Selasa, 30 Mei 2017

BICARA YB/KURSUS

Alhamdulillah.
30 MEI 2017
PPP BATU  PAHAT
Kursus PTL untuk PPM.
Jumlah peseta 117 orang.










































Khamis, 18 Mei 2017

BICARA YB/SELAMAT HARI GURU


Alhamdulillah.

Setiap tahun, sambutan  Hari Guru tetap dinanti oleh semua guru.
 Buat saya yang telah bersara hanya kenangan masih bermain
di dalam mata. Saat indah ketika diraikan oleh anak-anak
didik tercinta.

Mungkin saya  tidak diraikan lagi seperti sebelum ini.  Namun
 saya masih terkenangkan seseorang yang   pernah saya  raikan
 hari guru bersamanya meskipun pada ketika  itu dia juga
 bergelar pesara seperti saya.

Dia adalah seorang ustazah yang mengajar saya semasa
di Sekolah Kebangsaan Padang  Temu Melaka. Setelah lama
 berpisah  kami bersua dan rapat kembali  apabila  bertugas
di  Sekolah yang  sama iaitu Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir,
Melaka. Saya juga dapat meraikan hari persaraannya di sekolah
tersebut.

Selepas persaraannya, setiap tahun pada 16 hb Mei ,  saya akan
kerumahnya  bagi meraikan Hari Guru bersama.

Dia amat gembira melihat kehadiran saya. Banyak cerita yang
 kami kongsikan setiap kali  pertemuan singkat itu. Banyak nasihat
yang dihulurkan kepada saya. Diantara nasihatnya  yang saya
tidak akan lupa hingga sekarang ialah:

Jangan bersikap  sombong meskipun telah berada di puncak .

Semuanya kini  adalah sebuah kenangan yang tidak mungkin
saya  lupakan.  Setiap kali saya menghulurkan hadiah hari guru
 buatnya dia akan berkata.

“Kenapa susah-susah, awak datang inipu,  sudah cukup untuk saya”.

Masa itu saya kurang memahaminya.  Namun, setelah bersara,
 kefahaman mula datang dalam diri saya akan ertinya  ucapan
 keramat  itu.

Kini rasanya telah 3 kali sambutan hari guru tidak dapat  dirai
 bersama dia.

Dia telah pergi buat selama-lamanya.

Allahuakbar.  Kasih sayang antara kami rupanya dipandang
oleh Allah.  Saya amat yakin tentang perkara itu.

 Jika tidak,  mana mungkin pada hari pemergiannya  untuk
selama-lamanya ,  hati saya digerakkan oleh Allah  untuk
mengambil cuti rehat.

Syukur yang tidak dapat saya luahkan dengan perkataan. Hanya
dengan linangan  airmata.

Masya Allah pada hari itu saya dipilih oleh Allah untuk  sama-sama memandikan jenazah bekas guru saya.

Al fatihah buat Ustazah Mariah binti Man.
Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar guru.

BICARA YB/MACAM ABAH

Alhamdulillah.

Saya menghantar satu barang ke sebuah pejabat
 kerajaan melalui pos laju.

Apabila saya mengajukan pertanyaan kepada pegawai
yang sepatutnya menerima bungkusan tersebut, jawapan
sangat  menghampakan.

Pegawai itu tidak menerima meskipun maklumat terkini
menunjukkan barang tersebut telah diterima oleh seorang
wanita bernama Ani ( bukan nama sebenar).

Kasihan juga saya kepada pegawai terbabit. Perlu menjawab
atas kecuaian orang lain.

Ketidak sampaian barang tersebut  membuatkan saya
meramalkan beberapa kemungkinan.

1. Mungkin penerima barang itu telah TERbuka
    bungkusan  tersebut dan serbasalah untuk
    memulangkan kepada pegawai berkenaan.

2.  Mungkin barang itu menarik perhatian penerima
     kerana boleh digunakan untuk jangkamasa panjang.

3.  Mungkin tersalah letak. Namun satu perkara yang pasti
     bungkusan pos laju itu tidaklah kecil sangat. Ia boleh
     dilihat walaupun terselit di mana-mana.

4. Mungkin penerima tidak mengetahui bahawa pegawai
    pos laju yang menghantar barang tersebut  ada
    menyimpan maklumat penerima dan dia sebenarnya
    telah menjelmakan  ketidak jujuran diri sendiri kepada
    majikan.

Asalnya hati saya sakit juga. Namun apabila saya mengenangkan
sebuah kisah lama menyebabkan sakit itu   terubat.

Masa itu di rumah ada majlis perkahwinan. Salah seorang
daripada abang saya membawa seorang rakan  lelaki ke rumah kami.

Menjadi kebiasaan abah ialah, menggantungkan seluar
yang telah dipakai pada paku yang terlekat di dinding
di ruang tamu rumah.

Pagi itu sewaktu abah mengambil seluar  untuk dipakai,
abah terkejut kerana  mendapati  duit abah  telah hilang.

Jika tidak silap saya berjumlah RM  200. Pada masa itu,
jumlah tersebut  sangat besar, tambahan kepada abah yang
 bukannya orang berduit.

Setelah diselidek dengan beberapa bukti sokongan ternyata
wang tersebut diambil oleh kawan abang saya yang juga
bermalam dirumah kami.

Dia telah meninggalkan rumah kami sebelum subuh.

Salah seorang abang saya yang merupakan seorang anggota
polis bercadang untuk melaporkan kejadian tersebut di balai
polis. Namun abah melarang.

Suasana yang mulanya riuh tiba-tiba jadi sayu apabila
sambil menangis abah bekata.

"Tak apa, abah halalkan. Mesti dia betul-betul nak guna
duit, kalau tidak takkan dia sanggup mencuri".

Walaupun  kisah ini telah hampir 20 tahun berlalu dan
abah juga telah lama meninggalkan kami, namun kami
adik beradik amat menyanjungi sikap abah.

Lembutnya hati abah. Seorang pemaaf dan amat
menyantuni orang susah meskipun masa itu dia juga
sangat memerlukan.


Saya juga ingin menjadi seperti  abah.  Memaafkan,
apa juga yang sebenarnya telah berlaku. Jika benar
wanita yang menerima barang tersebut memerlukan
barang yang saya hantar itu, saya  juga telah menghalalkan.

Semoga barang itu dapat memberi manfaat kepada
kerjayanya dan menjadi asbab saya mendapat pahala.

SETIAP SESUATU YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAH. SAYA AMAT MEYAKININYA.




Sabtu, 13 Mei 2017

BICARA YB/ PERKONGSIAN

Alhamdulillah.

Jumaat pagi.

Semasa saya membuat urusan di Bank Islam Ayer Keroh
saya dijemput minum pagi oleh pegawai di dalam
bank tersebut.

Asalnya rasa janggal kerana dalam otak saya dah disetkan
bank bukan untuk urusan selain  kewangan.

Namun setelah melihatkan kesungguhan pegawai- pegawainya
saya minum dan makan juga.

Sebenarnya mereka sedang melancarkan pembukaan
akaun Al- Awfar. Bagus juga program tersebut. Saya tertarik.


Sebelum pulang sempat bersembang dengan pengurus
Bank Islam  Cawangan  Ayer Keroh itu.

Satu perkongsian yang menarik.
1. Hidup ini Allah dah atur cantik untuk kita.
    Kita hanya usaha dan serahkan segalanya kepada
    Allah.
2. Jadi pemimpin bukan mudah. Satu proses memanusiakan
    manusia.
3. Pemimpin hebat ialah apabila semakin berada dipuncak
     membawa dia semakin banyak sujudnya.
4. Wanita sebenarnya tidak sesuai untuk menjadi pemimpin
     tertinggi. Namun apabila telah dipilih oleh Allah amanah
    perlu digalas dengan sungguh-sungguh tanpa merasa ego
    dengan kebolehan diri sendiri.

Kadangkala fikir kita boleh menyatukan hati manusia.




Rabu, 10 Mei 2017

BICARA YB/MASUK LUBANG

Alhamdulillah.
MASUK  LUBANG

TEMUDUGA

Seorang sahabat  memohon bantuan daripada saya .
Menemuduga pekerja untuk bertugas di dalam syarikatnya. 
Kebetulan ada masa yang terluang,  saya turun membantu.

Seorang ibu muda adalah calon yang saya temuduga. 
Jangkaan saya tepat tatkala melihat wajahnya. 
Dia  seusia dengan anak ke dua saya. 29 tahun .

Dia hanya membawa sehelai sijil kursus berkaitan dengan 
jawatan yang dipohon. Lain-lain sijil akademi tertinggal katanya. 

Saya hanya menerima alasan yang di berikan tanpa banyak 
 soal. Setelah hampir 15 minit bersoaljawab, saya mengemukakan
 satu soalan yang saya rasakan juga penting.

“Tempat tinggal puan jauh daripada  sini. Dapatkah
 puan sampai tetap waktu bekerja  nanti?”

“Insya Allah boleh puan. Saya dah biasa”. 
 Dia menjawab yakin, saya juga menerima dengan yakin.

“Satu perkara lagi  saya nak tanya” .
“Ye puan, apa dia?”  Dia bertanya kembali.
“Kalau hujan, siapa nak hantar puan datang bekerja?
Boleh bawa kereta sendiri ke?
Kali ini dia  tidak menjawab. Cuma memandang wajah saya.
“Oh, mungkin suami puan boleh hantar ”.

Saya menjawab semula  soalan yang saya ajukan
 setelah melihat ibu muda  itu mendiamkan diri.

HABIS  EDDAH
“Sebenarnya saya  dah bercerai, hari ini baru habis eddah”
 tiba-tiba dia menjawab perlahan.

“Oh, maafkan saya” Kata saya serbasalah.

Soalan saya tidak berjawab dan topik perbualan  telah melencong .

Daripada  cerita ibu muda  itu  saya dapat tahu suaminya sudah ada buah 
hati baru  dan akan berkahwin . Dia  kini tinggal dengan bapanya
dan memelihara 2 orang anak. Yang sulung berusia 13 tahun 
dan yang bongsu berusia 3 tahun.

MINTA PANDANGAN
Apabila  sesi temuduga selesai, tiba-tiba ibu muda itu  bersuara
meminta pandangan daripada saya. Tentang  seorang lelaki bergelar ustaz, 
sudah berkeluarga dan bertugas sebagai  tentera  dan ingin menikahinya.

Terkejut dan terdiam saya .

“Allahuakhbar, cepatnya dia mendapat pengganti”. Hati kecil saya berbisik.

 Setelah diam  seketika saya bertanya kepada ibu muda  itu kembali.
“Puan tahukah bahawa di dalam angkatan tentera terdapat kelayakan
 tertentu sahaja yang membolehkan anggota mereka berpoligami?”

“Tahu ” Dia menjawap ringkas.

TERPAUT
Saya hanya diam dan mendengar   ibu muda itu bercerita tentang
 anggota tentera tersebut. Rasanya dia dan ayahnya sudah terpaut
kepada kebaikan  dan kesolehan lelaki itu.

Masya Allah. Ceritanya menggambarkan mereka memang bercadang 
untuk  bernikah. Mungkin di negeri Thailand.

Saya cuba mengingatkan ibu muda itu dengan menyuakan satu soalan berani.
“Puan  masih  kecewa kerana  suami puan dirampas oleh  orang lain.
 Ni puan juga buat perkara  yang sama. Tidak rasa bersalahke? “

Ibu muda itu mendiamkan diri. Tidak memandang wajah saya, 
 sebaliknya memandang ke luar.

“Saya rasa lebih baik puan solat istikharah dahulu sebelum 
membuat  apa-apa keputusan. Jangan terburu-buru. 
Ini soal masa hadapan puan dan anak-anak”

Nasihat  terakhir saya kepadanya.

BERSERABUT

Setelah dia pergi, fikiran saya pula yang berserabut  memikirkan halnya.

Pertama,  setelah menghitung usia dia dan anak sulongnya bererti 
dia bernikah semasa berusi 15 tahun. Usia yang sangat muda.

Kedua, rasanya dia tidak menghabiskan persekolahan. Itu sebabnya dia
 tidak ada sijil PMR dan SPM yang boleh ditunjukkan kepada saya.

Ketiga, andai dia meneruskan pernikahan rahsia itu, jika pihak atasan 
dapat mengesannya, dan nasib tidak menyebelahi, bakal suaminya
boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Keempat, jika rahsia tidak terbongkar, lelaki itu boleh  mengabaikan
 tanggungjawanya dengan mudah kerana tiada siapapun tahu mereka 
telah bernikah.

Alahai. Apabila difikir-fikirkan saya rasa macam jadi  tukang sibuk 
pula memifikirkan  masalah orang lain.


Bukan apa, kisah yang berlaku di sekeliling saya menyebabkan 
saya khuatir ibu muda itu masuk lubang  yang sama dua kali.  

Isnin, 8 Mei 2017

BICARA YB/NASIHAT

Alhamdulillah.

Kisah ini berlaku awal tahun yang lalu ketika saya berurusan  di sebuah   pejabat kerajaan.

Oleh kerana masa itu waktu minum pagi, iaitu sekitar jam 10,
maka pejabat itu kosong kecuali terdapat seorang pegawai wanita
di dalamnya.

Ternyata, Allah mudahkan urusan saya pagi itu. Pegawai yang
 seorang itulah sebenarnya yang sepatutnya saya temui.

Subhanallah. Maha suci Allah.

Bukan kali pertama saya terjebak di dalam situasi ini.
Rasanya kali ketiga semenjak saya bersara.

 Orang yang  baru saya kenali berkongsi masalah peribadi.

Saya juga terlupa bagaimana pegawai wanita itu boleh mengaitkan
 urusan saya dengan masalah yang dihadapi.

Cuma yang pasti dia bercerita penuh emosi sehingga air jernih bertakung  di dalam kelopak matanya.

 Perkara yang bermain di dalam fikiran saya apabila mendengar ceritanya ialah,   rumahtangganya  ketika itu  umpama retak sedang menanti belah.

Saya menjadi serba salah  di saat wanita itu meminta nasihat daripada  saya. Bagaimana mungkin saya memberi sedangkan saya selayaknya menerima.

Saya hanya mampu membawa kisah pengalaman saya sendiri  dalam menyelesaikan masalah  rumahtangga kepada wanita itu sebagai  satu
nasihat.

 Mungkin kurang sesuai  dengan masalah besar yang dia sedang hadapi.
Namun itu sahaja yang saya mampu lakukan.

" Mesti ada hikmahnya semua ini berlaku kepada puan".

 Itulah penutup perbualan kami . Pegawai -pegawai lain sudah mula
 memenuhi pejabat dan saya  berlalu pergi setelah bersalaman.

Selang beberapa hari saya menerima  whatsapp daripada wanita tersebut. Nasihat saya bersambung kembali.

Saya banyak mengingatkan dia  tentang muhasabah diri dan  taubat.

 Tidak lupa juga saya menuliskan semula nasihat yang pernah  saya dengar daripada penceramah-penceramah ternama melalui radio IKIM.

Kita akan merasa penat dan kecewa jika ingin mengubah manusia, kerana hidayah milik Allah bukan kita. Oleh itu ubahlah diri sendiri terlebih dahulu kerana ia lebih mengembirakan hati kita.

Oleh kerana nasihat-nasihat tanpa suara daripada saya banyak berbunyi meminta dia mengubah dirinya berbanding suami yang baginya penyebab  masalah berlaku  menjadikan  perbincangan kami jadi hambar.

 Itulah perasaan saya setelah membaca semula perbualan di paparan telefon pada hari itu.

Sejak itu juga saya tidak lagi mendengar berita daripadanya. Apatah lagi apabila telefon saya diformat semula, nombor telefon wanita itu juga telah hilang.

Namun hingga kini saya masih terkenangkan dia. Persoalan bermain difikiran saya.

"Adakah wanita itu masih bergelar   isteri ataupun  telah berpisah?"

Memang mudah memberi nasihat.
Namun jika masalah yang datang umpama ombak ganas menghempas dihadapan kita, mampukah kita mengharunginya?

Hanya Allah yang mengetahui.



Ahad, 7 Mei 2017

BUCARA YB/ REDHA

Alhamdulillah.
Menziarahinya  bulan lepas masih terasa baru.
Semasa mencium tangannya sebelum balik dia memegang
tangan saya dan berkata:


 "Pokteh dah lama hidup,
Dah lama sihat.
Pokteh redha dengan sakit pokteh ni.
Kalau Allah nak ambik Pokteh sekarangpun Pokteh redha"

Masya Allah. Perkataan redha yang menjentik
naluri kewanitaan saya.


Sepanjang pemanduan pulang ke rumah  hati
 saya tertanya-tanya.

 "Bolehkah saya berkata begitu jika saya ditimpa
musibah seperti Pokteh?"

Kanser usus tahap 4.

Al fatihah untuk Hj Ibrahim bin Abu
Kembali kerahmatullah pada 1.00 pagi 7 Mei 2017.

Kini emak saya tinggal 2 beradik bersama adik bongsunya.
Hj Saleh bin  Abu.

Hidup lawannya mati. Mati itu pasti. Sudah bersediakah
kita menghadapi?

Selasa, 2 Mei 2017

BICARA YB/YAKIN

Alhamdulillah.
Saya amat yakin dengan perkara ini.

Kegembiraan anak-anak istimewa adalah satu
doa untuk kita yang sempurna.
Semuanya tertulis di dalam buku ini.
Teristimewa Untukmu.
Boleh dapatkan daripada saya jika berminat.
Fb. Hasmah Hitam