Alhamdulillah.
Sebenarnya saya sendiri tidak menjangkakan umurnya panjang.
Kecederaan yang ia alami akibat langgar lari setahun lalu amat parah.
Allah masih memberi usia kepadanya. Memberi peluang untuk
ia melihat dunia ini hinggalah saat saya menulis kisahnya.
Akibat kemalangan itu, ia mengalami kecacatan kekal. Daging
bahagian bibir bawahnya tidak lagi tumbuh.
Giginya juga tidak tumbuh sempurna. Kasihan. Memang nampak
sukar apabila ia ingin makan.
Makanannya bersepah-sepah sewaktu ia makan. Saya selalu
mengumpulkan makanan itu di tengah bekas agar mudah untuk
dikunyah.
Akibat daripada kemalangan itu juga ia trauma. Ia sering "menjerit" dan berlari tidak tentu arah di dalam rumah.
Seisi rumah pada mulanya terkejut dan takut melihat keadaan itu.
Setelah saya menjelaskan kepada ahli keluarga mungkin peristiwa
kemalangan itu masih menghantui dirinya, semua ahli keluarga bersetuju.
Kami hanya membiarkan sahaja apabila ia "mengamuk". Akhirnya ia reda sendiri dan duduk semula.
Satu hari pada minggu lepas ia menghampiri saya dan terus merebahkan diri. Seperti mengadu sakit. Saya mendekatinya dan melihat kaki kanannya bengkak.
Tidak tahu apa puncanya. Namun hati kecil saya berkata mungkin ia
bergaduh atau dipukul semasa bermain di luar rumah.
Saban hari kelihatan bengkak kakinya semakin parah. Telah bernanah. Akhirnya semalam anak saya menghantarnya ke klinik.
Doktor mengesahkan dia perlu mendapatkan rawatan lanjut dan
terpaksa ditahan wad.
Seharian ia tiada saya terasa sunyi. Betapa tidaknya, ialah yang
paling sibuk bersama saya apabila saya memasak di dapur.
Ia juga yang sering baring di hujung sejadah apabila saya solat.
Ia juga akan tidur lena disisi saya apabila saya mengaji quran.
Ia juga yang tiba --tiba berdengkur disebelah saya atau dihujung kaki saya apabila saya baring-baring. Jika saya masuk ke bilik air juga setia menanti dihadapan pintu.
Pendek kata ia sentiasa bersama saya kecuali saya keluar bersama suami.
iIa akan menanti di rumah hingga kami kembali.
Itulah kisah kucing yang dibela di rumah saya. Saya namakan ia "Hurairah". Dia juga sudah ada "orang rumah" yang kami namakan "Lisa".
"Orang rumah"nya telah melahirkan 3 "cahaya mata".
Sifat tanggungjawab "Hurairah" sangat terserlah. Ia akan sibuk
berkawal di pintu pagar untuk memastikan tidak ada "sesiapa"
masuk mengganggu, apabila anak-anak dan "orang rumah"nya saya
lepaskan bermain di hadapan rumah.
Dia akan meninggalkan pintu pagar apabila "orang rumah" dan
anak anaknya telah masuk ke sangkar.
Bila teringatkannya saya selalu terpandang akan kekuasaan Allah.
Betapa Allah menjadikan dunia sebagai tempat ujian untuk semua
makhluk termasuk seekor kucing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan