Jumaat, 4 November 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/GPK PALING SPORTING

Sebagai sebuah program  pendidikan khas yang berdekatan dengan IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, programku adalah antara program yang akan menerima kedatangan guru-guru pelatih menjalani latihan mengajar pada setiap tahun.


Berbagai kerenah guru pelatih yang telah kuterima. Selalunya yang datang memang nampak begitu berminat untuk belajar bagaimana untuk menjadi guru pendidikan khas yang baik.  Tidak  kurang juga yang nampak  keras kepala, sukar nak ditegur.

Bagiku  mereka ini jika  tidak berubah juga walaupun telah  dinasihati alamatnya apabila keluar posting akan menyusahkan orang lain. Mangsanya ialah anak-anak istimewalah,siapa lagi.

Kebiasaannya  selepas memberi taklimat kepada mereka aku akan melantik rakan-rakan guru yang aku rasa layak untuk menjadi guru pembimbing. Aku  tegaskan kepada mereka agar merujuk kepadaku jika apa perkara  mereka tidak fahami.

Itu adalah salah satu daripada strategiku dalam membimbing guru-guru muda yang ada di programku. Aku lebih suka melantik  adik-adik yang baru mengajar tapi berpotensi  untuk menjadi  guru pembimbing membantu guru-guru pelatih ini.

Niatku ialah biarlah segala ilmu yang mereka dapat dariku disebar luaskan kepada guru-guru pelatih ini. Aku sekali sekala akan memantau dan memberi  teguran  apabila  dirasakan perlu.

Guru-guru yang ada diprogramku memang mudah belajar. Kadangkala idea dan tindakan mereka lebih baik dari yang aku jangkakan. Lebih tepat lagi kadang-kadang  lebih baik dari aku sendiri.  Itu yang  membuatkan aku seronok  bekerja  sepasukan dengan mereka.


Sebelum aku dipindahkan,  entah mengapa aku tergerak hati untuk jadi guru pembimbing. Kulihat 2 orang guru pelatih  yang baru melapurkan diri ini semacam aje. Selepas memberi taklimat aku bertanya kepada mereka berdua" Mengapa saya lihat awak berdua macam tak berminat aje".  Mereka  agak terperanjat dengan soalan itu. "Takdelah  kami berminat "jawap mereka.

Hari ke2 dan ke3 aku rasa tekaanku macam  tepat.  Kesungguhan pada  mereka macam tak ade aje. Aku membisikkan rasa hatiku kepada beberapa orang guru di program.  Seorang  dua dari guru-guruku mengiakan dengan beberapa contoh menunjukkan mereka berdua ini kurang berminat untuk menjadi guru pendidikan khas.

Risau juga. Nak membentuk orang yang  tiada minat rasanya agak susah sedikit.  Selalunya yang datang  tak macamtu. Kebetulan pula waktu itu aku kerap pula kena keluar atas urusan menjadi ketua pengawas UPSR. Jadi aku pesankan pada kawan-kawan agar  selalu memantau mereka berdua ini.

Mereka berdua banyak memerhati apa yang kami lakukan. Banyak juga membantu mengurus murid-murid. Waktu rehat makan bersama. Tapi  .... entah tak tahu nak tafsirkan mereka berdua ni.

Waktu  mereka mengajar aku banyak memberi teguran agar mereka  dapat buat dengan lebih baik.  Perlahan-lahan ku lihat perubahan berlaku.   Sangkaanku rupanya kurang tepat. Rupanya mereka berdua ni lambat sikit panas enjinnya. Selepas 2 minggu baru nampak kesungguhannnya.

Banyak betul  yang mereka bantu untuk menambah baik program.  Dapur kami berubah ceria 100%  atas usaha  mereka berdua.  Banyak juga duit yang mereka belanjakan untuk menceriakan  dapur.

Masa hendak dipantau  oleh pensyarah  aku membantu mereka membuat bahan bantu mengajar yang belum selesai.  Banyak yang perlu mereka baiki dari  segi kualiti  bbm.  Aku memang tak puas hati.  Terutama dari segi tulisan, kekemasan dan ketahanan bbm yang mereka buat.

Aku mula   membebel untuk memberi teguran. Mereka  terima dengan senyum.  Aku  harap mereka akan melakukan segala nasihatku pada masa akan datang.

Waktu nak habis latihan selalunya kami diprogram akan buat majlis perpisahan ringkas dengan guru-guru ini.  Buah tangan dari kami untuk mereka selalunya adalah hasil  kerja murid-murid.

Yang  paling kelakar dan aku tidak  percaya apabila dalam majlis tersebut seorang daripada guru pelath itu berkata  adalam ucapannya bahawa  aku adalah GPK Pend.Khas paling sporting yang penah mereka jumpa. 

Semua rakan-rakanku ketawa besar. Aku lebih-lebih lagi geli hati.   Sebenarnya.... aku sendiri tertanya-tanya hingga sekarang betulkah apa yang mereka kata.

Jika ada keikhlasan dalam mendidik,  insyaallah ... semuanya akan berjalan dengan baik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan