Isnin, 24 Julai 2017

BICARA YB/JEMPUT-JEMPUT

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Saya kurang mahir di dalam masak memasak.
Samada gulai mahupun kuih muih. Tradisional
mahupun moden.

Meskipun begitu, disebabkan suami saya bukan
seorang yang  gemar minum di kedai kopi,  maka saya
sangat berminat untuk belajar jika terjumpa makanan
yang sesuai untuk dibuat minum pagi ataupun petang.

Saya tuliskan semula kisah lama itu.

Saya berkunjung ke rumah seorang rakan  yang baru
di kenali semasa berkursus. Saya dihidangkan
sepiring jemput-jemput.

Yang menariknya tentang  jemput-jemput tersebut
ialah ia  tidak dicampurkan dengan apa-apa bahan
tambahan seperti bawang mahupun ikan bilis kecuali
air panas dan garam.

Mulut saya yang memang ringan ini tidak segan bertanya
cara  membuat jemput-jemput yang garing di luar namun
lembut di dalam itu.

Rasanya seperti dicsmpur kelapa parut yang muda. Macam
adunan lempeng kelapa yang selalu dibuat oleh emak semasa
saya kecil.

Puas saya meneka itu dan ini. Namun kawan baru saya
itu menjawab bahawa resepinya hanya garam dan air
panas sahaja.

Jawapan yang  pelek buat saya. Betapa tidak, saya
merasakan jemput-jemput itu dicampur  kelapa parut.
Lemak dan lembut.

Setelah melihat dia bagai mahu mengelak dari mengajar
saya cara sebenar membuat jemput-jemput itu, sayapun
mengalah. Tidak mahu memaksa.

Meskipun begitu ada juga beberapa kali saya mencuba.
Namun rangup dan lembutnya tidak serupa.

Pernah sekali tepungnya terus berkecai semasa digoreng.
Mungkin terlalu cair.

Pun begitu, mungkin Allah mengetahui  niat saya. Baik.
Berhajat memberi suami dan anak-anak makan dengan
air tangan sendiri.

Suatu hari saya mencuba lagi.  Memasukkan garam dan
mula membancuh tepung dengan air panas mendidih.

Malangnya air panas yang saya didihkan tidak mencukupi.
Malas untuk memasak lagi,  saya terus menggoreng  bancuhan
tepung yang terkeras itu.

Masya Allah. Rupanya itulah rahsianya. Bancuhan
tepung yang  keras dan air panas mendidih itu telah membentuk
jemput-jemput yang saya idamkan.

Rangup di luar, lembut di dalam. Rasanya lemak seolah-olah
diisikan kelapa muda yang diparut.

Syukur atas nikmat  ilmu daripada Allah.

Sejak itu saya  menjadi chef untuk resepi jemput-jemput.
Kepada siapa sahaja yang bertanya apabila saya hidangkan
kepada mereka.

Siap demo lagi jika berpeluang.

Saya sangat gembira apabila ada ibu-ibu muda yang
dapat saya curahkan ilmu tersebut.

Betapa tidak, dengan keadaan ekonomi negara yang
tidak menentu, sangat membantu mereka mengenyangkan
perut suami dan anak-anak dengan hanya bermodal tepung
gandum, air panas, garam dan minyak untuk menggoreng.

Sangat mudah dan menjimatkan.

Saya memahami bahawa jika seseorang itu
mahir dalam masak-memasak jemput-jemput saya ini
hanya layak dipandang sebelah mata sahaja.

Namun seperti yang saya katakan, sebagai seorang yang
kurang mahir saya amat berbesar hati apabila dapat menjamu
ahli keluarga dan tetamu dengan jemput-jemput ini.

Tambahan lagi saya amat bersyukur kerana telah berjaya
mencurahkan ilmu bermanfaat ini kepada orang lain.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan