Jumaat, 3 Mac 2017

BICARA YB/HARAPAN

Alhamdulillah.

Setiap kali melihat statusnya di Muka Buku saya terbayangkan
 wajahnya semasa masih bergelar murid sekolah rendah
  di sebuah  Program Pendidikan Khas Integrasi.

Amat jauh berubah. Umpama langit dan bumi.
Ketika dia datang ke sekolah untuk menziarahi
saya, hampir tidak dapat saya mengenalinya.


Dahulu. Semasa saya mengajarnya di sekolah rendah
 tubuhnya berisi. Keadaan itu menjadikan dia kelihatan rendah.

Kini dia sangat jauh berubah. Tinggi lampai dan
sangat tampan.

Mujur tahi lalat di dagunya berjaya mengembalikan
Ingatan lama saya kepadanya.

Itu kisah 2 tahun lalu. Semasa dia sedang menunggu
keputusan SPM.

"Saya fikir nak buka bengkel motosikal cikgu"

Itu jawapannya semasa saya bertanya tentang cita cita.
Sayapun mencadangkan beberapa perkara yang boleh
 dia lakukan untuk menubuhkan sebuah bengkel.

Pertemuan kami tidak berakhir disitu.  Selang beberapa
 minggu saya mempelawanya untuk bercakap sedikit tentang
cita-cita kepada rakan-rakan  senasibnya di sebuah Program
Motivasi untuk murid Pendidikan Khas yang dianjurkan oleh
mahasiswa dan mahasiswi sebuah IPTA.

Saya amat terkejut. Masa 10 minit yang saya beri kepadanya dapat dimanfaatkan. Macam penceramah.

Memberi nasihat kepada adik-adik, mengingatkan dan
 menjelaskan cita citanya iaitu  ingin menjadi seorang pensyarah.

Saya yang berada di sudut pentas ketika itu terpegun.

"Tinggi rupanya cita-cita dia . Bukan mekanik bengkel".
Tersentuh hati saya.


"Ya Allah perkenankanlah cita-cita anak muridku ini"

Itulah doa seorang guru untuk muridnya ketika itu.

Cerita  beliau seterusnya di Muka Buku ialah beliau telah
berjaya menyambung pelajaran ke tingkatan 6.

Ketika membacanya saya seolah-olah tidak percaya.
Teringat sewaktu mula mula melaksanakan program
 Pendidikan Khas Integrasi dia adalah antara murid
terawal yang berada di program itu.

Ketika itu dia baru mengenal perkataan 2 sukukata meskipun
 telah berusia 9 tahun. (Kalau tak silap)

Dia adalah antara murid yang banyak mulut di program saya.
Selalu menjawab sehingga terpaksa ditegur dan dimarahi.
Lambat menerima,  namun ada usaha.


Sewaktu melatih dia untuk pertandingan bercerita dia
masih belum lancar membaca. Saya telah menaip isi cerita
 menggunakan saiz huruf yang besar dengan warna berbeza.

Sebenarnya masa itu kemahiran 2 dalam 1 telah dia kuasai.
 Membaca dan bercerita.

Saya juga  meminta ayahnya menghantar dia ke rumah saya
setiap hari Sabtu untuk menyamhung latihan.

Setiap kali pertandingan berlangsung saya yang berada di bawah
pentas tidak berhenti berzikir, berselawat dan berdoa agar dia
 dapat bercerita dengan baik.

Alhamdulillah. Walaupun saya tahu dia  sakit hati dengan saya
 sebab selalu memaksa, namun kejayaan telah berjaya dia raih.

Johan bercerita di peringkat zon, negeri dan akhirnya tempat
 ke 2 di peringkat kebangsaan.

Dari cerita dan gambarnya di muka buku saya tahu dia anak
 yang soleh. Masjid dan majlis ilmu adalah antara  tempat
 tumpuan dia.


Hingga kini saya sentiasa mengikuti perkembangannya di
Muka Buku.

Menyimpan harapan tinggi agar nama saya tidak dilupakan
 di dalam doanya  kepada Allah tentang keampunan. Samada
 saya masih ada atau telah meninggalkan dunia ini.

Itulah sebenarnya harapan melangit tinggi daripada
seorang guru yang semakin hampir waktu  pertemuan
 dengan pencipta.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan