Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.
Seawal 9.00 pagi saya sudah berada di kaunter farmasi
Klinik Ayer Keroh. Setelah mengambil nombor giliran,
saya menuju ke kerusi yang bersusun di ruang legar farmasi.
Tiba -tiba mata saya tertumpu kepada seorang kanak-kanak
lelaki ( lingkungan 11 atau 12 tahun) menolak kerusi roda
seorang wanita tua menuju ke arah yang sama.
Setelah mendekati mereka, saya mengucapkan salam dan
bersalaman dengan wanita tua itu sambil bertanya.
"Sakit apa makcik?"
"Sakit kaki", jawabnya sambil menunjukkan kaki kirinya kepada saya.
Saya hanya melihat dari jauh. Nampak biasa-biasa sahaja di mata
saya. Namun mungkin sakitnya itu hanya empunya diri yang rasa.
"Doktor kata apa?" Tanya saya kembali.
"Doktor kata tak boleh sejuk" jawabnya.
"Allah sayang makcik" . Kata saya kepadanya.
Kata-kata itu memang biasa digunakan untuk memujuk
diri sendiri ketika sakit atau siapa sahaja yang saya ziarahi
dan mengadu sakit kepada saya.
"Allah sayang?" Wanita tua itu memandang saya dan
bertanya dengan raut wajah kehairanan.
Setelah itu dia menutup mulut dengan kedua tangannya
sambil ketawa kecil dan mengulangi kata-kata saya itu.
Ternyata dia tidak memahami maksud yang tersirat di
sebalik kata-kata saya itu.
Atau dia rasa saya bergurau. Allah sayang, tapi beri sakit.
Melihat keadaannya itu, saya terus duduk di kerusi
berhampiran dengan kerusi roda yang didudukinya.
"Memang Allah sayang . DIA beri sakit supaya dosa-dosa
kita dapat diampunkan".
Saya menjelaskan kepada wanita tua itu.
Dia memandang wajah saya dan berkata lagi.
"Dah sakit macam ni , matipun tak apa".
Allahuakhbar. Lain benar bunyinya. Bisik hati saya.
Seperti putus asa, kecewa.
"Tak baik cakap macam tu". Saya cuba memujuk.
"Anak makcik berapa orang?"
Saya cuba mengubah tajuk perbualan supaya orang
tua itu tidak panjang kecewanya.
"Ramai, 8 orang. Itupun bila nak minta tolong
hantar ke klinik, dia kata dia, dia kata dia. Susah".
Jawapan yang diberikan itu sedikit sebanyak menerangkan
kepada saya tentang isi hati kecilnya.
Dia kecewa di atas sikap anak-anaknya.
"Dah tu siapa yang hantar makcik tadi? Saya bertanya kembali.
"Tu, anak bongsu makcik" sambil tangannya menunjuk kearah
seorang lelaki yang duduk di hadapan saya.
Dalam masa sama saya memandang, tiba-tiba lelaki itu menoleh.
Mungkin dia sebenarnya memasang telinga sejak tadi, mendengar
perbualan kami.
"Orang tua ni (dimaksudkan kepada makcik tersebut) tak de duit.
Itu yang semua tak mahu hantar. Cuba kalau banyak duit,
berebut nanti."
"Biarkan, esok-esok anak dia orang, buat macam tu juga kat
dia orang, baru padan muka".
Lelaki itu berkata sebagai melahirkan rasa marah dan
tidak berpuashati kepada adik beradiknya yang lain.
Saya terdiam. Kata-kata lelaki itu membantutkan hajat
saya untuk terus bersembang dengan wanita tua itu.
Kebetulan, nombor giliran saya dipanggil. Sayapun
bersalaman dengan wanita tua itu dan berlalu untuk
mengambil ubat.
Begitulah. Apabila telah tua, hati mudah terasa.
Kecewa dan sedih. Saya juga kadangkala mengalaminya.
Namun, setelah memikirkan bahawa Allah ingin mengampuni
dosa lalu saya, pernah berkasar kepada ibu bapa menyebabkan
saya cepat-cepat beristigfar dan memaafkan anak-anak saya.
Namun sebagai anak-anak fahamilah bahawa ibu qbapa yang
telah tua perlukan perhatian. Cubalah luangkan masa dan hulurkan
tenaga untuk membantu mereka sementara mereka masih lagi ada
didunia.
Menjaga ibu bapa demi mendapatkan syurga lebih baik berbanding
dunia dan segala isinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan