Esok 13 JUN 2011 sesi persekolahan akan bermula kembali. Cuti 2 minggu berlalu bagaikan baru 2 hari. Gembira dan rindu nak jumpa kawan-kawan. Tambah rindu pada semua sikecil di PPKI.
Berdasarkan pengalaman biasanya pada hari pertama selepas cuti panjang begini, keadaan kelas akan sedikit kelam kabut. Jika tidak bijak dalam mengatur perjalanan kelas, keadaan akan lebih jadi huru hara.
Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialah kerana masalah tingkahlaku murid-murid akan berulang semula. Ini adalah kerana rutin yang mereka lalui sebelum cuti sekolah tidak diteruskan di rumah.
Adalah satu perkara biasa yang kulalui setelah sekian lama bergelar guru pendidikan khas. Memang ini satu masalah besar yang menuntut banyak kesabaran dalam menghadapinya.
Apabila tidak ada kesinambungan dirumah dalam mengurus tingkahlaku anak-anak ini, yang akan jadi mangsa ialah guru-guru. Semua kemahiran pengurusan tingkahlaku yang telah dikuasai oleh anak-anak ini telah dilupakan dan mereka akan kembali ke tingkahlaku yang asal seperti sebelum berlaku modifikasi tingkahlaku.
Apapun, inilah dia cabaran yang perlu dihadapi oleh guru pendidikan khas. Kalau aku cakap kena makan suppliment lebih sedikit biar badan kuat bila lepas cuti, memang ramai guru pendidikan khas akan tak percaya dan geli hati. Tetapi itulah realiti, bersedia dari segi kekuatan fizikal dan mental apabila berada dalam situasi ini. Tahap kesabaran dan kesungguhan perlu tinggi.
Menegur, memujuk, memarahi dan berlari mengejar, dengan anak-anak ini . Itulah tugas kita guru pendidikan khas, yang orang lain tidak tahu kerana mereka tidak lalui.
Walaubagaimanapun, situasi ini tidaklah berlaku pada murid-murid yang bergelar slowlearner. Jadi, kepada program-program yang tidak ada murid yang bermasalah tingkahlaku, tidak akan mengalami masalah yang sama seperti kami.
Meskipun begitu, mungkin ada program yang ada masalah begini, tapi guru-gurunya mungkin buat-buat tak perasan. Atau malas nak ambil kisah. Siapakah itu? Mungkin jawapannya sendiri yang mengetahui.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh lupa yang maha kuasa sentiasa memantau pergerakan dan sejauh mana kita menjalankan tugas diberikan. Semua persoalan akan kena kita jawap apabila bertemu dengannya nanti.
Aku menegur dan mengingatkan diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan