Rabu, 26 Julai 2017

BICARA YB/HATI IBU

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Seawal 9.00 pagi saya sudah berada di kaunter farmasi
Klinik Ayer Keroh. Setelah mengambil nombor giliran,
saya  menuju ke kerusi yang bersusun di ruang legar farmasi.

Tiba -tiba mata saya tertumpu kepada seorang kanak-kanak
lelaki ( lingkungan 11 atau 12 tahun) menolak kerusi roda
seorang wanita tua menuju ke arah yang sama.

Setelah mendekati mereka,  saya mengucapkan salam dan
bersalaman dengan wanita  tua itu sambil bertanya.

"Sakit apa makcik?"

"Sakit kaki", jawabnya sambil menunjukkan kaki kirinya kepada saya.

Saya hanya melihat dari jauh. Nampak biasa-biasa sahaja di mata
saya.  Namun mungkin sakitnya itu hanya empunya diri yang rasa.

"Doktor kata apa?" Tanya saya kembali.

"Doktor kata tak boleh sejuk" jawabnya.

"Allah sayang makcik" . Kata saya kepadanya.

Kata-kata itu memang   biasa digunakan untuk memujuk
diri sendiri ketika sakit atau siapa sahaja yang saya ziarahi
dan mengadu sakit kepada saya.

"Allah sayang?" Wanita tua  itu memandang saya dan
 bertanya  dengan raut wajah kehairanan.

Setelah itu dia menutup mulut dengan kedua tangannya
sambil ketawa kecil dan mengulangi kata-kata saya itu.

Ternyata dia tidak memahami maksud yang tersirat di
sebalik kata-kata saya itu.

Atau dia rasa saya bergurau. Allah sayang, tapi beri sakit.

Melihat keadaannya   itu,  saya  terus  duduk di kerusi
berhampiran dengan kerusi roda yang didudukinya.

"Memang Allah sayang . DIA beri  sakit supaya dosa-dosa
kita dapat diampunkan".

Saya menjelaskan kepada wanita tua itu.

Dia memandang wajah saya dan berkata lagi.

"Dah sakit macam ni , matipun tak apa".

Allahuakhbar. Lain benar bunyinya. Bisik hati saya.
Seperti putus asa,  kecewa.

"Tak baik cakap macam tu". Saya cuba memujuk.

"Anak makcik berapa orang?"

Saya cuba mengubah tajuk perbualan supaya  orang
tua itu tidak panjang  kecewanya.

"Ramai,  8 orang. Itupun bila nak minta tolong
 hantar ke klinik, dia kata dia, dia kata dia. Susah".

Jawapan yang diberikan itu sedikit sebanyak  menerangkan
kepada saya tentang isi hati kecilnya.

Dia  kecewa  di atas sikap anak-anaknya.

"Dah tu siapa yang hantar makcik tadi? Saya bertanya kembali.

"Tu, anak bongsu makcik" sambil tangannya menunjuk kearah
 seorang lelaki yang duduk di hadapan saya.

Dalam masa sama saya memandang,  tiba-tiba lelaki itu menoleh.

Mungkin dia sebenarnya memasang telinga sejak tadi,  mendengar
perbualan kami.

"Orang tua ni (dimaksudkan kepada makcik tersebut) tak de duit.
 Itu yang semua tak mahu hantar.  Cuba kalau banyak duit,
berebut nanti."

"Biarkan, esok-esok anak dia orang,  buat macam tu juga kat
 dia orang,  baru padan muka".

Lelaki itu berkata sebagai melahirkan  rasa marah dan
 tidak berpuashati  kepada adik beradiknya yang lain.

Saya terdiam. Kata-kata lelaki itu membantutkan hajat
 saya untuk terus bersembang dengan wanita tua itu.

Kebetulan, nombor giliran saya dipanggil. Sayapun
bersalaman dengan wanita tua itu dan berlalu untuk
mengambil ubat.

Begitulah. Apabila telah tua, hati mudah terasa.
Kecewa dan sedih. Saya juga kadangkala mengalaminya.

Namun, setelah memikirkan bahawa Allah ingin mengampuni
dosa lalu saya,  pernah berkasar kepada ibu bapa  menyebabkan
 saya cepat-cepat beristigfar dan  memaafkan anak-anak saya.

Namun sebagai anak-anak fahamilah bahawa  ibu qbapa yang
telah tua perlukan perhatian. Cubalah luangkan masa dan hulurkan
tenaga untuk membantu mereka sementara mereka masih lagi ada
didunia.

Menjaga ibu bapa demi mendapatkan syurga lebih baik berbanding
dunia dan segala isinya.











Isnin, 24 Julai 2017

BICARA YB/JEMPUT-JEMPUT

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Saya kurang mahir di dalam masak memasak.
Samada gulai mahupun kuih muih. Tradisional
mahupun moden.

Meskipun begitu, disebabkan suami saya bukan
seorang yang  gemar minum di kedai kopi,  maka saya
sangat berminat untuk belajar jika terjumpa makanan
yang sesuai untuk dibuat minum pagi ataupun petang.

Saya tuliskan semula kisah lama itu.

Saya berkunjung ke rumah seorang rakan  yang baru
di kenali semasa berkursus. Saya dihidangkan
sepiring jemput-jemput.

Yang menariknya tentang  jemput-jemput tersebut
ialah ia  tidak dicampurkan dengan apa-apa bahan
tambahan seperti bawang mahupun ikan bilis kecuali
air panas dan garam.

Mulut saya yang memang ringan ini tidak segan bertanya
cara  membuat jemput-jemput yang garing di luar namun
lembut di dalam itu.

Rasanya seperti dicsmpur kelapa parut yang muda. Macam
adunan lempeng kelapa yang selalu dibuat oleh emak semasa
saya kecil.

Puas saya meneka itu dan ini. Namun kawan baru saya
itu menjawab bahawa resepinya hanya garam dan air
panas sahaja.

Jawapan yang  pelek buat saya. Betapa tidak, saya
merasakan jemput-jemput itu dicampur  kelapa parut.
Lemak dan lembut.

Setelah melihat dia bagai mahu mengelak dari mengajar
saya cara sebenar membuat jemput-jemput itu, sayapun
mengalah. Tidak mahu memaksa.

Meskipun begitu ada juga beberapa kali saya mencuba.
Namun rangup dan lembutnya tidak serupa.

Pernah sekali tepungnya terus berkecai semasa digoreng.
Mungkin terlalu cair.

Pun begitu, mungkin Allah mengetahui  niat saya. Baik.
Berhajat memberi suami dan anak-anak makan dengan
air tangan sendiri.

Suatu hari saya mencuba lagi.  Memasukkan garam dan
mula membancuh tepung dengan air panas mendidih.

Malangnya air panas yang saya didihkan tidak mencukupi.
Malas untuk memasak lagi,  saya terus menggoreng  bancuhan
tepung yang terkeras itu.

Masya Allah. Rupanya itulah rahsianya. Bancuhan
tepung yang  keras dan air panas mendidih itu telah membentuk
jemput-jemput yang saya idamkan.

Rangup di luar, lembut di dalam. Rasanya lemak seolah-olah
diisikan kelapa muda yang diparut.

Syukur atas nikmat  ilmu daripada Allah.

Sejak itu saya  menjadi chef untuk resepi jemput-jemput.
Kepada siapa sahaja yang bertanya apabila saya hidangkan
kepada mereka.

Siap demo lagi jika berpeluang.

Saya sangat gembira apabila ada ibu-ibu muda yang
dapat saya curahkan ilmu tersebut.

Betapa tidak, dengan keadaan ekonomi negara yang
tidak menentu, sangat membantu mereka mengenyangkan
perut suami dan anak-anak dengan hanya bermodal tepung
gandum, air panas, garam dan minyak untuk menggoreng.

Sangat mudah dan menjimatkan.

Saya memahami bahawa jika seseorang itu
mahir dalam masak-memasak jemput-jemput saya ini
hanya layak dipandang sebelah mata sahaja.

Namun seperti yang saya katakan, sebagai seorang yang
kurang mahir saya amat berbesar hati apabila dapat menjamu
ahli keluarga dan tetamu dengan jemput-jemput ini.

Tambahan lagi saya amat bersyukur kerana telah berjaya
mencurahkan ilmu bermanfaat ini kepada orang lain.









Ahad, 23 Julai 2017

BICARA YB/ PEKERJAAN


Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Beroleh pekerjaan mengikut seperti yang kita
cita-citakan adalah rezeki daripada Allah kepada
hambanya.

Namun tidak dinafikan ada di antara kita yang
bekerja kerana terpaksa.

Untuk menyara diri dan keluarga.
Ataupun untuk membayar kembali pinjaman
semasa belajar.

Namun hati sering tidak gembira.
Semua yang dibuat serba tidak kena.

Kerja tidak dengan sepenuh hati.
Ikhlas jauh sekali.

Kerana pekerjaan yang di miliki jauh daripada
impian di hati.

Pun begitu, perlu disedari.
Tidak semestinya Allah memberi apa yang kita hajati.
Kerana mungkin ia baik di mata kita tetapi tidak
disisiNYA.

Apa yang sedang berada di hadapan mata hadapilah
dengan gembira.

Kecaplah sedikit manis daripadanya.
Lupakan  masam, masin dan pahitnya.

Latihlah hati untuk beralah dengan ketentuan.
Pasti ada hikmah yang telah ditentukan.

Kadangkala kita perlu pasrah dan tabah.
Demi secebis kegembiraan di dalam kehidupan.

Teringat  kepada luahan hati seseorang kepada saya.

"Walaupun saya tidak berminat dengan kerja yang ada
sekarang, tetapi saya sedang cuba buat yang terbaik
supaya dapat  menghalalkan gaji yang saya terima".

Hidup ini indah apabila kita sentiasa berlapang dada.

Isnin, 17 Julai 2017

BICARA YB/ HIKMAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Saya dan anak lelaki saya tiba agak lewat sedikit.
Kelihatan jemaah lelaki sedang membaca doa tahlil
di ruang beranda rumah tersebut.

Saya melintasi beberapa orang saudara mara lelaki
yang sedang duduk di beberapa buah kerusi batu di
tepi rumah itu.

Saya menuju ke belakang rumah. Berniat untuk
masuk ke dalam melalui pintu bahagian dapur.

Melihatkan ruang dapur yang sempit dan tidak dapat
mengagak tempat yang sesuai untuk duduk, saya berhenti
seketika di hadapan pintu.

Ralit saya melihat jenazah  yang sedang dimandikan oleh
bilal dengan bantuan anak, cucu dan menantu simati.

Fikiran saya  tiba-tiba melayang. Menginsafi diri.

Mengandaikan  jenazah saya  yang sedang dimandikan.
Bagaimananakah agaknya? Sudah bersediakah saya?

Tiba-tiba seorang remaja perempuan  menghampiri saya.

Oleh kerana  dia bercakap dengan nada yang pantas,
saya tidak perasan samada dia menegur saya dengan
panggilan makcik ataupun puan.

Yang pastinya dia tidak membenarkan saya berdiri di situ
untuk  melihat jenazah yang sedang dimandikan.

"Hanya untuk dilihat oleh anak, menantu dan cucu sahaja"

Itulah alasannya.

Saya terpinga-pinga sambil tertanya-tanya didalam  hati.

"Apahal pula budak ni, salahke tengok jenazah yang sedang
dimandikan"?

Sama jantina pula.

"Saya anak buah juga, bukan orang lain".

Jawapan perlahan saya itu hanya kedengaran di telinga sendiri.
Budak perempuan itu tidak mendengarnya kerana telah berlalu pergi.

Malas hendak berdegil.

Saya melangkah perlahan menyelit di celah-celah beberapa
orang saudara mara wanita yang saya kenali dan duduk di tepi
dinding berdekatan dapur.

Saya mencapai nashkah surah yasin yang terletak di atas
almari berdekatan dan mula membacanya.

Usai membaca, saya tidak menunggu lama,  terus
keluar untuk pulang.  Anak lelaki yang sedang berdiri di hadapan
rumah mengekori  belakang  saya tanpa sepatah kata.

Ada kesakitan dihati.

Sepanjang perjalanan pulang berbagai perasangka muncul
di fikiran saya.

Namun berjaya saya redakan  apabila meningatkan kembali
ceramah yang saya dengar berkenaan buruknya orang yang
suka berperasangka.

Namun.

Persoalan tetap  timbul.
"Mengapa budak itu cakap begitu?"

Sepanjang hidup saya ini adalah kali pertama berhadapan
situasi itu.


HIKMAH

Keletihan berpuasa membuatkan saya terlena sebaik sampai
di rumah. Kisah itu hilang dari ingatan bersama nyenak saya.

Semasa berbuka saya teringatkannya kembali dan bercerita
kepada suami, anak dan menantu yang berbuka bersama.

Anak-anak dan menantu saya memberi respond masing-masing.

Tiba-tiba anak ke lima saya berkata.

"Bukanke emak berjanji dengan ayah sebelum pergi tadi,
untuk pergi sekejap saja. Itulah sebabnya Allah hantar budak
itu menegur. Kalau tidak mesti emak lambat balik".

Baru saya terperasan. Memang saya akan lambat jika
perkara itu tidak berlaku.

Sepertimana biasa saya akan sama-sama membantu
memandikan, melihat jenazah dikafankan, sama-sama solat
jenazah dan hanya akan beredar pulang apabila jenazah
telah diusung ke tanah perkuburan.

