Isnin, 16 April 2018

BICARA YB/ GAJET

Alahmdulillah. Diizinkan saya menulis.

Saya diajukan dengan satu soalan oleh seorang guru.

Bolehkah gajet digunakan sepenuhnya untuk mengajar
murid ini? 

Maklumat murid:
Umur : 8 tahun
Jantina: Lelaki
Masalah: Autisme (severe)
               Tiada tumpuan.
               Suka dan hanya memberi perhatian kepada gajet

Cadangan saya:
Jadikan gajet sebagai ganjaran positif kepada  murid tersebut
andai beliau dapat melakukan aktiviti pembelajaran.

Tindakan yang dicadangkan ini adalah lebih bersesuaian
kerana andai gajet sahaja dijadikan bahan bantu sepenuhnya kepada
murid tersebut, dikhuatiri perkembangan sosial, bahasa, motor
kasar dan motor halus murid akan terbantut.




Ahad, 15 April 2018

BICARA YB/ TARGET

Alhamdulillah. Diizin saya untuk menulis.

Guru Pendidikan Khas perlulah  menentukan target pencapaian
setiap murid yang diajar.  Samalah  seperti guru-guru di aliran
perdana meletakkan target pencapaian 6A ke atas murid 
mereka. 

     Target  bukan sahaja dalam akademik, malahan pengurusan
diri dan pengurusan tingkah laku. Tanpa target pencapaian yang
betul, kejayaan murid di dalam kemahiran yang diajar tidak dapat
dicapai dengan sempurna.

Saya berikan satu contoh situasi:

Seorang murid bermasalah Down Syndrome mendaftar 
di PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi).

     Setelah didiagnos oleh guru, didapati murid tidak boleh 
mengurus diri (masih memakai lampin pakai buang)
bermasalah tingkah laku haiperaktif dan tidak mengikut arahan.

    Cadangan saya, dalam situasi ini, program intervensi untuk 
pengurusan tingkah laku lebih baik diberi keutamaan, 
berbanding mengurus diri ke tandas. 

      Biarkan sahaja murid tersebut memakai lampin pakai buang
sepanjang berada di sekolah. Fokus kepada pengurusan tingkah
laku keatas murid terlebih dahulu.

     Pengalaman yang pernah saya lalui, selepas  3 ataupun 6 bulan 
program intervensi pengurusan tingkah laku  dijalankan (bergantung
kepada tahap masalah tingkah laku murid)  biasanya guru sudah 
boleh mengawal tingkah laku murid , dan murid juga telah boleh
mengikut dan memahami arahan. 

    Ini adalah kerana, apabila murid boleh mengikut arahan setelah 
melalui program intervensi, adalah lebih mudah untuk guru 
membimbing mereka mengurus diri ke tandas pula.

     Walaubagaimanpun, jika ada kepakaran di kalangan guru dan 
pembantu pengurusan murid ianya bolehlah dilaksanakan serentak, 
iaitu, pengurusan tingkah laku juga kemahiran mengurus diri ke tandas.

    Namun, kesabaran guru dan pembantu pengurusan murid  perlu 
berada ditahap yang tinggi andai ingin melatih murid kemahiran
menggunakan tandas di saat mereka  masih tidak boleh mengikut
arahan dan haiperaktif.

      Mengurus murid semasa mereka memahami arahan lebih mudah 
berbanding sebaliknya.





Sabtu, 14 April 2018

BICARA YB/ FAKTOR PENYEBAB

Alhamdulillah. Diizinkan saya untuk menulis.

Ada banyak faktor yang menyebabkan  murid
Bermasalah Pembelajaran tidak suka belajar.

Antaranya ialah:
1. Isi pembelajaran dirasakan terlalu sukar.
2. Tidak ada bahan bantu untuk menarik perhatian.
3. Kaedah pembelajaran membosankan.
4. Sesi pembelajaran terlalu lama.



Jumaat, 13 April 2018

BICARA YB/ BINA HUBUNGAN

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Dalam satu sesi ceramah seorang guru bertanya kepada saya satu soalan.

“Puan, bagaimana hendak mengatasi masalah ibu bapa  yang tidak mahu
 menerima pandangan guru tentang tingkahlaku negatif  anak-anak  mereka?”

Jawapan yang saya berikan ialah:

Bina hubungan baik dengan ibu bapa tersebut.
Salah satu cara untuk  membina hubungan ialah,  laporkan
kepada ibu bapa  perkara positif  yang berjaya dilakukan oleh anak-
anak terlebih dahulu  berbanding merungut tentang masalah anak
mereka  setiap kali  pertemuan.

                Bukan bererti kita menokok tambah tentang perkara 
yang tidak betul mengenai kebolehan anak-anak murid demi
menggembirakan hati ibu bapa.

Namun,  laporan kejayaan murid meskipun kecil adalah satu 
berita baik yang suka didengari  oleh ibu bapa dan merupakan langkah bijak 
guru bagi menggalakkan ibu bapa mendengar laporan seterusnya meskipun 
ianya adalah negatif.

“Naluri manusia  ialah suka mendengar berita-berita baik”

  

BICARA YB/ MEMBANTU

Alhamdulillah. Saya dizinkan untuk menulis.

Pagi semalam  saya bertemu seorang ibu yang mempunyai
2 orang anak bermasalah disleksia. Saya kongsikan bersama
beliau sedikit pengalaman semasa menjadi guru bagi
membantu beliau mendidik anak-anak di rumah.

1. Didik anak untuk membantu kerja-kerja rumah.
     Apabila mereka kerap membantu akan menambahkan
     kemahiran mengurus rumah yang memang
     sangat berguna untuk mereka apabila dewasa.

2.  Kemahiran  mengurus rumah juga adalah
      penting sebagai asas untuk mereka menceburkan
      diri ke alam kerjaya yang sesuai apabila sampai masa.
      Contoh pekerjaan tersebut  adalah sebagai  pembantu
      rumah, pembantu kedai makan, pengasuh kanak-kanak,
     tukang cuci ataupun tukang kebun.

3. Dengan memiliki kemahiran mengurus rumah juga akan
   membantu mereka berdikari andai ibu bapa telah tiada.

    Andai  mereka menumpang di rumah adik beradik yang
    lain sekalipun, mereka tidak akan menyusahkan adik
    beradik dalam bab pengurusan diri dan  pengurusan
    rumah.
   
    Dari situ, adik beradik tidak rasa 
    terbeban, malah boleh mengurangkan beban untuk 
    membayar gaji pembantu rumah.

4. Kenalpasti minat anak tersebut. Asuh sebaik mungkin
    minat yang ada agar boleh menjadi sumber pekerjaan
    yang halal apabila mereka dewasa.
   

5. Beri penjelasan kepada anak  tentang kepentingan 
    mempelajari apa juga kemahiran asas yang perlu  bagi
    mereka, agar mereka  tahu apa yang ingin
    dicapai.

6. Berikan sokongan moral setiap hari, agar anak-anak
    sentiasa bermotivasi. Elakkan daripada meleteri
    mereka.

7. Beri bantuan penuh diperingkat awal mendedahkan
    mereka kepada kemahiran yang ingin dicapai.
    Beransur kurangkan bantuan agar mereka yakin dan
    boleh melakukan sesuatu kemahiran yang dipelajari
    sendiri.

   Contoh:  Anak perempuan yang berminat membantu di
                  dapur. Latih mereka setiap hari menyediakan
                  bahan masakan.
                 
                  Setelah mereka mahir, latih
                  pula mereka memasak. Biarpun hanya
                  menggoreng sayur, namun biar anak tersebut
                  menguasai sepenuhnya kemahiran tersebut.

  8. Jangan mudah berputus asa andai mereka lambat
       menguasai kemahiran yang diajar. Mereka memerlukan
       lebih masa berbanding anak normal.

9. Banyakkan solat hajat dan berdoa. Insya Allah semua
    perkara adalah atas izin-Nya.

   "Belakang parang diasah lagikan tajam".
 

Isnin, 9 April 2018

BICARA YB/ BUKAN

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Murid yang bermasalah pembelajaran  biasanya
mempunyai masalah dalam menguasai kemahiran
menulis.

Ini adalah kerana mereka biasanya mengalami
kelewatan perkembangan motor halus.

Oleh itu guru dan ibu bapa perlu menyusun
program intervensi untuk membantu menguatkan
jari jemari mereka sebagai  persediaan untuk
menulis.

Pensel atau pensel warna bukanlah bahan yang sesuai
untuk menguatkan jari jemari mereka di peringkat awal.

Andai mereka dipaksa sekalipun, ia kurang  membantu.
Malahan akan menimbulkan kebosanan murid-murid
dan lebih malang apabila menaikkan kemarahan guru
kerana objektif pembelajaran tidak tercapai.

Oleh itu,  sekali lagi saya menegaskan bahawa
untuk membina kesediaan menulis dikalangan murid
bermasalah pembelajaran, pensel ataupun
pensel warna bukanlah peralatan yang sesuai untuk
digunakan.

Guru dan ibu bapa boleh memilih berbahagai bahan
bantu yang sesuai untuk digunakan bagi menguatkan
jari jemari murid-murid.




Khamis, 5 April 2018

BICARA YB/KESINAMBUNGAN

Alhamdulillah. Diizinkan oleh Allah untuk saya menulis lagi.

Kesinambungan pembelajaran di rumah adalah
antara faktor yang boleh membina kejayaan
dalam mendidik anak-anak normal
mahupun istimewa.

Menaruh sepenuh harapan kepada guru untuk mendidik
 di sekolah adalah kurang tepat terutamanya  kepada
anak-anak yang lemah atau lambat menerima pelajaran.

Masa di sekolah yang padat dengan berbagai aktiviti
dan mata pelajaran,  sering tidak memberi ruang untuk
guru membuat latihtubi sebagai pengukuhan.

Oleh itu, kerjasama ibu bapa membantu di rumah adalah
satu proses kesinambungan yang penting  untuk murid
lebih memahami setiap isi pembelajaran.

Ruang masa kurang daripada 30 minitpun sudah memadai,
bagi ibu bapa yang sibuk bekerja, berbanding anak dibiarkan
begitu sahaja.

Andai boleh diberi lebih daripada masa ini, adalah lebih baik
dan pasti  akan membuahkan hasil yang lebih baik lagi.

Memikul bersama sesuatu tanggung jawab besar adalah
lebih baik berbanding membiarkan oang lain terhoyong
hayang seorang diri memikul beban  tanpa bantuan.








BICARA YB/ AKTIVITI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Ingin mengatasi masalah tingkah laku murid-murid?

Caranya sangat mudah.

Susun aktiviti pembelajaran dengan teliti.
Gunakan bahan bantu yang boleh menarik hati.

Selasa, 3 April 2018

BICARA YB/ MOTOR HALUS

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Apabila ada murid baru, masuk ke Program Pendidikan Khas,
lakukan ujian diagnostik terlebih dahulu untuk mengetahui
tahap pengetahuan sedia ada mereka.

Setelah dikenal pasti tahap mereka memudahkan guru
melaksanakan intervensi.

Contohnya.  Murid masih belum boleh memegang alatulis, jangan
sekali-kali memberi mereka pensel atau pensel warna untuk
menulis atau mewarna.

Murid tidak suka membuat perkara yang sukar diperingkat awal.
Jika mereka dipaksa boleh membantutkan keinginan belajar
seterusnya.

Susun aktiviti intervensi yang boleh membantu meningkatkan
kemahiran motor halus terlebih dahulu.

Antara  aktiviti yang boleh dilakukan  adalah:
1. Memasukkan syiling ke dalam tabung.
2. Mencantum lego.
3. Bermain tanah liat.
4. Mengoyak kertas.
5. Memicit spray yang mengandungi air berwarna
    ke atas kertas.
6. Membuka dan memasang zip.
7. Membuka dan menutup penutup botol.
8. Menyepit  penyepit baju di kotak.
9.  Menggenggam bola getah kecil
10. Membuka dan memasang selak pintu.
11. Membuka dan menutup tombol pintu.

Latih tubi aktiviti  yang dicadangkan ini akan membantu jari jemari murid bersedia untuk menulis dan mewarna.

Ada berbagai lagi aktiviti yang boleh membantu murid-murid meningkatkan kemahiran motor halus mereka.

Terpulang kepada guru untuk menyediakannya. Yang paling penting ianya dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak-anak ini, sebelum mereka
bersedia untuk menulis.



Isnin, 2 April 2018

BICARA YB/ EYE CONTACT

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Kanak-kakak yang bekeperluan khas mahupun lewat
perkembangan boleh dibantu untuk lebih maju samada
di dalam akademi ataupun kemahiran lain.

Langkah pertama, perlulah kita mengenal kekuatan yang ada
pada murid tersebut.

Andai murid masih belum boleh memegang alatulis namun
mempunyai "eye contact", maka ia sudah memadai untuk
guru membantu.

Sebenarnya tidak ada istilah "tidak boleh", dikalangan anak-anak
ini. Selagi mereka memahami arahan, selagi itu harapan untuk
membantu amat cerah.

Andai guru dan ibu bapa bersungguh-sungguh tanpa
mengenal jemu, mereka memang  boleh maju.

Dengan kekuatan  "eye contact" dan boleh mengikut arahan,
mereka boleh diajar untuk membaca, menulis, mengira dan
menguasai kemahiran lain untuk membolehkan mereka berdikari.

Susun langkah pengajaran dengan menggunakan kaedah
yang bersesuaian dengan tahap kebolehan mereka.

Mulakan dengan jarak masa yang singkat  di dalam setiap
sesi pembelajaran. Beransur, tambah masa pembelajaran agar
murid tidak rasa bosan.

Gunakan berbagai bahan bantu yang menarik minat
untuk  membantu murid mengekalkan ingatan.

Istiqamah di dalam usaha mendidik. Banyakkan berdoa agar
murid berjaya.

Insya Allah.





Ahad, 1 April 2018

BICARA YB/KEKUATAN

Alhamdulillah. Di izinkan saya menulis.

Apabila mengajar anak-anak yang lemah atau lambat
di dalam pelajaran seseorang guru perlu kreatif.

Jangan sekali-kali hanya memikirkan kelemahan mereka,
sehingga membantutkan harapan guru sendiri untuk
membantu.

Namun, cari kekuatan yang ada pada diri murid,
meskipun kecil untuk digilap agar menjadi lebih
cemerlang.

Menghargai kelebihan lebih baik berbanding
mencaci kelemahan.

Sabtu, 31 Mac 2018

BICARA YB/PANCAINDERA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Semakin banyak pancaindera yang murid gunakan
semasa belajar, semakin mudah mereka memahami
dan mengingat.

Contoh:
Menggunakan kad huruf  a daripada kertas pasir 
untuk dilihat, dirasa, disurih dengan jari dan disebut oleh
murid lebih berkesan berbanding hanya melihat dan 
menyebut nama huruf di buku.

# Bahan bantu mengajar amat penting untuk 
mencapai objektif pembelajaran.#

BICARA YB/HADIAH

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Hasil  kerja murid ini adalah hadiah sempena hari
persaraan saya.

Sangat cantik. Gambar saya dihiasi dengan lipatan
kertas seperti rama-rama.

Dengan kerjasama menantu saya ia telah di"frame"kan.
Apabila telah siap saya begitu teruja dan bersemangat
Ingin menggantungkannya didinding.

Malang sungguh. Tidak seorangpun anak-anak saya bersetuju.
Alasan mereka ialah gambar manusia digantung
dalam rumah, malaikat tak masuk.

Allah "frust" sungguh masa tu.

Hampir setahun saya menyimpannya di belakang kerusi.

Kadang-kadang hati "jahat" ini  berkata-kata juga.

"Rumah aku, aku punya sukale, apasal anak-anak nak  halang apa
aku nak buat".

Tetapi apabila saya fikirkan masak-masak, saya terima
dengan lapang dada.

Benar. " Tak gunalah saya hantar anak pergi belajar agama kalau
nasihat  mereka saya tak mahu guna".

Redha dalam  terpaksa ajelah.

Suami dapat merasakan keinginan saya.

Suatu hari dia berkata kepada saya.

"Apa susah sangat Yang. Ambik frame tu biar
abang buka semula cerminnya. Ayang cabut gambar tu,
susun rama-rama tu biar nampak penuh"

Allah. Sayapun tidak terfikir begitu.
Untung juga ada suami kreatif ni.
Tindakan serta merta telah kami ambil.
Ubah suai semula.

Beres!. Bukan main gembira lagi hati saya apbila
ianya berjaya digantung didinding.

Lagi bangga apabila saudara mara dan
kawan-kawan  memuji.

"Wah cantiknya. Siapa buat ye?"

Dengan bangga saya menjawab.

"Murid-murid Pendidikan Khas SKDDH yang buat."

Saya taklah cakap guru-guru dan PPM nya juga buat sama.😀

Terima kasih.
Saya sayang anda semua.😍

Gambar A sebelum ubah suai. Gambar B setelah diubah suai.
Mungkin telah hilang keasliannya. Namun saya sangat suka.💕


Jumaat, 30 Mac 2018

BICARA YB/ KREATIF

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Ingin berjaya sebagai guru terutamanya
Guru Pendidikan Khas perlulah:
1. Kreatif
2. Prihatin
3. Pengasih dan penyayang
4. Bertanggungjawab
5. Tidak mudah berputus asa
6  Penyabar.
7. Mahu belajar
8. Inovatif
9. Berkesungguhan
10.Tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit.

Ada berbagai lagi. Andai  ini yang ada dalam diri kita.
Alhamdulillah. Murid berjaya. Guru sentiasa ceria.

Jumaat, 23 Mac 2018

BICARA YB/ TIPS

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Antara tips memberi arahan kepada  kanak-kanak.
Normal apatah lagi istimewa:

1. Ringkas.
2. Gunakan bahasa mudah.
3. Cukup 1 arahan.
4. Ulang paling kurang 3 kali.

Buat masa sekarang saya rasa memerlukan
arahan sebegini.

Allahhuakhbar....

Sungguh, fitrah kehidupan.
Perlu selalu muhasabah.