Khamis, 18 Mei 2017

BICARA YB/SELAMAT HARI GURU


Alhamdulillah.

Setiap tahun, sambutan  Hari Guru tetap dinanti oleh semua guru.
 Buat saya yang telah bersara hanya kenangan masih bermain
di dalam mata. Saat indah ketika diraikan oleh anak-anak
didik tercinta.

Mungkin saya  tidak diraikan lagi seperti sebelum ini.  Namun
 saya masih terkenangkan seseorang yang   pernah saya  raikan
 hari guru bersamanya meskipun pada ketika  itu dia juga
 bergelar pesara seperti saya.

Dia adalah seorang ustazah yang mengajar saya semasa
di Sekolah Kebangsaan Padang  Temu Melaka. Setelah lama
 berpisah  kami bersua dan rapat kembali  apabila  bertugas
di  Sekolah yang  sama iaitu Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir,
Melaka. Saya juga dapat meraikan hari persaraannya di sekolah
tersebut.

Selepas persaraannya, setiap tahun pada 16 hb Mei ,  saya akan
kerumahnya  bagi meraikan Hari Guru bersama.

Dia amat gembira melihat kehadiran saya. Banyak cerita yang
 kami kongsikan setiap kali  pertemuan singkat itu. Banyak nasihat
yang dihulurkan kepada saya. Diantara nasihatnya  yang saya
tidak akan lupa hingga sekarang ialah:

Jangan bersikap  sombong meskipun telah berada di puncak .

Semuanya kini  adalah sebuah kenangan yang tidak mungkin
saya  lupakan.  Setiap kali saya menghulurkan hadiah hari guru
 buatnya dia akan berkata.

“Kenapa susah-susah, awak datang inipu,  sudah cukup untuk saya”.

Masa itu saya kurang memahaminya.  Namun, setelah bersara,
 kefahaman mula datang dalam diri saya akan ertinya  ucapan
 keramat  itu.

Kini rasanya telah 3 kali sambutan hari guru tidak dapat  dirai
 bersama dia.

Dia telah pergi buat selama-lamanya.

Allahuakbar.  Kasih sayang antara kami rupanya dipandang
oleh Allah.  Saya amat yakin tentang perkara itu.

 Jika tidak,  mana mungkin pada hari pemergiannya  untuk
selama-lamanya ,  hati saya digerakkan oleh Allah  untuk
mengambil cuti rehat.

Syukur yang tidak dapat saya luahkan dengan perkataan. Hanya
dengan linangan  airmata.

Masya Allah pada hari itu saya dipilih oleh Allah untuk  sama-sama memandikan jenazah bekas guru saya.

Al fatihah buat Ustazah Mariah binti Man.
Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan