Selasa, 25 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MUGA USAHA BERTERUSAN

HARI KOKURIKULUM  SK BUKIT  CINA 2011

TAHNIAH UNTUK SEMUA GURU DAN STAF SOKONGAN.   BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN  SAMA DIJINJING.  SEMUGA  HATI  KITA  SEMUA   DISATUKAN DEMI MEMBANGUNKAN SKBC DALAM   SEMUA   BIDANG. INSYAALLAH...







Ahad, 23 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PESANAN UNTUK ANAK-ANAK DAN MENANTUKU.

DALAM MENGURUSKAN TASKA RAUDHATUL SAKINAH MEMANG BANYAK UJIAN DAN DUGAAN YANG TELAH  DAN  AKAN KALIAN  LALUI... PESANAN  INI   JADIKANLAH PANDUAN...

Belajar redha dengan ujian ALLAH.  Sentiasa bersyukur walaupun mendapat sedikit nikmat dariNYA. Pasti akan ditambah dengan nikmat yang tidak disangka-sangka.

Cuba  untuk memaafkan orang lain, meskipun ianya amat sukar .  Pasti kita akan tenang  jika  berjaya lakukan.

Elakkan memandang keburukan seseorang, tetapi pandanglah walau sedikit kebaikannya. Dengan sedikit kebaikan yang kita   hargai pasti lebih memberi erti.

Istiqamah dalam membuat amal dan kebajikan. Sentiasa menjaganya  dalam kehidupan seharian.  Jangan berputus asa memohon keredhaan TUHAN.  Pasti  akan berjaya   semua urusan.... INSYAALLAH.

Jumaat, 21 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ UJIANMU YA... TUHAN

Bila diberi nikmat pasti ianya diiringi ujian.
Redha atau tidak,  terpaksa aku bertahan.
Ujian paling  hebat,
Apabila melibatkan perasaan insan,
Terlalu payah untuk aku  tafsirkan.

Aku  tidak berkeupayaan,
Untuk  membaca hati insan lain,
Sentiasa cuba kujauhkan,
Semua prasangka  mahupun tomahan,
Kadangkala aku  buntu dalam membuat tindakan,
Apabila  muhasabah   diri,
Baru terasa  akan ketidaksempurnaan,


Resah  menguasai diri,
Persoalan silih berganti,

Terlalu sukar untukku membuat pilihan sendiri,
Hanya  mengharapkan  petunjuk ,
Darimu Ilahi.

Mata yang memandang mudah membuat tafsiran,
Diriku  yang menanggung sukar untuk diucapkan,
Itulah yang dikatakan ujianMU YA TUHAN.

SABAR ITU PAHIT NAMUN BUAHNYA MANIS

BELAJAR REDHA DENGAN UJIAN, INSYAALLAH AKAN ADA TAMBAHAN NIKMAT DARI TUHAN

Khamis, 20 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SUKAR

Untuk menyatakan dengan jelas sesuatu kebenaran amatlah sukar dilakukan.  Demi menjaga hati orang lain,  kadangkala kita perlu menyembunyikan kebenaran yang sepatutnya kita luahkan. Keadaan ini akan menyebabkan tiada siapa sedar tentang sesuatu kesilapan yang mungkin akan berlanjutan.

Prasangka akan timbul.  Isu  akan muncul. Marah, benci  dan tidak suka orang yang menegur. Meskipun teguran itu sebenarnya  penuh dengan keikhlasan. Inilah realiti kehidupan.

Apapun, tidak akan berlaku perubahan jika tiada kekuatan hati untuk mengubah kebiasaan.  Memang sukar, tetapi terpaksa kita lakukan demi sebuah kebaikan.

INGATAN  UNTUK  DIRI  SENDIRI.... DAN YANG SUDI MEMAHAMI... MUGA  KITA  SEMUA DALAM  PETUNJUKNYA  DI DALAM  MELAKUKAN  SESUATU. TERLALU  LEMAH  DIRI INI  MAZMUMAH  MELINGKARI  DIRI...SEMUGA DIAMPUNI...

Rabu, 19 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PENGAUDITAN SEKOLAH

Terperanjat  dengan kehadiran pegawai audit dari  Kementerian Pelajaran Malaysia.   Jantung berdegup kencang.  Banyak persoalan yang tidak ada jawapan dari bibir ini.  Terlalu cetek  pengetahuan  dalam pengurusan sebuah sekolah. Jauh bezanya dengan sebuah program pendidikan khas.

Apapun alhamdulillah, banyak perkara baru yang aku dapat hari ini dalam membangunkan sebuah sekolah selamat dan ceria.

Ingatan pada diri sendiri dan semua yang bergelar guru, perlu tahu a-z setiap apa yang kita  uruskan. Jangan sambil lewa dalam memikul amanah   yang dipertanggungjawapkan.  Insyaalllah semuanya akan berjalan dengan lancar.

Isnin, 17 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/TIDAK SALAH

Tidak salah rasanya jika aku mudah tersentuh hati jika mendengar orang lain memperkecilkan anak-anak istimewa. Meskipun   aku tidak pernah memiliki cahaya mata yang istimewa,  tetapi pengalaman bersama mereka membawa aku dapat menyelami rasanya apabila ditertawakan sebagai yang teristimewa.

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AKAK

Dalam situasi tempat baru aku begitu keliru dengan gelaran diri sendiri. Berbelas tahun aku menggelarkan diri sendiri sebagai akak pada adik-adik di program.  Tiba-tiba untuk mengubahnya menjadi saya,  aku jadi kelu. Sering tersasul dan sukar untuk diperbetul.

Sebenarnya  aku amat rindu dengan gelaran lama  itu. Teringat adik-adik tersayang terasa kerinduan makin mendalam. Belum  ada penawarnya . Kesibukan dapat melupakannya  seketika, tetapi apabila sendiri di bilik terdengar-dengar suara. "Kak boleh saya jumpa sekejap?"  entah bila nak dapat  kembali  gelaran   AKAK..... aku masih menanti.

Sabtu, 15 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ LDP TERAKHIR 2011



Hari ini 3 kali tawaf  bandar Melaka   cari Balai Bomba Kubu.  Dah berpuluh tahun  jadi  anak negeri Melaka pun tak tahu dimana letaknya Balai Bomba itu. Hari ini latihan dalam perkhidmatan yang terakhir 2011 diadakan disitu.

Seronok dengar penerangan dari Timbalan Ketua Balai Bomba Jalan Kubu iaitu Tuan Yazid tetang keselamatan di sekolah.

Banyak perkara baru yang  dipelajari.

Terima kasih semua guru SK Bukit China atas kerjasama  untuk hadir hari ini.

AKU PELATIH KDP PEND KHAS MPIK

Tak  terduga juga aku akan bertukar opsyen dari  guru Pengajian Melayu kepada guru Pendidikan Khas.  Padaku Allah telah menyusun  yang terbaik buatku.  Pendidikan Khas bukanlah bidang yang kuidam-idamkan.  Aku sebenarnya tertarik untuk menjadi guru Pemulihan Khas.  Salah pilih... geli hati juga bila ingat kisah  20 tahun dulu.

Sebelum bertukar bidang aku begitu bangga  apabila murid yang kuajar boleh membaca. Masa  itu KBSR sedang dilaksanakan.  Aku  banyak   belajar daripada  Cikgu  Dol  Haji bin Nekmat. Semua guru-guru yang terlibat mengajar Bahasa Melayu memang mengenalinya.

Buku-buku tulisannya untuk mata pelajaran Bahasa Melayu tahap 1 dan tahap 2 banyak berada dipasaran. Dia adalah sifu kepadaku sejak aku berada di dalam  maktab perguruan lagi.

Kebetulan tempat latihan mengajarku ialah SK Padang Temu iaitu  tempat cikgu Dol Haji berkhidmat. Banyak tunjuk ajar yang diberikan kepadaku terutama bagaimana melaksanakan pengajaran dalam kumpulan dan melaksanakan pemulihan dalam  bilik darjah.

Apabila  aku mula mengajar di negeri Pahang dan kemudian bertukar  ke negeri Kelantan, aku akan bertemunya setiap   cuti sekolah bagi meminta nasihat dan pandangan daripadanya tentang bagaimana mengajar membaca di dalam bilik  darjah .

1991  aku terpilih untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan Pendidikan Khas  Bermasalah  Pembelajaran  di MPIK. Walaupun tersalah pilih bidang tetapi kursus tetap kuteruskan. Kata suami mesti ada hikmah disebalik apa yang berlaku.

Sekelas denganku pada waktu itu ialah  rakan-rakan guru  dari seluruh  Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Kalau tidak silap masa itu kami ada 25 orang semuanya.  Aku adalah wakil  daripada  Negeri Sembilan kerana waktu itu suami masih bertugas sebagai jurulatih di Pusat latihan Rekrut di sana.

Rakan-rakan semua dah dewasa.  Geli hati dan kelakar apabila teringat semua kisah semasa di MPIK.
Cikgu Malik dari Pahang adalah orang yang paling banyak menyakat.

Beberapa orang guru perempuan yang masih belum berumahtangga akan jadi mangsa sakatannya  setiap hari di dalam  kelas. Para pensyarah seperti Puan Siti Arbi , Cik Asiah dan Mr Kuay pun tak boleh cakap  apa bila kena sakat.

Kak Pah dari Perak adalah guru pakar dalam bidang pemulihan khas. Banyak yang aku belajar dari dia.
En  Mohd Mokthtar bin Taha pun sekelas denganku. Kini beliau sedang menjadi pensyarah di UKM.

Cikgu Ayub Mohamad dari Johor yang kujumpa dalam kursus beberapa bulan lalu dah menjadi  guru  besar di negerinya  dan Jurulatih Utama  Pend Khas Kebangsaan. Yang sedihnya aku dapat tahu Kak Mi cikgu paling lembut dan sopan santun dalam kelas kami telah lama meninggal dunia kerana diserang kanser. Allah lebih menyayangi dia. Giliran kita entah bila.

Cikgu Abu Samah bin Mamat dari Melaka sudahpun bersara. Dia orang paling senior dalam kelas kami. Dia adalah Tok Penghulu kami di MPIK. Setiap pagi Isnin aku akan menunggunya di tepi lebuh raya  untuk ke MPIK. Selepas kelas pada hari  Jumaat aku dan beberapa orang rakan  guru wanita yang berkursus di MPIK akan menumpang vannya menuju destinasi iaitu kampung halaman.

Selalunya dia akan menurunkan aku di station bas Seremban atau ditepi High Way dan suami akan menjemputku di sana. Masih kuingat aku selalu menyakat dia tentang  huruf pada plate van yang kami tumpang iatu MR (nombor aku dah tak ingat) bermaksud mental retardation . Dia jawap bukan mental retardation tetapi MR membawa erti  menantu raja.

Sebenarnya apabila belajar sesuatu yang baru memang akan  rasa seronok. Apabila  keluar latihan mengajar baru tahu betapa sukarnya bergelar guru Pendidikan Khas.

Aku sebenarnya guru yang amat garang.  Masa mula-mula  mengajar di aliran  perdana teruk juga murid-murid ku kenakan. Ada yang berdarah kena cubit.  Kalau zaman sekarang perkara yang sama berlaku, rasanya namaku tiap-tiap hari masuk surat khabar . Silap-silap,  kes lama tak selesai,  dah keluar  kes baru.

Lawatan pertama semasa di dalam kursus ialah SK Jalan  Batu Perempuan dan SK Jalan Batu Lelaki. Subhanallah , apabila melihat anak-anak istimewa ini hanya Allah yang tahu hati  pada masa itu.  Kasihan, sedih, takut, pelikpun ada. Perasaan yang  bercampur aduk itu lama juga bersemadi di dalam hati.Masa itu aku terfikir juga mampukah aku menurunkan darjah kemarahanku dengan anak-anak istimewa ini?

Baru terasa nikmt  yang Allah  berikan kepadaku.  Betapa beruntungnya aku kerana tidak dipilihNYA untuk mendapat anak-anak istimewa. Dan betapa beruntungnya aku beroleh pekerjaan dengan menjadi guru kepada yang teristimewa.

Setahun menjalani kursus banyak perkara baru kuketahui secara teorinya.  Pensyarah ada juga meyatakan bahawa mereka juga tidak arif sangat dengan bidang itu kerana ianya masih baru. Dengan berbekalkan sedikit ilmu itulah aku bertarung dengan anak-anak ini hinggalah sekarang.

Meskipun 1991 telah lama kutinggalkan, tetapi ianya tetap dalam  kenangan,  kerana disitulah sejarah mula  aku mengenali apa itu PENDIDIKAN KHAS.

Jumaat, 14 Oktober 2011

HARI KELUARGA PROGRAM PENDIDIKAN KHAS

Menjadi orang yang diraikan dimajlis Hari Keluarga PPKI (SKUP) yang ke 15 menarik hatiku. Kali ini kulihat sambutan Hari Keluarga SKUP lebih meriah daripada tahun lepas.

Duduk berbual dengan cikgu Ahmad Yunus (penyelaras ) tentang hari keluarga, baru terperasan setelah dikira-kira 2011 adalah kali ke 15 Hari Keluarga ini diadakan di SKUP.

Sepanjang ingatanku kali pertama diadakan ialah di ILHAM Resort Port Dickson iaitu sekitar   tahun 1997.

Muga usaha ini akan berterusan dan sentuhan tangan ibubapa serta sumbangan  yang diberikan dalam menjayakan majlis ini amat   memberi makna besar kepada Program Pendidikan Khas serta penghuninya.

Program ini dapat membina satu ikatan yang erat anatara guru-guru serta ibubapa bagi membantu memajukan Program   Pendidikan Khas ke arah yang lebih bermakna.

Semuga  semua Program Pendidikan Khas akan mengadakan majlis  serupa di sekolah masing-masing.

Khamis, 13 Oktober 2011

ADA SESEORANG YANG PERLU DIKENANG





Seorang lagi anak abah dijemput Allah untuk menunaikan haji. Selamat berangkat  Ustaz Azmi dan isteri.  Ada seseorang yang perlu dikenang pada waktu begini. Kalau abah ada mesti abah gembira dan senyum tanda syukur pada yang ESA kerana memilih seorang lagi anaknya  bertamu di Baitullah.

Hanya seorang lagi anak abah  yang belum berkunjung ke BAITULLAH. Iaitu Uda yang ISTIMEWA.  Kami doakan Uda yang ISTIMEWA juga akan menjadi tetamu Allah. Insyaallah.

Isnin, 10 Oktober 2011

BOS

Belum terlambat untuk  kuucapkan terima  kasih kepada warga pendidikan khas negeri Melaka  yang mengenaliku  kerana kalian banyak memberi   sokongan moral dan nasihat kepadaku di dalam kerjayaku  sebagai seorang guru pendidikan khas.

Untuk  yang dikasihi  semua  pentadbir , guru-guru, staf-staf sokongan, serta ibubapa SKUP jasa kalian dalam membantuku tidak akan kulupakan selamanya.

Ucapan terima  kasih tak terhingga juga kuucapkan kepada semua pegawai-pegawai yang berada di Unit Pendidikan Khas Melaka kerana banyak menyokong dan mengiktiraf usaha yang kulakukan sepanjang menjadi guru Pendidikan Khas di negeri Melaka ini.

Sesungguhnya jasa kalian tidak akan terlupakan.  Aku tetap akan mengenang semuanya. Demi  mengenali asal usulku sebagai guru kepada anak-anak istimewa ini aku amat  berbesar hati jika  terus diberi ruang dan peluang untuk terlibat sama dalam apa juga aktiviti yang Unit Pendidikan Khas adakan kini hinggalah seterusnya.

Tidak keberatan untukku menghulurkan tenaga yang  dan buah fikiran jika terdapat kelapangan.  Saat-saat indah tidak akan kulupakan sepanjang bersama kalian.


Yang paling kuingat dan tak mungkin kulupakan nasihat dari Ketua Unit ialah:

BOS- Bagi Orang Senang
BUKAN
BOS-Bagi Orang Susah.

Insyaallah akan cuba ku amalkan dalam pengurusan dan pentadbiranku.

Terima   kasih  semua.

Sabtu, 8 Oktober 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS

Dalam pengalaman dan pemerhatianku murid-murid yang menghadapi masalah tingkahlaku walaupun  severe, boleh dibantu untuk dipulihkan tingkahlaku  mereka jika bertepatan dengan kaedahnya.

Selain  itu 4 perkara penting yang perlu digabungkan untuk membantu mereka ialah:
1. Latihan intensif yang berterusan  di sekolah oleh para guru.
2. Kesinambungan ibubapa dirumah.
3. Rawatan  daripada doktor pakar dan  rawatan alternatif  lain seperti  perubatan
    menggunakan ayat-ayat  Quran.
4. Doa daripada ibubapa dan guru-guru.

Walaupun kuletakkan doa  itu di tempat yang ke empat, tetapi ianya hendaklah didahulukan kerana timbulnya masalah tingkahlaku kanak-kanak ini adalah dengan keizinan Allah. Oleh itu,  hanya Allah yang akan mengizinkan perubahannya   dan kita   sebagai guru serta  ibubapa banyakkan doa dan  jangan putus asa untuk berusaha   bagi membantu anak-anak isitimewa ini.

Dalam  pengalaman dan kajian ke atas murid-murid yang pernah ku ajar jika tidak ada salah satu daripada  yang di atas, terutamanya yang ke 2 atau yang ke 4  tingkahlaku  anak-anak   ini  agak  lambat untuk dipulihkan.

Insyaallah....muga dipermudahkan

BERSERAH

Jika setiap kelipan  mata  adalah dengan izinmu,
Jika setiap hela nafas adalah dengan rahmatmu,
Jika setiap gerak  hati adalah milikmu,
Jika  setiap tutur kata  adalah dalam pengetahuanmu,
Adalah mustahil  buatku,
Sembunyikan sesuatu,
Walau sebesar zarah daripada  pandanganmu,
Tentang keburukanku,
Tentang kejahilanku,
Tentang kemaksiatanku,

Mata yang sering memandang,
Hati yang penuh prasangka,
Mulut  selalu bicara yang sia-sia ,
Anggota  tubuh yang kerapnya ketara,
Melakukan yang ditegah,
Kau juga yang mentafsirnya.
Aku  sebenarnya tahu...
Segala yang buruk adalah daripadaku,
Kesempurnaan hanyalah milikmu.

Dan sememangnya....
Hati kerap  mengakui segala keagunganmu,
Mata tak pernah menyangkal kebesaranmu,

Namun,
Nafsu selalu mengelirukanku,
Dunia yang fana sering kusandarkan,
Dalam mengejar impian,
Hingga  kadangkala lupa segala yang telah yang kau gariskan.


Tadahan tangan  dan sujudku,
Tangisan penyesalanku,
Sering bertukar ganti,
Bagai bulan dan mentari,

Penerimaannya,
Aku BERSERAH padamu.