Pagi tadi ceramah di radio IKIM menyentuh hatiku. Tentang seorang tukang kayu yang bertemu tuannya kerana ingin berhenti dari bekerja. Permintaan dari tuannya ialah dirikan sebuah lagi rumah sebagai bakti terakhir tukang kayu itu kepadanya.
Sebagai orang yang sudah tidak berminat untuk bekerja lagi, tukang kayu telah mendirikan rumah tersebut secara alah kadar dan bagai melepaskan batuk ditangga. Hakikatnya tukang kayu sendiri tidak berpuas hati dengan hasil kerjanya itu. Tetapi sebagai memenuhi hasrat seorang yang telah banyak membantu, dia memaksa diri untuk melakukannya.
Setelah selesai tugas yang diberikan, tukang kayu pergi berjumpa tuannya untuk menyerahkan kunci rumah. Tukang kayu terkejut kerana sebenarnya rumah tersebut adalah sebuah hadiah dari seorang tuan kepada pekerja yang telah banyak menabur jasa.
Betapa menyesalnya tukang kayu itu, kerana tidak mendirikan rumah yang akan menjadi miliknya dengan bersungguh-sungguh seperti mana biasa .
Pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita ini ialah, sebagai manusia yang telah diamanahkan menjalankan tugas, cubalah buat yang terbaik . Ini adalah kerana, sesuatu tugas yang dilaksanakan dengan baik hasilnya akan datang kepada diri kita sendiri, jika tidak didunia akan kita dapat diakhirat nanti.
Oleh itu, sebagai apapun kita, apapun jawatan yang kita ada, apabila telah diamanahkan dengan sesuatu tugas hendaklah kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam menjalankannya. Keikhlasan adalah satu perkara yang perlu ada dalam apa juga tindakan.
Ia adalah umpama seekor semut hitam, diatas batu hitam di waktu malam yang gelap gelita. Tiada siapa yang dapat melihatnya kecuali Allah . Tak perlu nak ditegur dan diingatkan selalu kerana ianya perlu lahir dari kesedaran sendiri.
Jika sikap ini ada dalam diri kita semua, insyaallah segala apa yang kita laksanakan akan terhasil dengan baiknya. Dan sebagai ahli di dalam sesebuah organisasi, kita akan berjaya menjadikan organisasi itu sebagai sebuah organisasi yang mantap dan berkualiti hanya disebabkan satu perkara iaitu keikhlasan hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan