Selasa, 30 Ogos 2016

BICARA YB/UJIAN

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Menahan kemarahan bukanlah satu perkara mudah
untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Perlukan latihan hati berterusan dengan mengharap
bantuan Allah.

Ia juga adalah ujian untuk menjadikan diri insan
soleh dan solehah hingga saat bertemu Allah.

BICARA YB/KEBERSIHAN

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Islam suka kepada kebersihan. Menjaga kebersihan
adalah satu daripada suruhan Allah. Mengapa tidak
 kita sama-sama mengamalkannya?


Isnin, 29 Ogos 2016

BICARA YB/PERINGKAT KE DUA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Kini aku berada diperingkat ke dua program menghafaz
cepat ini.
 Pada peringkat ini aku mesti membaca dan
cuba mengingatkan semua ayat quran yang ditetapkan
mengikut  satu ayat ke satu ayat.

Jumlahnya ialah 2 helai setiap satu nisab.
Ada 5 nisab seperti di bawah:
Contohnya
1. Selepas waktu subuh 2 helai dari juz 26
2. Selepas waktu dhuha 2 helai dari juz 27
3. Selepas waktu zohor 2 helai dari juz 28
4. Selepas waktu asar 2 helai dari juz 29
5. Selepas waktu isya 2 helai dari juz 30
Begitulah setiap hari dari hari pertama hingga kelima.

Dalam ertikata lain semua juz itu akan selesai dibaca
sambil dihafal dalam masa 5 hari.



Mampukah? Allah sahaja yang mengetahui.

Jumaat, 26 Ogos 2016

BICARA YB/NASIHAT

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Sedikit nasihat dati hati buat beberapa orang puteri
di pesantren.

"Harapan ayah ibu terlalu tinggi. Jangan sia-siakan."

Mereka merenung mukaku. Mungkin tidak menduga
aku akan berkata sedemikian.

"Tidak salah jika ingin gembira. Tapi berpada-pada."
Aku  menyambung lagi.

"Masa belajar, berikan perhatian. Jangan bermain.
 Kita sama-sama keluar dari pesantren ini sebagai orang
 yang boleh menghafaz  quran".
Aku terus menasihati.

"Jodoh kita Allah telah sediakan. Jika kita baik, jodoh
kita juga sedang berusaha jadi baik". Begitulah sebaliknya."

Mereka merenung tepat mataku.
Nasihat yang lama inginku sampaikan itu akhirnya
diizinkan oleh Allah untukku diluahkan.

Rasanya aku tidak boleh lama lagi didapur itu. Khuatir
nasihat tidak berhenti.

Aku meminta Jamilah menyambung tugas memasak.
sedang aku terus ke kamar untuk menunaikan solat
dhuha.

Ya Allah. Jangan biarkan mereka terus leka.

Khamis, 25 Ogos 2016

BICARA YB/SAKIT

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Kesakitan di tengkuk hingga ketulang belakang rasa
tidak tertahan. Masaalah yang memang telah aku
kenal pasti sendiri. Telah disahkan oleh pakar perubatan.

Aku tidak boleh tunduk lama. 10 jam adalah masa
yang amat panjang buat aku penderita sakit tulang
belakang.

"Makcik bersandar lebih baik". Cadangan daripada
Seorang anak buah.

Ya. Satu cadangan yang bernas.
Entah mengapa aku sendiri tidak terfikir demikian.
Sedangkan dibilik  sendiri sebuah sofa kusediakan
buat aku dan suami bersandar apabila membaca
atau mengaji. Terasa selesa.

Sejak itu aku bersandar semasa mengaji.
Melihat keadaan ku, ustazah mencadangkan.
"Ibu boleh saja membaca al quran di kamar.
Datang saja kekelas semasa ingjn
memperdengarkan bacaan kepada ustazah".

"Tidak mengapa ustazah,saya  mahu beri motivasi
kepada anak- anak". Aku menjawab.

"Hebat ibu". Ustazah memuji.
 Aku tersenyum.

Usaha perlu diteruskan. Ujian sebagai tanda kasih


sayang Allah kepada hambanya.

BICARA YB/ SEKOLAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Allah sampaikan hajatku untuk melawat sekolah  berdekatan.
Sekolah Dasar Negeri Pamoyanan nama sekolah tersebut.
Sekolah yang mempunyai 9 orang staff ini mempunyai lebih
kurang 150 orang murid  dari darjah 1 hingga 6.

Kepala sekolahnya (guru besar) tidak ada semasa kami datang.
Kami dilayan mesra meskipun kami hadir tanpa diundang.

Cerita Upin dan Ipin amat terkenal di Indonesia.
Salah seorang guru yang mengajar di sekolah itu
begitu teruja bercerita bahawa beliau juga meminati
rancangan kartun tersebut.

Semasa melawat di kelas, beberapa orang  murid
mengajuk perbualan Upin dan Ipin "betul,betul,betul"
apabila dijelaskan kepada mereka bahawa
kami daripada Malaysia.

Aku, suami, anak dan anak-anak buah mendengar
penerangan ringkas guru sekolah tersebut tentang
perjalanan sekolah.

Aku meninggalkan nombor telefon dan email dibuku
pelawat. Meminta menghubungiku jika mereka datang
 ke Malaysia.

Lawatan kami akhiri dengan sesi bergambar bersama guru
guru yang ada di bilik guru ketika itu






Selasa, 23 Ogos 2016

BICARA YB/ LIBUR

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Libur (cuti)
Lapan pagi kami berjalan-jalan mengambil angin 
ditepian sawah padi. 
Anak dan anak-anak saudara sungguh gembira.
Suasana yang tidak kami nikmati di tempat sendiri.

Tempat ini rupanya dikelilingi oleh gunung ganang.
Pemandangan ciptaan Allah yang amat indah sekali.








BICARA YB/KHAILULLAH


Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.
Jam 10 pagi hingga waktu zohor (lebih kurang pukul 12.30
tengah hari waktu Indonesia ) adalah waktu  rehat
kami. 
Semua penghuni  pesantren diwajibkan tidur .
Tidur Khailullah namanya. Ia adalah satu daripada sunnah Nabi
Muhammad s.a.w. Tujuannya adalah untuk merehatkan tubuh dan
memudahkan kami bangun solat malam dan me neruskan bacaan
al quran.

Kami tidur  berlima. Aku, anakku Nur Sakinah, anak-anak
saudaraku terdiri daripada Masyitah, Zulaikha dan Siti Jamilah
berderetan dikamar yang keluasannya lebih kurang 10 kali
12 kaki itu. Berlapikkan alas tidur nipis yang kami  bawa daripada
Malaysia.

Kebelakangan ini cuaca telah mula panas. Keadaan kamar yang
sempit,  bertingkap kecil dan tidak berkipas angin itu ternyata
berbahang.

Peluh menyimbahi tubuh. Aku hanya dapat melelapkan mata
lebih kurang 15 minit. Terjaga selepas itu.

Terkenang. Jika di rumah tidak cukup dengan kipas angin yang
berputar laju,penghawa dingin juga di pasang bagi memenuhi
keselesaan diri.

Ya Allah. Kau  yang mengetahui. Memilih kami untuk meninggalkan segala
kemudahan yang ada di Malaysia demi menimba setitis daripada ilmu
Mu  yang maha luas.

Terimalah segala pengorbanan kami.


Amin...

Khamis, 18 Ogos 2016

BICARA YB/LIBUR

Alhamdulillah. Diizinkankan untukku menulis.

Hari Jumaat dan Selasa adalah hari libur( cuti)
untuk kami penghuni pesantren.
Pagi ini dengan kebenaran suami aku mengikut
Bibik ke kedai. Teringin melihat apa yang ada dijual.
Mana tahu ada yang kena pada selera untuk di makan.
Bolehlah dibeli.

"Siapa nama Bibik yang  sebenarnya?"
Aku bertanya sambil kaki melangkah di atas batas bendang.
"Siti Salamah ". Jawabnya.
"Sedap nama itu " kataku.
"Tapi mengapa dipanggil Bibik"?. Soalku lagi.
"Jika di Malaysia, Bibik adalah panggilan   untuk
pembantu rumah" Aku menjelaskan.
"Disini Bibik bererti  makcik, kerana aku sudah
punya anak buahnya". Dia  menjelaskan
"Oh, begitu.". Aku mengangguk faham.

Sepanjang perjalanan aku dapat melihat sawah padi
luas terbentang. Sejuk mata memandang. Pemandangan
yang sukar untuk ditemui lagi ditempat tanah tumpah darahku,
Negeri  Melaka.

Saat itu  teringat zaman kanak-kanakku.
Bila musim menyemai, mengubah dan menuai. Sama adik 
beradik berlumpur di sawah. Di bawah terik mentari.

Kenangan yang tidak akan dapat dilupakan.
Zaman itu fikiran tidak diserabutkan dengan
masalah peperiksaan.
 Kesekolah  bukanlah satu bebanan.

Allahuakbar. Bila dikenang kembali. Dahulu dan sekarang.
Jauh berbeza. Jika diberi pilihan rasanya aku lebih gembira
hidup dizaman itu berbanding kini.

Ditengah bendang terdapat sebatang jalan yang lebih
Lebar. Laluan utama rasanya. Dibina dengan batu batu
 kerikil. Motosikal lalu lalang disitu. Aku dan Bibik menyusur
 ditepi  jalan. Memberi laluan kepada kenderaan yang lalu lalang.

Setelah lebih kurang 10 minit berjalan kami melintasi
sebuah sekolah rendah. Alluakhbar. Nampak daif.
Kelihatan seperti sebuah balairaya jika di Malaysia.

"Satu hari aku pasti akan kedalam sekolah itu untuk melihatnya".
Impianku seorang pesara guru. Insya Allah.

Tiba dikedai. Hati kecewa. Tidak ada yang memikat selera.
Lebih banyak makanan ringan daripada barang keperluan
dapur.

Akhirnya aku membeli beberapa bungkus biskut kering,
minyak masak dan sedikit bawang kecil.

Saat itu terliur. Teringat sardin yang dibawa daripada Malaysia
Perlu balik segera untuk memasak. Aku dan Bibik berlalu
meninggalkan kedai kecil itu sambil berbual dan menghirup
udara gunung yang menyegarkan.


Indahnya ciptaan Allah. Alhamdulillah.

BICARA YB/ UJIAN

Alhamdulillah. Dizinkan untukku menulis.

Masuk hari ke dua selera makanku  langsung
tidak ada. Makanan yang dimasak oleh bibik
langsung tidak boleh  dijamah. Tekak mual.
Perut masih belum sempurna sihat.

Milo panas,  oat dan biskut terpaksa
kutelan juga buat mengalas perut. Memang tidak
 kenyang jika tidak makan nasi.Tenaga juga
berkurangan. Jadual waktu perlu dipatuhi.

 Tengahari tadi bubur segera yang dibancuh
oleh anakku Nur Sakinah juga tidak berjaya kuhabiskan.

"Jika keadaan berterusan begini susah juga".
Bisik hatiku.

Tiba tiba aku teringatkan anak ke lima ku yang
juga sedang belajar di sebuan pesantren di Jawa Timur.

Setiap kali balik bercuti dia merungut tentang
makanan yang tidak kena dengan seleranya.

"Itulah ujian bila nak menuntut ilmu". Nasihat
kuberikan kepadanya.

Allahhuakbar. Kini nasihat itu perlu
digunakan untuk diri .

Mampukah?

Rabu, 17 Ogos 2016

BICARA YB/ JERAGAT

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Masa yang ada disini rasa terlalu singkat.
10 jam adalah untuk membaca Al Quran.
Memang tidak berkesempatan untuk memikirkan
perkara lain.

Perlu bijak mengurus masa. Jika tidak mungkin
mandi juga tidak berkesempatan. Pakaian juga
perlu dicuci dengan tangan. Keadaan cuaca tidak
menentu menyebabkan pakaian sedikit berbau.

Rasanya dah hampir 9 hari disini aku tidak
berkesempatan melihat cermin muka.
Ditambah kamar untuk kami tiada disediakan
cermin . Anak dan anak buah juga tidak
kisah tentang hal itu.

Kalau di Malaysia, aku begitu sibuk menyapu
sun block setiap hari, tapi disini terlupa semua itu.
Ha...ha... lucu juga tiba-tiba aku sudah tak kisah
tentang jeragat.

Gara gara ingin menamatkan bacaan Al quran.




BICARA YB/PENYUCI DOSA

Alhamdulillah.Diizinkan untukku menulis.

Awal pagi Jamilah (anak saudara )mengadu sakit
perut. Sepanjang malam dah 2 kali ketandas.
Setelah berbincang akhirnya dia diminta berehat
dibilik.

"Allah hendak sucikan dosa " kataku kepadaya.

Sebenarnya pagi itu aku sendiri tidak sedap
perut. Badan seram sejuk. Tekak loya nak muntah.
Masyitah juga tidak sedap perut.

Walaubagaimanapun, Allah izinkan untukku
menyelesaikan bacaan quran selepas subuh dan dhuha.

Waktu makan hanya 2 orang ahli yang masih
berselera. Nur Sakinah dan Zulaikha.

Jamilah, Masyitah dan aku langsung tidak
menjamah makanan. Tekak bukan main loya
lagi. Macam orang berbadan dua. Perut sakit
tak menentu.

Mungkin perubahan cuaca tidak dapat
di tahan oleh tubuh kami.

Waktu solat zohor kepala dah mula berpusing.
Selepas memberi salam tubuh rasa tidak
terdaya.

Akhirnya terbaring sama disebelah Jamilah.
"Allah hendak sucikan dosa"

Selasa, 16 Ogos 2016

BICARA YB/KESEMPATAN

Alhamdullillah. Diizinkan untukku menulis.

Saat melintas dihadapan kamar mandi kelihatan
puteri santri itu sedang mencuci beras.

Allah. Kesempatan tidak dilepaskan.

"Boleh umi ajarin sesuatu". Mencuba bahasa baru.

"Boleh umi". Jawabnya sambil tersenyum .

Aku mencangkung dihadapan bekas beras yang
sedang dicuci.

"Sebaiknya guna tangan kanan masa mencuci beras.
Kacau ikut arah lawan jam. Baca bismillah dan surah
al Imran ayat 200. Jika tidak lancar ayat tersebut,
selawat dan istigfar sahaja".

"Kamu sedang mengutip pahala. Menyedia makanan
untuk hafiz dan hafizah". Aku menambah.

"Terima kasih umi". Senyum terukir diwajahnya.

"Tujuannya agar siapa yang makan nanti akan
lembut hati untuk terima kebaikan". Aku
menambah dan berlalu.

Saat sekali lagi melintasi kamar mandi itu
kulihat tudung sudah menutupi kepalanya
yang tadi terdedah. Tekun sedang  mencuci beras.

Ya Allah. Sampaikanlah hajatku untuk
menyampaikan, meskipun hanya satu ayat.

BICARA YB/ PENGORBANAN

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Tiada bicara dapat dilafazkan,
sebagai tanda terima kasih,
buatmu...

Tiada hadiah yang dapat diberikan,
sebagai membalas jasamu....

Tiada wang yang boleh dibayar,
sebagai membalas kasih sayangmu..

Beralah dalam banyak hal demi isterimu,

Berkorban masa, tenaga dan wang rinģgit
demi memenuhi impian isterimu,

Tidak pernah mengenal lelah dalam
menyuntik semangat kepada isterimu.

Tidak terfikir tentang kesihatan sendiri
demi kejayaan isterimu.

Semoga Allah menempatkan kita bersama
disyurganya kerana pengorbananmu.



Isnin, 15 Ogos 2016

BICARA YB/ MOTIVASI

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

"Umpama orang memanah. Kita perlu melihat
target. Jika kita memandang halangan kita tidak
akan berjaya disini"
Kata kata motivasiku untuk anak dan anak anak
buah.
Ya Allah. Semoga berhasil. Bantulah kami.

BICARA YB/ 30 LEMBAR

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Setiap kali selesai solat Subuh, Dhuha, Zohor, Asar dan Isya
aku harus mengkhatamkan 3 kali setiap juzuk yang
telah ustazah tetapkan.

"Setiap juzuk ada 10 lembar. Maksudnya perlu
habiskan 30 lembar".  Kata ustazah.
Begitulah kiranya.
Lembar bererti helai.

Pada mulanya macam tak terdaya.
Namun akhirnya atas izin Allah selesai.
Alhamdulillah.

BICARA YB/ SAMA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Semua tempat  pengajian  pasti  ada masalah pelajar.
Tidak ada yang sempurna.
Jika di sekolah ada kaunselor dan guru disiplinnya.
hendak menegur .

Disini aku serba salah. Tambahan
 Masih baru untuk campur tangan.

Mata hanya mampu memandang.
Hati mampu berdoa.

Kasihan melihat anak anak yang tiada kesungguhan
dalam menuntut ilmu.
Harapan ibu bapa yang tinggi tidak mereka
terfikirkan.

Teringatkan anak anak sendiri yang pernah dan yang
sedang menuntut di madrasah.

 Allahuakbar.
Tiba tiba hati jadi gundah.

Nun jauh di mata. Allah yang memeliharanya.

Kini. Sedang memikirkan cara untuk bercakap dengan
mereka.

Allah. Ya Allah. Bantulah.

BICARA YB/

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Program menghafal quran yang kami sertai ini
dinamakan Al Murthafhy . Telah diasaskan oleh
Al Ustadz Nur Rahman Ash Shiddiq.

Ianya dijalankan dalam tiga peringkat.
1. Program ikhtisos binnadzor
2.Program nishfun nadzor
3. Program bil ghoib

Buat masa ini aku masih berada di peringkat pertama.
Membaca alquran dengan melihat nashkah  Al quran.
5 juz setiap hari. Setiap juz dibaca 3 kali setiap
waktu berikut:

1. Selepas subuh _juz 26
2. Selepas dhuha _juz 27
3. Selepas zohor  _juz 28
4. Selepas asar  _juz 29
5. Selepas isya._juz 30

Setiap waktu tersebut kami mesti membaca Al quran
selama 2 jam. Dalam erti kata lain disini kami membaca quran
10 jam sehari.

Waktu rehat amat terhad. Tulang belakang semakin
sakit. Mujur anak buah mencadangkan aku
bersandar.
Alhamdulillah. Dipermudahkan oleh Allah .

Ahad, 14 Ogos 2016

BICARA YB/ ZUHUD

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Dengan keperluan asas yang kurang mencukupi
mengajar semua penghuni pesantren untuk mengamalkan
sikap zuhud.

Awal pagi lebih kurang jam 3 telah beratur menanti
giliran untuk mandi.

Terasa aku kembali ke tahun 1981 dan 1982. Di Aspuri SMMA
Melaka.

DIsaat ini sebenarnya menguji kesungguhan seseorang
dalam menuntut ilmu. Dengan udara dan air yang sejuk.
sesiapa yang inginkan ilmu akan tabah.
Bangkit , mandi, solat dan terus mengaji.

Yang ámbil mudah masih diatas alas tidur menunggu azan
yang akan dilaungkan jam 4 pagi.


"Kita tak boleh buang masa. ALLAH pilih kita datang
dari jauh untuk menuntut ilmunya. Jadi, jangan fikir
soal keselesaan disini. Jangan hampakan orang di Malaysia
yang mengharapkan sesuatu dari kita semua".

Itulah kata-kata motivasi dariku untuk anak dan anak2 buah yang
ikut sama dalam kumpulan ini. 8 orang semuanya terdiri daripada
4 orang perempuan dan 4 orang lelaki.
Semua mereka dah berpengalaman dalsm menghafaz quran
,kecuali aku.
Semoga mereka dapat  belajar untuk zuhud. dan
bersungguh sungguh meneruskan perjuangan.

Jumaat, 12 Ogos 2016

BICARA YB/ PERANCANGAN ALLAH

ALhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Hari ini usai subuh bermulalah aku menjadi
seorang pelajar paling berusia di pesanteren ini.
Bersama pelajar-pelajar muda belia cuba
menghafal kitab Allah.
Hati sebak apabila mengenangkan perancangan
Allah yang maha hebat.
 Airmata ini berlinang apabila disebelah
ku sama sama membaca Al Quran adalah
puteri bongsuku.

Ya Allah. Permudahkanlah.

BICARA YB/KEMBARA ILMU

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.
Pesanteren ini letaknya berdekatan dengan sawah.
Sejuk mata memandang.
Air yang digunakan adalah
air gunung yang turun dan dipam ke pesanteren.
Teramat sejuk apabila waktu pagi.
Air sedikit berbau. Terkenang kisah lama .
Tahun 1985  semasa mengajar di SK Lepar
Hilir 2. Mandi dengan air yang disedut dari sumgai Lepar.
Hampir sama.


BICARA YB/KEMBARA ILMU

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Hari ke dua. Ke pekan berdekatan membeli keperluan

Setelah 2 kali bertukar ANGKUT. Kami tiba ke destinasi.
Terdapat sebuah pusat membelibelah Giant.
Kami cuba mencari beberapa  keperluan disini.
Subhanallah. Macam tak percaya. Sebatang mop
harganya rm 42. Tak masuk akal.
Akhirnya beli roti sahaja disana.
Orang tidak ramai kelihatan disana.
Mungkin  tempat orang berada membeli
barang.
Ramalan kami sahaja.
wallahua'lam

BICARA YB/KEMBARA ILMU

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Kembara ilmu dari Malaysia ke Sukabumi Jawa Barat



Semoga Allah membantu kami mencapai cita-cita.

Isnin, 8 Ogos 2016

BICARA YB/ TEH UNCANG

Alhamdulillah. Dizinkan untukku menulis.
Menulis kembali  kenangan lalu bukan tanda tidak bersyukur
dengan  nikmatNYA.  Sekadar berkongsi cerita dan rasa.

Dengan tidak mendapat gaji selama 3 bulan sebaik sahaja
berpindah daripada  negeri  Pahang ke tempat suami bertugas 
di Kelantan,  memaksa kami berjimat dalam semua hal.
Berbelanja apabila betul-betul perlu. Meskipun barang-barang 
keperluan dapur.

Barang yang dibeli mengikut anggaran  sekadar mencukupi.
Memastikan wang gaji suami  dapat digunakan  hingga ke hujung
bulan. Sentiasa mengukur baju di badan sendiri.

Teh uncang  yang dibeli bukan diguna untuk sekali. 
Selepas merendamnya dan air telah mula berwarna, uncang
dikeringkan, disimpan buat diguna kembali.

Pun begitu, bagi kami,  waktu minum  itu amat  berharga.  
Minum sambil  duduk  bersila dan  bercerita. Menikmati ujian
 Allah bersama. Terasa  pahit saat itu, namun manisnya kini terasa.

Kami adalah pasangan yang jarang makan di luar. Meskipun
ada wang lebihan di tangan. Terbawa-bawa. Kisah lama  dalam
kehidupan . Meskipun tidak sesedap mana, memasak sendiri 
memberi kepuasan hati. Tali pengikat kasih suami isteri.

Itulah sejarah silam  kami. Masih  segar dalam ingatan.

Adakalanya   apabila melihat pasangan  suami isteri  kerap  minum  diluar,
hatiku berdetik.

“Sediakanlah minuman untuk suami sendiri meskipun  bukan dengan  teh
 uncang yang digunakan  berulang kali kerana ia adalah tali .”

Alahai  teh  uncang. Indahnya kenangan itu. Masih terkesan dihati.

MEMILIH PASANGAN HIDUP BIAR TIDAK NAMPAK CANTIK DI MATA,
NAMUN SENANG DIHATI. BIAR TIDAK BERPANGKAT DAN BERHARTA,
NAMUN KEDUKAAN SANGGUP BERKONGSI.
IN SYA ALLAH. BAHAGIA AKAN DIMILIKI. TERUSKAN BERDOA.