Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.
Masa yang dijanjikan tiba. Kelas untuk belajar solat
dimulakan berdasarkan kesesuaian masaku dan masa ibu
tunggal itu.
Sedikit pengalaman yang Allah berikan sepanjang bergelar
guru Pendidikan Khas banyak membantuku mengenalpasti
kelemahan dan kekuatan murid dewasaku itu.
Akibat daripada diabetes yang dihidapi, kakinya bengkak
dan sukar untuk duduk semasa amali solat. Akhirnya aku
memutuskan untuk mengajarnya melakukan solat secara
duduk di atas kerusi.
Semasa aku menjalankan ujian diagnostik ternyata
dia hanya lancar membaca al fatihah dan beberapa
surah pendek dari juz amma.Bacaan-bacaan lain di
dalam solat belum dikuasainya.
Allahuakbar. Aku agak bingung untuk memulakan
sesi pengajaran. Tidak tahu hendak bermula di mana,
kerana dia memang tidak tahu apa-apa. Paling ketara ialah
dia cepat lupa.
Setelah beberapa kali mengulang rukun-rukun Fi'li dengan
bantuanku, dia masih tidak dapat melaksanakannya.
"Betul-betul tidak pernah solat . Kasihannya. Hatiku berbisik.
Semasa sedang mengulang-ulang bacaan dalam solat,
tiba-tiba dia bersuara sambil menangis.
"Saya takut kak, saya takut".
"Mengapa?". Aku bertanya kehairanan.
"Dulu saya pernah pergi belajar solat dengan seorang
guru. Bila dah dua tiga kali saya tak dapat ikut apa yang
diajar dia kata saya bodoh, bangang di hadapan orang lain."
Dia menjelaskan kepadaku dalam esak tangis.
Terlalu hiba mengenangkan kisah lamanya. Dia khuatir
pisang akan berbuah dua kali.
Tidak ada ungkapan yang dapat aku keluarkan dari
mulut ketika itu. Terkejut mendengar ceritanya.
Terasa dihati. "Aku juga seorang guru"
Terlalu mendalam kesannya kata-kata daripada seorang
guru terhadap perasaan seorang murid.
Entah sudah berapa lama dia memendam rasa.
Hanya Allah yang mengetahui.
"Sejak itu saya terus berhenti belajar hinggalah hari ini".
Jelasnya lagi.
"Jangan risau. saya tidak akan buat begitu pada awak.
Saya seorang guru yang pernah mengajar murid pendidikan khas.
Ragam murid-murid yang saya pernah ajar dahulu telah mendidik
saya untuk jadi penyabar".
Aku cuba menjelaskan kepadanya bagi meleraikan
kekusutan hatinya. Dia kelihatan mempercayainya.
Ampunkan aku Ya Allah. Jika aku pernah berkata sedemikian
kepada murid-muridku dahulu.
Kepada rakan-rakan guru. Apa yang kutuliskan ini adalah
satu kisah benar. Sama-samalah kita mengambil ikhtibar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan