Rabu, 5 Julai 2017

BICARA YB/ CERAMAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis,

MEMBERI CERAMAH.

Melihat kembali gambar-gambar semasa dijemput memberi
ceramah mendorong saya menulis sesuatu.

Saya sangat gemar berceramah tentang pengalaman sebagai
guru Pendidikan Khas. Terutama dalam bab cabaran menguruskan
tingkahlaku anak-anak istimewa.

Apabila menyebut tentang mengurus  anak istimewa pasti saya
akan menyentuh peranan guru dan pembantu pengurusan murid.

Di sini selalunya saya menyertakan contoh-contoh yang memang
berlaku samada di sekolah saya bertugas mahupun kisah daripada
ibu bapa atau guru daripada sekolah lain  yang dikongsikan bersama
saya.


EMOSI

Adakalanya saya sangat tegas dan beremosi apabila menyentuh
tentang anak-anak istimewa yang severe dibiarkan tanpa bantuan
yang sepatutnya.

Memang saya sangat marah. Meradang. Geram.

Mengapa anak-anak itu dibiarkan terbaring, berlari atau duduk
begitu sahaja?

Mengapa tidak disusun jadual giliran untuk membantu
anak-anak yang perlukan pengajaran individu?

Mengapa anak-anak itu dicutikan setiap kali ada program
tertentu di dalam mahupun luar sekolah?

Berbagai lagi persoalan tegas yang saya timbulkan supaya
peserta kursus  sedar akan tanggungjawab.


BERIA-RIA

Setelah sekian lama berceramah saya dapat membaca
air muka peserta kursus di hadapan  saya setiap kali isu ini disentuh,

Isu  guru dan pembantu pengurusan murid yang kedekut tenaga
dalam menguruskan murid yang severe.

Yang suka membiarkan murid-murid ini begitu sahaja.

Ada peserta  yang nampak sangat  gembira.

Mungkin mereka  sependapat dengan saya. Namun  tiada kuasa untuk
bersuara.

Tolonglah cikgu-cikgu dan pembantu pengurusan murid.

"Murid yang bermasalah tingkah laku  severe jangan diabaikan"

Selalunya muka-muka inilah yang akan beria-ria bertanya..

Mencungkil rahsia bagaimana anak-anak istimewa yang bermasalah
tingkah laku severe ini dapat dibantu.

Saya sangat gembira bersama mereka.


TERSEDAR

Ada juga yang baru tersedar. Mengalir airmata memeluk saya.

"Saya banyak berhutang dengan anak-anak ini puan.
Saya akan cuba buat yang tebaik selepas ini".

Itulah kata mereka. Sebagai ikrar untuk bertugas dengan
lebih baik.

Hidayah bukan daripada saya. Namun cikgu dan pembantu
pengurusan murid itu telah dipilih Allah untuk berubah.



MASAM MENCUKA

Tidak kurang juga yang masam mencuka. Berasap telinga,
Terbakar hati mendengar hujjah saya. Saya boleh membaca
riak muka dan bahasa badan  mereka.

Tidak langsung menoleh. Tidak mahu bertentang mata.
Tidak sabar keluar daripada  bilik atau dewan sebaik
selesai sesi ceramah.

Apabila bertemu di tempat makan,  senyum saya  tidak dibalas.

Adakah saya terasa? Pada mulanya dahulu begitulah.

Namun kini saya memegang satu prinsip.

"Perkara salah perlu diperbetul. Tugas saya hanya menyampaikan.

Hidayah itu milik Tuhan"

Mungkin cara saya salah. Tidak menggunakan bahasa yang
betul untuk menegur.

Bagi saya sekali-sekala perlu digegar  jasad mereka yang sering
buat-buat lupa  ini.

Biar mereka terjaga dan teringat semula.

"Apakah perasaan kita jika  anak istimewa kita  dibiarkan
oleh guru dan pembantu pengurusan murid begitu sahaja"

#teristimewa untukmu 2#




Tiada ulasan:

Catat Ulasan