Isnin, 8 Mei 2017

BICARA YB/NASIHAT

Alhamdulillah.

Kisah ini berlaku awal tahun yang lalu ketika saya berurusan  di sebuah   pejabat kerajaan.

Oleh kerana masa itu waktu minum pagi, iaitu sekitar jam 10,
maka pejabat itu kosong kecuali terdapat seorang pegawai wanita
di dalamnya.

Ternyata, Allah mudahkan urusan saya pagi itu. Pegawai yang
 seorang itulah sebenarnya yang sepatutnya saya temui.

Subhanallah. Maha suci Allah.

Bukan kali pertama saya terjebak di dalam situasi ini.
Rasanya kali ketiga semenjak saya bersara.

 Orang yang  baru saya kenali berkongsi masalah peribadi.

Saya juga terlupa bagaimana pegawai wanita itu boleh mengaitkan
 urusan saya dengan masalah yang dihadapi.

Cuma yang pasti dia bercerita penuh emosi sehingga air jernih bertakung  di dalam kelopak matanya.

 Perkara yang bermain di dalam fikiran saya apabila mendengar ceritanya ialah,   rumahtangganya  ketika itu  umpama retak sedang menanti belah.

Saya menjadi serba salah  di saat wanita itu meminta nasihat daripada  saya. Bagaimana mungkin saya memberi sedangkan saya selayaknya menerima.

Saya hanya mampu membawa kisah pengalaman saya sendiri  dalam menyelesaikan masalah  rumahtangga kepada wanita itu sebagai  satu
nasihat.

 Mungkin kurang sesuai  dengan masalah besar yang dia sedang hadapi.
Namun itu sahaja yang saya mampu lakukan.

" Mesti ada hikmahnya semua ini berlaku kepada puan".

 Itulah penutup perbualan kami . Pegawai -pegawai lain sudah mula
 memenuhi pejabat dan saya  berlalu pergi setelah bersalaman.

Selang beberapa hari saya menerima  whatsapp daripada wanita tersebut. Nasihat saya bersambung kembali.

Saya banyak mengingatkan dia  tentang muhasabah diri dan  taubat.

 Tidak lupa juga saya menuliskan semula nasihat yang pernah  saya dengar daripada penceramah-penceramah ternama melalui radio IKIM.

Kita akan merasa penat dan kecewa jika ingin mengubah manusia, kerana hidayah milik Allah bukan kita. Oleh itu ubahlah diri sendiri terlebih dahulu kerana ia lebih mengembirakan hati kita.

Oleh kerana nasihat-nasihat tanpa suara daripada saya banyak berbunyi meminta dia mengubah dirinya berbanding suami yang baginya penyebab  masalah berlaku  menjadikan  perbincangan kami jadi hambar.

 Itulah perasaan saya setelah membaca semula perbualan di paparan telefon pada hari itu.

Sejak itu juga saya tidak lagi mendengar berita daripadanya. Apatah lagi apabila telefon saya diformat semula, nombor telefon wanita itu juga telah hilang.

Namun hingga kini saya masih terkenangkan dia. Persoalan bermain difikiran saya.

"Adakah wanita itu masih bergelar   isteri ataupun  telah berpisah?"

Memang mudah memberi nasihat.
Namun jika masalah yang datang umpama ombak ganas menghempas dihadapan kita, mampukah kita mengharunginya?

Hanya Allah yang mengetahui.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan