Rabu, 15 Jun 2011

Kematian

Bila sebut tentang kematian, pasti semua orang yang berfikiran sempurna akan memikirkan apakah nasib kita selepas kematian. Tiada siapa yang tahu akan kesudahan baik atau buruk di penghujung sebuah kehidupan. Yang pasti kematian pasti datang menjemput kita, tidak kira siapa dan dimana kita berada.

Anak-anak istimewa juga akan menempuh saat ini. Tidak boleh lari. Kerana yang hidup pasti akan mati. Menoleh kebelakang, dalam ingatan sebagai guru pendidikan khas, aku mengalami 3 peristiwa kehilangan murid istimewa yang meruntun perasaan.

Hati kecil ini sering teringat. Diruang mata sering terpandang, dua daripada mereka ini pergi dengan tenang. Apakah aku atau sesiapa saja yang terlibat dengan anak-anak ini akan mengalami nasib yang sama. Hanya Allah yang tahu jawapannya.

Apabila sesuatu kisah tidak dicatit, sudah pasti tarikh yang tepat tak dapat nak dituliskan. Apapun ianya berlaku sekitar 90an dan awal 2000.

Kisah 1. Dia ini pernah belajar di programku. Melanjutkan pelajaran ke sebuah program integrasi menengah. Seorang murid lelaki bermasalah down syndrome. Anak yatim. Kehilangan ayah sejak kecil. Menumpang hidup dengan ibu tercinta. Hayatnya berakhir disebabkan lukimia. Apa yang menghibakan ialah, berita kematiannya kuterima sehari selepas pengkebumian.

Aku pergi menziarahi ibunya sebagai tanda ucapan takziah walaupun telah lewat sehari. Cerita ibunya amat menyayat hati. Anak ini dikesan lukimia apabila doktor mengambil darah untuk ujian bagi memastikan dia sihat kerana ibunya ingin dia dikhatankan. Dipendekkan cerita, menurut ibunya sejak itu anak ini keluar dan masuk hospital kerana penyakit yang baru dapat dikesan itu.

Bagi ibunya, dia amat terkilan kerana sebelum meninggal dunia anaknya itu telah berkali-kali meminta agar dia dibawa berjumpaku dan dua lagi rakan guru di SKUP. Ibunya menangguhkan permintaan anak itu disebabkan tidak ada kenderaan untuk membawanya datang ke sekolahku. Dia menjangkakan bahawa anak itu akan dibawa ke sekolahku pada hari yang sama dengan tarikh pemeriksaan lanjutan doktor di Hospital Melaka.

Allah menentukan segalanya. Pada hari yang dijanjikan itulah, anak ini menghembuskan nafas terakhir diribanya. Bayangkan betapa hibanya hati ibu tunggal ini, kerana tidak dapat memenuhi impian insan istimewa yang dikasihinya sehingga anak ini menutup mata.

Aku turut mengalirkan air mata mendengar cerita itu. Menurut ibunya lagi, anaknya yang semasa hayat seorang yang pelat tetapi sebelum menghembuskan nafas terakhir telah dapat bercakap dengan baik memohon maaf dan minta dihalalkan segala yang telah diberikan oleh ibunya semasa dia hidup.


Aku bagai tidak percaya dengan cerita itu, kerana aku sendiri ingat bahawa murid ini bermasalah pertuturan dan kata-katanya selalunya sukar untuk difahami. Betapa hebatnya Allah. Boleh menjadikan apa juga yang dikehendakinya. Semuga rohnya dirahmati.


Kisah 2. Seorang murid lelaki juga. Bermasalah slow learner dan bermasalah pertuturan. Meninggal dunia akibat ditimpa kemalangan jalanraya.

Aku menerima panggilan telefon dari adikku mengatakan murid ini ditimpa kemalangan jalanraya dijalan besar hadapan rumahnya. Aku bergegas kerumahnya yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahku. Sampai disana aku dimaklumkan murid ini meninggal dunia semasa dalam perjalanan kehospital. Dia cedera parah dikepala.

Sehingga 11 malam aku menunggu, tetapi jenazahnya tidak tiba dari hospital. Aku pulang ke rumah tanpa menunggu. Pagi esoknya aku lewat sedikit. Jenazah telah dibawa ke kubur. Aku rasa terkilan. Aku bergegas kekubur. Setibanya disana jenazah telah hendak dimasukkan keliang lahad.

Sekali lagi aku terkilan. Nak minta tengok jenazah, aku malu, sebab aku hanya gurunya. Allah mengetahui niatku. Tiba-tiba ada suara menegur kepada orang yang ingin memasukkan jenazah ke liang. Mungkin orang itu mengenaliku " Bukakan sedikit bagi cikgunya tengok anak murid dia buat kali terakhir".

Alhamdulillah...aku diberi peluang. Akulah orang terakhir yang mengucup dahi dan pipi anak ini sebelum dimasukkan ke liang lahad.

Subhanallah, tenangnya dia. Seperti tidur lena, walupun masih ada darah mengalir dikepalanya. Hiba dalam hati mengenangkan, adakah aku akan pergi setenang dia... semuga diperkenankan.

Selepas pengkebumian, aku kerumahnya. Sempat bersembang dengan ibunya. Dia terkilan kerana pada hari raya anak ini ada mengajaknya berhari raya dirumahku, tapi tak dapat dipenuhi. Hari keluarga yang diadakan disekolah pun dia tak ikut serta, walaupun arwah selalu meminta. Apalah daya tak boleh buat apa, semua tinggal kenangan sahaja.

Kisah 3: Seorang murid perempuan. Epilepsi. Sering tidak hadir ke sekolah disebabkan masalah yang dihadapinya. Ibunya rakan sekolah menengahku. Aku menerima panggilan telefon dari ibunya minta aku mendoakan anaknya yang telah berhari hari di hospital akibat serangan sawan. Aku tak sempat menziarahinya. Hanya doa dan telefon dari jauh. Pagi itu dalam pukul 10 pagi ibunya menelefonku memberitahu anaknya telah tiada.

Innalillah, aku betul-betul terdesak kerana waktu itu guru untuk menggantikanku tidak ada. Aku tidak dapat keluar. Resah.. tuhan saja yang tahu. Pukul 12.40 tengah hari, sebaik kelas tamat, aku bergegas kerumahnya. Rumahnya juga ditepi jalan besar. Parking bukan main susah nak cari, kereta penuh.

Alhamdulillah, setelah berpusing beberapa kali, aku berjaya mendapat parking. Aku berlari-lari anak takut tak dapat jumpa jenazah . Rasa malas pula nak ke kubur. Sebaik aku melangkah ke pintu rumahnya, ibunya dengan pantas menarik tanganku dan membawa aku terus ke jenazah anaknya yang telah disempurnakan untuk dibawa ke perkuburan.

Sekali lagi Allah menyampaikan hajatku, dan aku juga adalah orang terakhir mengucup dahi dan pipi anak ini sebelum dibawa pergi. Wajah yang seperti tidur itu menyayukan hati kecilku. Apakah ini satu kebetulan yang telah disusun Allah.

Aku begitu bersyukur dengan semua peristiwa yang pernah kulalui ini. Nampak macam tak de apa-apa yang menarik,tetapi bagiku kasih sayang yang ada dihatiku telah memberi peluang kepadaku mengucup kedua-dua anak ini buat kali terakhir.

Muga sentuhan terakhir ini dipandang Allah dan dapat membawa aku bersama-sama mereka ke alam yang lebih indah selepas kematian. Perkenankanlah Ya Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan