Tak terduga juga aku akan bertukar opsyen dari guru Pengajian Melayu kepada guru Pendidikan Khas. Padaku Allah telah menyusun yang terbaik buatku. Pendidikan Khas bukanlah bidang yang kuidam-idamkan. Aku sebenarnya tertarik untuk menjadi guru Pemulihan Khas. Salah pilih... geli hati juga bila ingat kisah 20 tahun dulu.
Sebelum bertukar bidang aku begitu bangga apabila murid yang kuajar boleh membaca. Masa itu KBSR sedang dilaksanakan. Aku banyak belajar daripada Cikgu Dol Haji bin Nekmat. Semua guru-guru yang terlibat mengajar Bahasa Melayu memang mengenalinya.
Buku-buku tulisannya untuk mata pelajaran Bahasa Melayu tahap 1 dan tahap 2 banyak berada dipasaran. Dia adalah sifu kepadaku sejak aku berada di dalam maktab perguruan lagi.
Kebetulan tempat latihan mengajarku ialah SK Padang Temu iaitu tempat cikgu Dol Haji berkhidmat. Banyak tunjuk ajar yang diberikan kepadaku terutama bagaimana melaksanakan pengajaran dalam kumpulan dan melaksanakan pemulihan dalam bilik darjah.
Apabila aku mula mengajar di negeri Pahang dan kemudian bertukar ke negeri Kelantan, aku akan bertemunya setiap cuti sekolah bagi meminta nasihat dan pandangan daripadanya tentang bagaimana mengajar membaca di dalam bilik darjah .
1991 aku terpilih untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di MPIK. Walaupun tersalah pilih bidang tetapi kursus tetap kuteruskan. Kata suami mesti ada hikmah disebalik apa yang berlaku.
Sekelas denganku pada waktu itu ialah rakan-rakan guru dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Kalau tidak silap masa itu kami ada 25 orang semuanya. Aku adalah wakil daripada Negeri Sembilan kerana waktu itu suami masih bertugas sebagai jurulatih di Pusat latihan Rekrut di sana.
Rakan-rakan semua dah dewasa. Geli hati dan kelakar apabila teringat semua kisah semasa di MPIK.
Cikgu Malik dari Pahang adalah orang yang paling banyak menyakat.
Beberapa orang guru perempuan yang masih belum berumahtangga akan jadi mangsa sakatannya setiap hari di dalam kelas. Para pensyarah seperti Puan Siti Arbi , Cik Asiah dan Mr Kuay pun tak boleh cakap apa bila kena sakat.
Kak Pah dari Perak adalah guru pakar dalam bidang pemulihan khas. Banyak yang aku belajar dari dia.
En Mohd Mokthtar bin Taha pun sekelas denganku. Kini beliau sedang menjadi pensyarah di UKM.
Cikgu Ayub Mohamad dari Johor yang kujumpa dalam kursus beberapa bulan lalu dah menjadi guru besar di negerinya dan Jurulatih Utama Pend Khas Kebangsaan. Yang sedihnya aku dapat tahu Kak Mi cikgu paling lembut dan sopan santun dalam kelas kami telah lama meninggal dunia kerana diserang kanser. Allah lebih menyayangi dia. Giliran kita entah bila.
Cikgu Abu Samah bin Mamat dari Melaka sudahpun bersara. Dia orang paling senior dalam kelas kami. Dia adalah Tok Penghulu kami di MPIK. Setiap pagi Isnin aku akan menunggunya di tepi lebuh raya untuk ke MPIK. Selepas kelas pada hari Jumaat aku dan beberapa orang rakan guru wanita yang berkursus di MPIK akan menumpang vannya menuju destinasi iaitu kampung halaman.
Selalunya dia akan menurunkan aku di station bas Seremban atau ditepi High Way dan suami akan menjemputku di sana. Masih kuingat aku selalu menyakat dia tentang huruf pada plate van yang kami tumpang iatu MR (nombor aku dah tak ingat) bermaksud mental retardation . Dia jawap bukan mental retardation tetapi MR membawa erti menantu raja.
Sebenarnya apabila belajar sesuatu yang baru memang akan rasa seronok. Apabila keluar latihan mengajar baru tahu betapa sukarnya bergelar guru Pendidikan Khas.
Aku sebenarnya guru yang amat garang. Masa mula-mula mengajar di aliran perdana teruk juga murid-murid ku kenakan. Ada yang berdarah kena cubit. Kalau zaman sekarang perkara yang sama berlaku, rasanya namaku tiap-tiap hari masuk surat khabar . Silap-silap, kes lama tak selesai, dah keluar kes baru.
Lawatan pertama semasa di dalam kursus ialah SK Jalan Batu Perempuan dan SK Jalan Batu Lelaki. Subhanallah , apabila melihat anak-anak istimewa ini hanya Allah yang tahu hati pada masa itu. Kasihan, sedih, takut, pelikpun ada. Perasaan yang bercampur aduk itu lama juga bersemadi di dalam hati.Masa itu aku terfikir juga mampukah aku menurunkan darjah kemarahanku dengan anak-anak istimewa ini?
Baru terasa nikmt yang Allah berikan kepadaku. Betapa beruntungnya aku kerana tidak dipilihNYA untuk mendapat anak-anak istimewa. Dan betapa beruntungnya aku beroleh pekerjaan dengan menjadi guru kepada yang teristimewa.
Setahun menjalani kursus banyak perkara baru kuketahui secara teorinya. Pensyarah ada juga meyatakan bahawa mereka juga tidak arif sangat dengan bidang itu kerana ianya masih baru. Dengan berbekalkan sedikit ilmu itulah aku bertarung dengan anak-anak ini hinggalah sekarang.
Meskipun 1991 telah lama kutinggalkan, tetapi ianya tetap dalam kenangan, kerana disitulah sejarah mula aku mengenali apa itu PENDIDIKAN KHAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan