Hari guru sudah berlalu. Memang dah jadi kebiasaan semua program pendidikan khas melakukan aktiviti jualan berbentuk cenderamata untuk dibeli oleh murid-murid dan dijadikan hadiah sempena hari tersebut. Ini sebagai menambah pendapatan tabung PPKI. Aku dan rakan-rakan lain tidak pernah melepaskan peluang untuk berbuat perkara yang sama.
Ada program yang buat jualan bunga. Ada yang jual kek, kad ucapan, penanda buku dan berbagai lagi. Bagi kami , berbagai benda telah cuba kami jual. Yang penting boleh dijadikan hadiah untuk hari guru. Bagiku aku suka menjual bunga. Bukan apa, modal tidak besar. Apabila bunga tidak habis dijual, boleh disimpan untuk tahun berikutnya. Lebih mudah lagi ialah bunga boleh digubah untuk jadi perhiasan meja makan di dapur atau meja guru di stesen pembelajaran.
Sebenarnya sebelum ini tidak ada bantuan untuk murid-murid pendidikan khas. So...kalau hendak cari duit untuk majukan program, kena pandai-pandai sendiri. Jadi, macam-macam projek perlu dibuat asalkan boleh dapat mendatangkan hasil, .
Pernah sekali program kami buat hari kantin sekolah. Alhamdulillah banyak juga keuntungan yang kami dapat. Ibubapa dari program pendidikan khas ramai yang membantu. Bila terpandang sebuah buaian besi yang ada di program sekarang, teringat itu adalah salah satu dari peralatan yang dibeli hasil keuntungan jualan hari kantin.
Kalau tidak ada usaha, memang semua aktiviti yang memerlukan duit tidak dapat dilaksanan. Hendak mengajar masakan, hendak ceriakan kelas, hendak buat sambutan hari lahir semuanya perlukan duit.
Kalau setakat diperli oleh guru-guru aliran perdana yang tidak suka apa yang kami buat untuk dapatkan duit memang sudah menjadi cerita biasa. Sudah lali telinga. Apapun buat tidak tahu sahaja. Kalau ikut hati yang marah, semua tidak akan menjadi.
Selalunya aku lebih suka berdiam diri apbila orang mengata. Sebab bila beri respond lagi panjang cerita. Matlamat aku satu sahaja. Murid-murid Pendidikan Khas yang tercinta. Soal apa orang lain kata, perkara nombor dua. Yang penting apa yang dirancang untuk satu tahun perlu terlaksana.
Cerita pasal jual bunga teringat aku tentang satu kisah . Tahun yang tepat tidak dapat untuk ku ingat. Tetapi yang nyata, masa itu anak ketigaku masih di sekolah rendah bersamaku. Terdapat sedikit pergolakan di sekolah. Punca sebenar rasanya tidaklah begitu besar , tetapi melibatkan seorang guru besar baru di sekolah aku bertugas.
Difitnah orang mungkin, atau lebih tepat ujian untuk ku dalam membangunkan PPKI. Namaku dilibatkan sama dalam masalah tersebut. Satu perkara besar yang aku pelajari dari peristiwa ini ialah kalau perkara tidak penting dan tiada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, jangan over sangat kita hendak sertai. Jauhkan diri daripada kroni. Lebih baik selesaikan kerja sendiri dari ambil tahu perkara yang tidak ada kaitan dengan pembangunan program.
Akupun tidak dapat membaca apa sebenarnya yang tersirat. Yang penting jualan bungaku telah diboikot. Seorang guru telah berkempen di dalam kelas. Mungkin dia sengaja, supaya sampai ke telingaku. Anakku mengadu padaku ."Cikgu....... kata kalau sesiapa beli bunga dari kelas khas dan beri pada saya, saya akan buang dalam bakul sampah. Jangan ada sesiapapun yang berani beli bunga dan beri pada saya." Itu satu amaran, bisik hatiku.
Apapun,bila menghadapi situasi seperti ini, nasihatku jangan mudah melatah. Fikirkan sesuatu agar masalah dapat diselesaikan. Aku tidak berminat untuk memanjangkan cerita. Walaupun pada masa itu aku berhak bersuara. Ini adalah kerana aktiviti itu telah mendapat restu dari Guru Besar sekolah. Aku hanya mendiamkan diri dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang ada.
Ini adalah satu prinsip yang ada dalam diriku, tidak suka membesarkan masalah yang ada. Mohon pada Allah untuk bantu. Dia lebih tahu segalanya. Apa yang telah, sedang dan akan berlaku semuanya dalam pengetahuannya. Mungkin ada sesuatu hikmah di sebalik perkara yang berlaku itu.
Bunga sudah banyak tersedia. Mati akal juga seketika dibuatnya. Allah sentiasa membantu urusanku. Jika memang kita di pihak yang benar tidak ada apa yang perlu dirunsingkan. Alhamdulillah, ada seorang rakan guru sedang berkursus di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka yang dihantar oleh Allah untuk membantuku. Semua bunga-bunga yang telah disediakan dijual oleh guru tersebut kepada guru-guru pelatih yang sedang berkursus bersamanya.
Sebenarnya dalam menerajui Program Pendidikan Khas telah terlalu ramai insan bergelar guru kutemui. Yang suka dengan pendidikan khas dan yang tidak perasan dengan kewujudan pendidikan khas pun ada. Tetapi jangan tidak tahu bahawa yang tidak suka pada pendidikan khas pun tidak kurang juga.
Tidaklah aku tahu apa puncanya. Ujian Allah untuk orang yang ada hati seperti ini. Kadangkala, aku dan rakan-rakan cuba buat yang terbaik agar semuanya biar berjalan dengan lancar. Yang lebih penting ialah untuk memuaskan hati semua orang didalam sekolah yang sama. Tetapi, sebenarnya pada pandanganku, insan seperti ini adalah golongan yang suka memandang buruk orang lain. Serba tidak kena di matanya apa juga yang guru-guru dan murid pendidikan khas lakukan.Semuga kita tidak tergolong dalam golongan insan yang saya nyatakan ini.
Pernah juga aku terjumpa juga dengan pentadbir yang tidak suka pada murid-murid ini. Sebenarnya, soal menyukai seseorang terutamanya murid-murid istimewa ini bukanlah satu perkara yang boleh dibuat-buat. Keikhlasan akan boleh dibaca apatah lagi oleh anak-anak istimewa ini. Jika seseorang itu tidak ikhlas dalam melayani anak-anak ini, ternyata mereka boleh membacanya.
Pengalamanku pernah sekali seorang murid yang tidak pernah mengganggu orang lain, tiba-tiba menarik cermin mata seorang guru senoir yang datang ke kelasku. Kami semua terperanjat dan tidak sempat berbuat apa-apa. Dalam hati kecil kami di PPKI masa itu sebenarnya sudah boleh membaca bahawa memang guru tersebut tidak suka pada murid-murid istimewa. Balasannya itulah dia.
Tidak perlu mereka lahirkan dengan perkataan pun sudah boleh dibaca akan perasaan orang seperti ini. Ada juga yang kata-katanya menyentuh hati. " "Bila budak-budak khas cuti, aman sekolah". Orang seperti ini sebenarnya sentiasa membayangkan murid-murid pendidikan khas ini menimbulkan huru hara di sekolah.
Pernah juga seorang pentadbir bertanya kepada saya "Mengapa kelas khas ini tidak diasingkan dari kelas perdana" macam SKPK. Aku menerangkan kepada nya apakah maksud integrasi dan tujuan integrasi diadakan di negara kita. Walaupun pentadbir ini faham penjelasanku, namun ternyata dia kurang gemar adanya program integrasi disekolah harian biasa. Sebab-sebabnya tidak mahu dijelaskan kepadaku.
Bagiku. orang-orang seperti ini adalah orang yang tidak bersyukur dengan nikmat yang tuhan beri. Mungkin sebab anak-anak mereka semuanya lulusan university jadi bagi mereka kehadiran anak-anak istimewa ini menyusahkan mereka sahaja. Serahkan sahaja pada Allah, kalau tidak anak mereka , tidak mustahil cucu cicit mereka pula yang bergelar istimewa. Mungkin masa itu, mereka akan tahu langit ini tinggi atau rendah.
Dari semua kisah yang kulalui ini, dari semua insan yang pernah kutemui ini terlalu banyak perkara yang aku telah pelajari. Semuanya kujadikan tauladan dalam menempuh ranjau hidup sebagai seorang guru pendidikan khas.
Ada juga yang kujadikan sempadan agar ianya tidak kuulangi sebagai satu kesalahan yang mengganggu tugasanku dalam memajukan program pendidikan khas. Yang lebih penting dan perlu diingat bahawa janganlah kita mengalah apabila berhadapan dengan insan-insan yang tidak menyukai apa yang bergelar PPKI.
Bulatkan tekad, kuatkan azam dan banyakkan doa semuga cita-cita kita untuk membantu anak-anak ini dipermudahkan oleh Allah. Insyaallah...
salam cikgu...
BalasPadamtahniah diucapkan atas kesabaran dan kegigihan cikgu dalam membantu anak-anak... sy seorg guru baru dalam bidang pendidikan khas... sya baru mula ingin berjinak-jinak dalam membuat program bg membantu anak-anak sy dalam aspek kemahiran tetapi pelbagai halangan baek daripada segi pengurusan dan kewangan sebagai modal awal permulaan program. sebgai guru baru sy telah mula rasa bosan dan berputus asa apabila berlaku halangan2 ini. boleh cikgu memberi pandangan atau pendapat bgmn sy hendak mengatasi keadaan ini tambahan pula sya sebagai guru baru boleh dikatakan kurang berpengalaman