Isnin, 23 April 2018

BICARA YB/ MENGAJAR MEMBACA (PERALATAN)

Alhamdulillah. Diizinkan saya untuk menulis.


Di dalam tulisan sebelum ini saya ada menerangkan teknik yang pernah
saya gunakan untuk mengajar murid Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran membaca.

Saya juga ada menerangkan bahawa semakin banyak pancaindera yang
murid gunakan untuk belajar, ia dapat membantu murid mudah mengingat.

Kita lihat apa yang dikatakan oleh Mahfuzah Zainol dalam buku tulisan
beliau yang bertajuk Teknik Persediaan Sensori Dalam Pendidikan Khas.

Setiap manusia mempunyai tujuh (7) jenis deria yang terdiri daripada 
deria sentuhan, rasa, bau, pendengaran, penglihatan, keseimbangan dan
pergerakan.  Setiap komponen deria ini mempunyai peranan penting 
untuk meneriam segala input daripada persekitaran dan menghantarnya 
ke otak untuk diproses membentuk sesuatu perbuatan atau tindakbalas 
bermakna. (Mahfuzah Zainol 2014)

Saya berikan satu contoh di sini:

Diperingkat memperkenal huruf vokal atau konsonan, berbagai aktiviti 
boleh dijalankan dengan menggunakan berbagai bahan bantu mengajar 
yang boleh melibatkan   berbagai jenis deria murid.

Bil
Peralatan
 Deria yang digunakan semasa belajar
1
Kad huruf abjad dengan menggunakan kertas pasir.

i.     Penglihatan(Melihat huruf)
ii     Pendengaran (Mendengar nama
      huruf disebut oleh guru)
iii. Sentuhan( menyentuh huruf
     daripada kertas pasir)
iv.  Pergerakan (menggerakkan jari 
     mengikut bentuk huruf)

2
Puzzle huruf  (a-z) pecahan 2

i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan

3
Puzzle huruf (a-z)
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan

4
Tanah liat untuk membentuk huruf

i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan
iv.                 Pergerakan

5
Kad huruf abjad kecil 
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan
iv.                 Pergerakan



6
Huruf abjad ditulis di penyepit baju
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan
iv.                 Pergerakan

7
Video lagu mengenal huruf a-z
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Pergerakan

8
Pasir
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Pergerakan
iv.                 Sentuhan

9
Kad gambar huruf
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan

10
Lembaran kerja
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan


Kita dapat me lihat bagaiman peralatan yang digunakan oleh murid untuk belajar
melibatkan sekurang-kurangnya 3 deria. Ia sangat membantu murid mengingat 
huruf-huruf yang dipelajari.

Aktiviti yang pelbagai juga sangat penting untuk mengelakkan murid merasa 
bosan dengan satu aktiviti yang sama di dalam masa yang lama. Dalam erti kata 
lain, untuk mengajar huruf vokal ataupun  konsonan kita boleh melakukan 10 
aktiviti seperti saya cadangkan.

Walaubagaimanapun, guru-guru dan ibu bapa boleh juga memilih aktiviti dan
peralatan  lain yang bersesuaian dengan tahap kanak-kanak tersebut.

Banyakkan berdoa semoga anak yang dididik mudah menerima dan memahami.


Ahad, 22 April 2018

BICARA YB/ MENGAJAR MEMBACA


Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Mengajar anak-anak yang mengalami Masalah Pembelajaran 
untuk membaca bukanlah satu perkara yang mudah. Namun 
andai diusahakan bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat 
Insya Allah mereka boleh menguasai kemahiran memabaca.

Perkara asas apabila  ingin mengajar mereka  membaca adalah
pengenalan kepada huruf-huruf abjad a-z. Andai mereka telah 
mengenal huruf abjad  dengan baik, langkah seterusnya untuk
mengajar membaca adalah lebih mudah.

Pengalaman saya mengajar membaca hampir 31 tahun  saya biasa menggunakan
dua teknik  di bawah untuk mengajar mereka membaca.

Bil
Teknik
Pelaksanaan
1
Memperkenalkan ke semua huruf a-z.


1.Huruf vokal a,e,i,o,u diajar terlebih
   dahulu sehingga murid menguasai dengan
   bunyinya sekali.

2.Setelah itu di ajar huruf konsonan.
  Apabila murid telah menguasai kemahiran
  mengenal semua huruf  barulah
  diperkenalkan kemahiran membaca.

2
Mengajar murid mengenal 1 huruf vokal dan 1 huruf konsonan, diikuti dengan kemahiran membaca.

1. Perkenalkan huruf vokal a diajar terlebih
    Dahulu sehingga dikuasai oleh murid.
    Diikuti huruf konsonan b.

2. Murid terus diperkenalkan kepada bunyi
    sukukata ba.

3. Untuk membantu murid mengingat huruf
    yang dipelajari, pelbagaikan aktiviti
    pembelajaran.(akan saya ulas dalam tajuk
    aktiviti mengenal huruf, sukukata dan
    perkataan)
   
4. Murid diperkenalkan kepada huruf c.
    Diikuti dengan mengenal bunyi sukukata
    ca.

5. Setelah itu guru boleh terus
    memperkenalkan  perkataan kepada
    murid.
i.         baba
ii.       baca

5. Setelah itu guru sudah boleh
    memperkenalkan frasa atapun ayat
    mudah.
i.  Baba baca.
        


Saya tidak berkata teknik ini yang terbaik. Ini adalah  dua teknik  yang saya
 pernah gunakan. Berbagai lagi teknik  lain yang boleh dipelajari   dan
diguna pakai untuk anak-anak  Bermasalah Pembelajaran  ini.

Sebagai guru dan ibu bapa banyakkan berdoa semoga anak-anak yang 
kita didik dibukakan hati mereka oleh Allah untuk memahami apa yang
dipelajari.







Sabtu, 21 April 2018

BICARA YB/ ANAK ISTIMEWA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.






















Anak istimewa yang selalunya malu apabila diajak
bersembang. Apatah  lagi diajak bergambar.
Inilah hasilnya. Malu-malu kucing.

Khamis, 19 April 2018

BICARA YB/ TIPS


Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Terdapat sebahagian murid bermasalah autisme yang sukar 
untuk menerima sesuatu arahan. Ini menyebabkan mereka 
sukar untuk menguasai sesuatu kemahiran baru.

Namun apabila mereka  telah memahami dan menguasai sesuatu 
kemahiran yang dipelajari ia akan menjadi rutin . Malah mereka 
tidak akan lupa untuk untuk selama-lamanya.

Oleh itu, ibu bapa dan guru-guru jangan sekali-kali berputus 
asas andai  anak  ataupun  anak murid sukar atau lambat 
menguasai sesuatu kemahiran yang dipelajari.

Teruskan membantu dengan cara:
1.       Berikan  arahan dengan bahasa yang mudah dan senang untuk
       difahami oleh murid.

2.       Konsisten untuk mengajar biarpun kelihatan murid tidak menguasai.

3.       Jangan beri arahan yang banyak dalam satu masa.

4.       Setiap  ahli keluarga, guru juga pembantu pengurusan  murid
       perlu memberi arahan atau latihan yang  sama setiap hari agar
       murid boleh memahami dan menguasai kemahiran yang sedang dipelajari.

5.       Ulang selalu kemahiran yang sedang diajar. Meskipun hanya beberapa minit.

6.       Berikan ganjaran positif walaupun kejayaan yang  dilakukan oleh murid 
       sangat sedikit sebagai sumber galakan.

7.       Ambil masa yang singkat/pendek untuk memulakan kemahiran yang ingin diajar.

8.       Tambahkan masa belajar secara berperingkat agar murid tidak bosan untuk 
       melakukan perkara yang sedang dipelajari.

9.       Rekodkan setiap perkembangan murid.

1.       Banyakkan solat hajat dan berdoa.

       Hanya Allah berkuasa untuk mengubah sesuatu.




BICARA YB/ PPKI SK ALAI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Aktiviti di luar bilik darjah adalah  pengalaman yang mahal
untuk anak--anak  istimewa.

Meskipun hanya di sebuah homestay di taman perumahan.
Namun bagi saya ianya sudah cukup membanggakan.
Sudah pasti menjadi kenangan yang anak-anak ini tidak
akan lupai sepanjang kehidupan mereka.

Tenpat yang selesa dan selamat lebih baik
berbanding tempat  yang boleh mengundang kecederaan.

Di sini mereka belajar berdikari tanpa ibu bapa.
Hanya bersama guru dan ppm sahaja.
Pengisian aktiviti juga sungguh menarik dan boleh
membina  keyakinan diri.

Tahniah PPKI SK Alai.
Terima kasih kerana sudi melayan saya yang menyibuk
sekejap tadi😍

Semoga terus maju jaya mendidik anak-anak syurga ini.💕


Rabu, 18 April 2018

BICARA YB/ KERENAH


Alhamdulilah. Diizinkan saya menulia.

Menghadapi kerenah anak-anak istimewa yang berbagai
kategori masalah memerlukan kemahiran yang unik 
serta kesabaran yang tinggi.

Pengalaman mengajar disamping pengetahuan dalam 
bidang Pendidikan Khas adalah faktor  yang boleh membantu
guru-guru ataupun ibu bapa menangani kerena mereka ini.

Satu contoh situasi saya berikan di sini.

Pernah sekali,  sewaktu melawat sebuah Program Pendidikan
Khas Masalah Pembelajaran Menengah,  saya terserempak 
dengan seorang murid istimewa perempuan yang bermasalah 
Down Syndrome yang sedang baring di lantai kelas, 
sedangkan rakan-rakan lain sedang  belajar bersama 
seorang guru lelaki.

Saya pun bertanya kepada guru berkenaan situasi sebenar 
murid Down Syndrome itu tersebut.

“Dia memang tidak mahu duduk di atas kerusi puan”.

Jelas  cikgu tersebut kepada saya.
“Dah lamake, dia begini?” Saya menyoal lagi.

“Lama juga puan”. Jawab beliau ringkas.

Saya cuba memujuk murid perempuan itu duduk. Namun gagal.

Tiba-tiba saya teringat akan teknik yang pernah saya lakukan 
kepada seorang murid lain yang mengalami masalah hampir sama.

“Nah, tengokni cikgu ambil gambar kamu. Cantiknya”.

Saya menunjukkan kepada beliau gambarnya sendiri daripada 
jauh selepas saya mengambilnya dengan menggunakan telefon
bimbit saya.

Dia nampak tertarik dengan muslihat saya itu. Tangannya menggamit
saya untuk duduk disebelahnya yang masih baring .

“Tak boleh tengok sambil baring. Bangun ye”. 

Pujuk saya sambil menarik tangan beliau.

Dia mula duduk bersila. Saya mencapai sebuah kerusi berdekatan.
Kemudian mempelawa dia  duduk untuk melihat gambar di telefon
bimbit saya.

“Allahu Rabbi”. Izin Allah juga.

Dia bangun dan duduk di kerusi serta memeluk pinggang saya. 
Lama.  Saya membiarkan sahaja.

Tidaklah saya dapat meneka akan perasaan sebenar murid
itu sehingga begitu erat memeluk saya.

Setelah dia melepaskan pinggang saya, satu persatu gambar
beliau saya tunjukkan. Daripada baring hinggalah beliau duduk. 

Beliau kelihatan begitu gembira sekali.

Dalam beberapa minit selepas itu, rakan-rakan yang lain sama
sibuk untuk bergambar. Tiba-tiba kelas itu menjadi meriah.

Kisah di atas adalah salah satu contoh tindakann yang  boleh 
kita ambil andai ingin memujuk murid yang banyak kerenah 
meninggalkan tabiat negatif  mereka.

Bukan untuk duduk belajar, namun duduk sendiri di atas kerusi
sebagai persediaan untuk belajar.  Terpulang kepada kita bagaimana 
untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi, tidak semestinya 
seperti yang saya lakukan, kerana lain murid, lain cara memujuknya.

Menjadi guru Pendidikan  Khas dan ibu bapa yang ada anak 
istimewa perlu berani dan “try and error.”

Berusaha melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah di peringkat 
awal, adalah lebih baik berbanding membiarkan masalah anak-anak 
istimewa ini menjadi semakin kritikal.


Selasa, 17 April 2018

BICARA YB/INDIVIDU

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.



Murid-murid yang Bermasalah Pembelajaran  
mempunyai daya tumpuan yang singkat  dan mudah terganggu.

      Ke dua-dua  masalah ini boleh menyebabkan mereka 
sukar untuk  memahami  isi pelajaran.

     Berdasarkan pengalaman saya, untuk mengatasi masalah
ini mereka perlu diajar secara individu.

          Saya memahami masalah yang dihadapi oleh guru 
untuk melaksanakan pengajaran individu ini kerana  nisbah 
seorang guru ialah mengajar 6 orang murid.

     Bukan bererti seorang guru mengajar seorang murid, dan 

murid lain diabaikan. Ianya bermaksud, murid berada di dalam 
kumpulan semasa induksi set, selepas itu mereka  diajar bergilir
secara individu di dalam kumpulan yang sama.


     Bagi saya andai  mereka diajar secara individu 
meskipun hanya beberapa minit,  tetapi dilaksanakan setiap hari 
oleh semua guru di dalam setiap mata pelajaran, ia lebih memberi 
kesan berbanding diajar dalam kumpulan, namun mereka tidak
memahami sedikitpun perkara yang dipelajari.

     Saya ingin  mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil
oleh guru bagi melaksanakan pengajaran individu tersebut:

i.   Kenalpasti dengan tepat tahap pencapaian murid dan isi 
     pembelajaran yang ingin disampaikan pada hari tersebut.

ii.  Sediakan awal bahan bantu mengajar dan latihan yang akan
     digunakan oleh setiap murid.

iii. Susun langkah pengajaran dengan teliti bagi memastikan masa
     mencukupi dan semua murid berjaya diajar  individu
     secara bergilir di dalam sesi pembelajaran meskipun
     masa yang diberi kepada mereka hanya 5-7 minit  seorang.

iv. Dapatkan bantuan pembantu pengurusan murid bagi melancarkan
     lagi sesi pembelajaran.

v. Elakkan daripada situasi tidak bersedia dalam aspek penyediaan
    bahan bantu mengajar dan bahan latihan murid. Kekerapan guru 
    berhenti semasa mengajar untuk membuat aktiviti lain(contohnya
    mengambil bahan   bantu dan membuat salinan lembaran kerja)
    akan mengganggu tumpuan murid kepada sesi pembelajaran.

    Saya tidak berkata bahawa cadangan saya  adalah cara terbaik.
    Perkongsian pengalaman, itulah matlamat utama saya.
 
    Cikgu boleh gunakan apa sahaja kaedah yang sesuai asalkan objektif
    kita mengajar  dan mereka memahaminya  dapat dicapai.

      




Isnin, 16 April 2018

BICARA YB/ MARAH


Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Ini adalah kisah lama saya semasa bergelar guru Pendidikan Khas.

Perasaan  marah tidak mudah  untuk dibendung andai murid  
istimewa kita membuat “hal”. Adalah bohong andai saya berkata 
bahawa saya tidak pernah naik tangan ke atas mereka sepanjang 
bergelar guru Pendidikan Khas.

       Namun ada perkara yang ingin saya kongsikan andai kita 
benar-benar marah dengan kelakuan mereka.

      Pertama ialah saya sedaya mungkin cuba menukar emosi
marah dengan menuturkan ayat-ayat kelakar ataupun boleh
mencuit hati sendiri.

      Contohnya pernah sekali, seorang murid saya batuk sewaktu 
sedang makan di hadapan saya sehingga hingusnya jatuh berjurai
dan  masuk ke dalam pinggan makan beliau.

Allah. Hanya Dia yang tahu marah dan kembangnya tekak 
saya yang sedang berselera makan ketika itu.

“Cepat-cepat! Siapa hendak jem!  Cikgu beri, sedap ni!” 

     Itulah ayat yang keluar daripada mulut saya untuk mengubat
kemarahan hati dan keloyaan tekak, sementara tangan mencapai
tisu untuk diberi kepada murid tersebut.

Semua murid yang ada di meja makan  kelihatan geli geleman
dan  menjerit-jerit.

“Tak nak cikgu! Tak nak Cikgu! Tak nak cikgu!

     Ada yang bangun dan lari daripada meja makan. Saya juga turut
tergelak  melihat gelagat  mereka. Kemarahan saya terubat
dan  syaitan gagal mengapi-apikan saya untuk marah.

Begitulah. Adalah lebih baik saya membuat kelakar berbanding
marah, ataupun naik tangan ke tubuh mereka.

     Cara kedua pula ialah,  andai saya terlepas naik tangan juga,
saya akan memeluk mereka semula dan berbisik meminta maaf 
bersungguh-sungguh daripada hati kepada mereka dengan harapan 
mereka memahami.

“Cikgu terpaksa sayang, nak suruh kamu jadi baik.”
“Maafkan cikgu! Maafkan cikgu!

     Itulah saja cara yang saya ada, demi  memohon maaf atas 
kesalahan saya terhadap anak-anak yang tidak berdosa ini. 
Semoga mereka memaafkan saya.

     Saya dapat melihat kesannya. Meskipun saya tegas dan kadangkala
bertukar menjadi seperti “seekor singa”, namun mereka tetap manja
dengan saya.

     Malahan, seorang murid haiperkatif yang kini telah berusia 24
tahun masih menyebut nama dan memujuk nenek beliau 
berkunjung ke rumah saya setiap kali  Hari Raya. Sedangkan,
 dengan beliau saya kadangkala bertukar garang umpama singa.

     Sebagai manusia, saya juga ada sifat marah yang adakalanya 
tidak terbendung. Namun, saya dapat merasakan semakin saya
marah, menjadikan saya tidak tenang dan tidak gembira meskipun
telah pulang ke rumah.

     Andai saya tidak berusaha mengubah sikap diri sendiri,
sehingga bila-bilapun saya tidak akan tenang dan tidak 
gembira untuk mendidik mereka.

     Melalui mereka Allah mendidik saya menjadi seorang yang penyabar. 
Melalui mereka juga Allah mendidik saya untuk menjadi orang yang 
sentiasa bersyukur.

     Saya berdoa agar Allah menerima segala usaha saya mendidik
mereka dan menjadikannya sebagai sumber pahala untuk saya
ke syurga bersama mereka.

      Cadangan yang saya berikan ini mungkin sesuai untuk saya
 ataupun sesetengah guru. Tidak kepada yang lain. Jadi... terserah
 samada mahu digunakan ataupun sebaliknya.

     Namun, ada yang lebih penting untuk kita lakukan untuk mengawal
emosi marah kita.
Istighfar...