Allah hendak mendidik rupanya. Biar tetapi janji.

Seperkara lagi yang datang dalam fikiran saya.

Itulah akibatnya. Rumah emak saudara sendiri saya jarang
kunjungi. Cucu cicit saudara tidak mengenali saya.

Kerjaya telah menghalang ziarah. Selepas bersara baru saya
memulakannya. Namun begitu belum juga tiba tahap
sepatutnya. Masih ramai saudara mara yang lama tidak saya
ziarahi.

Rupanya itu adalah teguran kedua   daripada  Allah kepada saya.

Memikirkan semua itu, tidak jadi saya hendak marah lama-lama.

Semua ada hikmah. Belajar untuk muhasabah diri.




Selasa, 11 Julai 2017

BICARA YB/ KHATAM AL QURAN

Alhamdulillah.

Kisah  di hujung Ramadhan yang lalu.

Suara yang kedengaran  di telefon  bimbit pagi  itu  membuatkan
hati saya berdebar.

Sahabat saya menelefon saya  sambil  menangis.

Saya  yang sedang  berdiri ketika  itu  terus  duduk  di kerusi
yang berdekatan.

Ingatan saya  terus  menerpa  kepada ibu  sahabat  saya  itu.
Telah  tua  dan  kurang  sihat .

Adakah ibunya  meninggal  dunia ?
Mengapa  dia  menangis  beria-ria ?

Namun setelah  dia  bersuara dengan  tenang  baru  saya
memahami apa yang  ingin  disampaikan.

MasyaAllah.  Rupanya dia  ingin  menyampaikan kepada
saya  satu  berita  gembira.

Dia  berjaya mengkhatamkan  Al Quran setelah  bersungguhan
mengaji sepanjang  bulan  Ramadhan.

Perkara  yang  pertama  kali  berjaya dilakukan  setelah
berpuluh  tahun  diberi  usia  oleh Allah.

Saya  turut  menangis gembira  dengan perkhabaran  itu.

Bagi saya sahabat saya  itu  adalah  pilihan Allah.

Cita-citanya  untuk  boleh  membaca Al -Quran  telah
Allah  perkenankan.

Hampir  setahun  dia  berguru  dengan  saya.  Bermula daripada
Iqraq 1 hingga Iqraq 6.

Diteruskan  dengan membaca  Quran.  Akhirnya  bulan
Feb  2016 dia  bersama   3 lagi  rakan- rakan  mengaji
dewasanya telah khatam  Al- Quran  di rumah  saya.

Mengimbas  kembali  saat  dia  berguru  dengan  saya
sangat memotivasikan saya  untuk  mengajar.

Tidak  kenal  putus asa  dan kecewa.  Meskipun  pada
mulanya  terasa  sukar  namun  usaha dan doanya yang
tidak  berhenti  telah  membuahkan hasil.

Syukur.  Dia  berjaya mencapai cita-citanya.

Saya  berpeluang beroleh pahala melalui dia.

Gembira  menjadi  guru  kepadanya.

Akhir  perbualannya, dia bersungguhan  meminta  saya
mendoakannya.

Biar  dapat  khatam  Al Quran  di hadapan  Baitullah.

Airmata  saya  meluncur  laju  mendengar permintaannya.

Insyaallah  sahabat. Sesungguhnya  Allah  Maha  Mendengar.

Marilah  kita  sama -sama  meminta.


Rabu, 5 Julai 2017

BICARA YB/ CERAMAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis,

MEMBERI CERAMAH.

Melihat kembali gambar-gambar semasa dijemput memberi
ceramah mendorong saya menulis sesuatu.

Saya sangat gemar berceramah tentang pengalaman sebagai
guru Pendidikan Khas. Terutama dalam bab cabaran menguruskan
tingkahlaku anak-anak istimewa.

Apabila menyebut tentang mengurus  anak istimewa pasti saya
akan menyentuh peranan guru dan pembantu pengurusan murid.

Di sini selalunya saya menyertakan contoh-contoh yang memang
berlaku samada di sekolah saya bertugas mahupun kisah daripada
ibu bapa atau guru daripada sekolah lain  yang dikongsikan bersama
saya.


EMOSI

Adakalanya saya sangat tegas dan beremosi apabila menyentuh
tentang anak-anak istimewa yang severe dibiarkan tanpa bantuan
yang sepatutnya.

Memang saya sangat marah. Meradang. Geram.

Mengapa anak-anak itu dibiarkan terbaring, berlari atau duduk
begitu sahaja?

Mengapa tidak disusun jadual giliran untuk membantu
anak-anak yang perlukan pengajaran individu?

Mengapa anak-anak itu dicutikan setiap kali ada program
tertentu di dalam mahupun luar sekolah?

Berbagai lagi persoalan tegas yang saya timbulkan supaya
peserta kursus  sedar akan tanggungjawab.


BERIA-RIA

Setelah sekian lama berceramah saya dapat membaca
air muka peserta kursus di hadapan  saya setiap kali isu ini disentuh,

Isu  guru dan pembantu pengurusan murid yang kedekut tenaga
dalam menguruskan murid yang severe.

Yang suka membiarkan murid-murid ini begitu sahaja.

Ada peserta  yang nampak sangat  gembira.

Mungkin mereka  sependapat dengan saya. Namun  tiada kuasa untuk
bersuara.

Tolonglah cikgu-cikgu dan pembantu pengurusan murid.

"Murid yang bermasalah tingkah laku  severe jangan diabaikan"

Selalunya muka-muka inilah yang akan beria-ria bertanya..

Mencungkil rahsia bagaimana anak-anak istimewa yang bermasalah
tingkah laku severe ini dapat dibantu.

Saya sangat gembira bersama mereka.


TERSEDAR

Ada juga yang baru tersedar. Mengalir airmata memeluk saya.

"Saya banyak berhutang dengan anak-anak ini puan.
Saya akan cuba buat yang tebaik selepas ini".

Itulah kata mereka. Sebagai ikrar untuk bertugas dengan
lebih baik.

Hidayah bukan daripada saya. Namun cikgu dan pembantu
pengurusan murid itu telah dipilih Allah untuk berubah.



MASAM MENCUKA

Tidak kurang juga yang masam mencuka. Berasap telinga,
Terbakar hati mendengar hujjah saya. Saya boleh membaca
riak muka dan bahasa badan  mereka.

Tidak langsung menoleh. Tidak mahu bertentang mata.
Tidak sabar keluar daripada  bilik atau dewan sebaik
selesai sesi ceramah.

Apabila bertemu di tempat makan,  senyum saya  tidak dibalas.

Adakah saya terasa? Pada mulanya dahulu begitulah.

Namun kini saya memegang satu prinsip.

"Perkara salah perlu diperbetul. Tugas saya hanya menyampaikan.

Hidayah itu milik Tuhan"

Mungkin cara saya salah. Tidak menggunakan bahasa yang
betul untuk menegur.

Bagi saya sekali-sekala perlu digegar  jasad mereka yang sering
buat-buat lupa  ini.

Biar mereka terjaga dan teringat semula.

"Apakah perasaan kita jika  anak istimewa kita  dibiarkan
oleh guru dan pembantu pengurusan murid begitu sahaja"

#teristimewa untukmu 2#




Selasa, 4 Julai 2017

BICARA YB/HATI

Alhamdulillah. Diizinkan  untukku  menulis.

Kalau di ikutkan hati,  mahu  rasanya dibiarkan sahaja. Dia  yang berdosa.
Bukan  kita.

Kubur  dia, dia  jawab sendiri.
Kita  buat  apa  nak  peduli.

Manusia  bongkak  tidak  perlu   ditegur.

Itulah  bisikan  syaitan  di saat kita marah. Marah kerana  teguran kita  tidak diendah.

Namun setelah tenang,  lain  pula hati
kita berbicara.

Dia tidak boleh  dibiarkan.  Dia  perlukan bimbingan.  Perlu  diberi  teguran. Takkan  nak  biarkan  dia  begitu  saja ?

Dia  perlu  dibantu.  Kitalah yang layak. Allah tahu  semua  itu.

Allah    nak  beri pahala kepada  kita  melalui  kedegilan  dia.

Kita  cuma  perlukan dua  perkara  untuk  mendapatkan  pemberian itu.

 Sabar  dan  tidak  boleh  putus ada.

Begitulah hati  kita.  Kadangkala  api kemarahannya  menyala.

Adakala pula  sejuknya memadam api kemarahan  umpama  air ditelaga.

Kita  semua  sentiasa   diuji.
Oleh  DIA yang Maha Mengetahui.

#mencari  bahagia #
Mengharap  bantuan  daripadaNYA.



Isnin, 3 Julai 2017

BICARA YB/MENDIDIK

Alhamdulillah.

Mendidik  anak istimewa  adalah  satu cabaran  yang  besar  kepada  ibu bapa, guru dan pembantu  pengurusan murid.

Jika kena  caranya  pahala melimpah.
Jika sebaliknya pula dosa  berganda.