Jumaat, 3 Mac 2017

BICARA YB/PENYESALAN

Alhamdulillah.

Jarum jam menunjukkan angka 12. Saya berdiri di hadapan
pintu kelas  buat  melepaskan lelah. Majlis menandatangi rekod
 kemajuan murid baru selesai.

Kemarahan salah seorang daripada bapa murid  jelas terbayang
 di dalam mata saya. Tuan Hj Ahmad  yang selalunya saya lihat
 tenang serta lemah lembut bertukar watak  pagi itu.

"Saya tidak puas hati dengan kemajuan pelajaran Siti". (bukan
 nama sebenar anaknya).
Jelasnya dengan nada keras kepada guru kelas.

"Tiada kerja rumah, latihan di buku juga sangat sedikit
Macam tak belajar di sekolah."
Dia menambah.

Lontaran kata -kata dan suaranya yang semakin meninggi
 membimbangkan saya.

Saya yang sejak tadi hanya memasang telinga terpaksa campur tangan.

Saya lantas menghampirinya. Berbincang bagi meredakan kemarahan. Perbincangan berlanjutan hampir 2 jam.

Setelah saya meminta maaf bagi pihak rakan- rakan, Tuan Haji Ahmad meninggalkan kelas dengan wajah mencuka.

Masih kurang berpuas hati dengan alasan yang saya berikan.


Tiba tiba fikiran yang sejak tadi melayang dikejutkan
oleh kehadiran anak bongsu saya.

Dia berjalan perlahan menghampiri saya dengan memeluk rekod
kemajuan di dadanya.

Dengan linangan air mata dia berkata.

"Cikgu kata waktu tandatangan rekod kemajuan dah habis. Mak tak perlu datang ke kelas. Tantangan buku rekod di rumah dan esok pulang
 semula pada cikgu."

Allahuakbar. Tidak ada ungkapan yang dapat saya luahkan waktu itu.  Saya betul - betul terlupa.

Anak saya kelihatan benar benar sedih dan kecewa. Jelas tergambar di wajahnya.

Sepanjang perjalanan pulang dia mendiamkan diri. Langsung tidak memandang kearah saya.

Airmata  tidak berhenti  mengalir dipipinya. Saya hanya mampu
 mengatakan, "mak minta maaf, mak terlupa sebab ada masalah
 di kelas tadi".

Kisah itu telah berlalu lama. Penyesalan masih menebal hingga kini
di hati saya. Ada beberapa kali sesi ceramah kisah ini saya kongsikan.
Saya akan menangis bersama ibu bapa yang mendengar.

Kini, saya sedang berusaha  membayar hutang tanggungjawab yang terabai. Semoga anak-anak dapat memaafkan saya dan Allah mengampuni saya.

Mencari Bahagia









Tiada ulasan:

Catat Ulasan