Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.
Berita pemergiannya pagi semalam menyentuh hatiku.
Meskipun memang dalam pengetahuanku dia kurang
sihat akibat serangan kanser, namun tidakku duga begitu
cepat Allah menjemputnya.
Aku hampir putus harap untuk menziarahinya buat
kali terakhir kerana pada waktu yang sama rakan-rakan yang
kupelawa untuk pergi menziarinya sedang sibuk
menunaikan solat sunat gerhana matahari di sekolah.
Hendak memandu sendiri memang aku kurang keyakinan.
Tambahan tempat tinggalnya tidak pernah aku ketahui.
Anak-anak dan menantu telah keluar dengan urusan
masing-masing.
Aku cuba meleraikan keresahan di hati. Solat sunat gerhana
matahari dan solat dhuha aku tunaikan. Surah yasin aku
baca dan sedekahkan pahala kepadanya. Itu yang dapat aku
lakukan sewaktu kesedihan sedang melanda.
Gee itu adalah panggilan manja allahyarhamah Rozilawati
Ab Kadir. Dia adalah antara rakan-rakan lama kami
yang sama-sama berjuang membangunkan Pendidikan
Khas Negeri Melaka.
Sikapnya yang selalu gembira membuatkan dia disenangi
oleh semua. Banyak kenangan dan cerita yang pernah aku dan
dia kongsikan bersama.
Setelah aku bergelar Guru Besar dan dia bertugas sebagai pegawai
di Seameosen, beberapa kali dia datang ke sekolah bagi membincangkan
tajuk-tajuk ceramah yang akan aku sampaikan. Terasa baru semalam
semua itu berlaku.
Allahuakbar. Sesungguhnya dari DIA kita datang. Kepada DIA kita kembali.
Tidak mengira usia. Tidak mengenal siapa.
Akhirnya.
Alhamdulillah. Keresahanku terubat. Cikgu Siti Zairin ingin bersamaku
menziarahi allahyarhamah. Sewaktu beliau menjemputku di rumah jam
menunjukan pukul 9.58 pagi.
"Kalau dah dikebumikan , kita ke rumah untuk bertemu keluarganya saja Rin".
cadangan kuberikan.
Cikgu Siti Zairin bersetuju. Kereta dipandu laju menuju ke Jasin Melaka.
"Kita cuba terus kemasjid Rin. Mana tahu rezeki kita untuk bertemunya".
aku tiba-tiba mencadangkannya setelah tidak menemui rumahnya.
Setelah beberapa kali berhenti untuk bertanya akhirnya kami sampai
kemasjid Air Merbau Jasin Melaka.
Alhamdulillah. rezeki Allah buat kami. Jenazah baru selesai dikafankan.
Aku dan Cikgu Siti Zairin mencelah-celah di kalangan jemaah wanita
yang ada. Akhirnya aku betul-betul berada di hadapan jenazahnya.
"Selamat berehat Gee. Akak doakan Gee diampuni Allah dan ditempatkan
bersama orang yang beriman dan beramal soleh". itulah bisikanku kepadanya
sewaktu mengucup dahi dan pipinya buat kali terakhir.
Alhamdulillah. Kami juga diberi kesempatan oleh Allah menyempurnakan
solat jenazah bersama jemaah-jemaah lain.
Sehingga kini kesedihan masih terasa. Pemergiannya telah dapat aku
saksikan. Kini , takut dan harap dalam menanti dan menanti giliran sendiri.
Innalillahiwainnailaihirojiun..
BalasPadamSemoga Allah ampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama2 org2 yg beriman...
Innalillahiwainnailaihirojiun..
BalasPadamSemoga Allah ampunkan segala dosanya dan ditempatkan bersama2 org2 yg beriman...