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Projek da'i. Satu suara, 1 cerita, 1000 manfaat.
Menyumbang suara khas buat orang istimewa penglihatan.

Berbaloikah?

Daripada Melaka ke Sri Pentas TV 3 hanya untuk menyumbang suara?

Membaca satu daripada kisah dalam buku bertajuk Aku, Dia dan Rezeki
tulisan Mohamad Feroz Mohamad Zaini untuk dijadikan bahan audio 
buat insan istimewa bermasalah penglihatan.

Jika soalan ini diajukan kepada orang lain, mungkin mereka akan berkata, 
saya  hanya membazir wang, masa dan tenaga sahaja.

Namun bagi saya, hari ini ada pengalaman baru dan nikmat pahala yang Allah
telah beri.

Pertama.
Saya belum pernah berpeluang masuk ke Sri Pentas TV 3. Allah hantar 
saya hari ini ke sana. Bukanlah melawat keseluruh bangunan, namun
 menjejak  kaki ke dalam  salah sebuah bilik yang ada di situ. 
Saya sangat bersyukur  dan bangga.

Kedua.
Beroleh pahala melalui menghubungkan silaturrahim. Rakan-rakan baru
yang terlibat  dengan projek da'i dan Puan Mahanom Mohamad juga
penulis buku Kontraktor  Jalanan, yang merupakan sahabat di alam maya 
yang kami sama-sama tidak sedari.

Kami adalah anak-anak didik Tuan Zamri Mohamad. Sempat juga
kami bertukar buku hasil penulisan sendiri. Pertemuan yang juga
merupakan satu magnet yang menambah motivasi saya untuk
tidak berhenti menulis.

Ketiga.
Dalam perjalanan pulang ke Melaka,saya berpeluang singgah di rumah
adik yang baru berpindah ke Shah Alam. Mendapatkan redha Allah melalui 
ziarah yang selama ini hanya mampu saya lakukan setahun sekali
iaitu Hari Raya.

Keempat.
Insan-insan istimewa telah membawa banyak pengalaman di dalam dunia
pendidikan  saya. Saya tidak akan berhenti untuk terus membantu meskipun
telah bersara. Semoga  sedikit sumbangan ini dapat memberi menfaat kepada
mereka.

Insya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan