Isnin, 29 Februari 2016

BICARA YB/ 5.30 PAGI

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Setelah melihat kesukaran ibu tunggal itu menguasai
kemahiran solat melalui beberapa sesi pembelajaran, aku
mendapatkan nasihat daripada seorang ustaz.

“Untuk mudah membantu dia, ajar dia terus mendirikan
solat apabila masuk waktunya. Solat bersama-sama   dengan
bacaan yang kuat. Dia akan mudah ingat"
 Itulah nasihat yang diberikan.

“Wah, nampaknya perlu ada 5 sesi pembelajaran setiap hari”.
 Bisik hatiku.

Perkhabaran itu aku sampaikan kepadanya. Dia bersetuju untuk
 mencuba kaedah tersebut. Dalam erti kata lain dia mesti hadir kerumahku
setiap kali waktu solat.

Masya Allah. Sebak hati ini apabila pagi esoknya seawal  5.30 pagi
dia telah berada di hadapan pagar rumahku.

Bukti kekuasan Allah. Berhak memilih insan yang ingin diberi hidayah.

Sejak itu hingga saat ini aku mula menjalankan tugas sebagai guru
bermula pukul 5.30 pagi.

Syukur Ya Allah. Memilih dia dan aku untuk terus bersemangat
dalam menunaikan ibadah.



Ahad, 28 Februari 2016

BICARA YB/ SAYA TAKUT

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Masa yang dijanjikan tiba. Kelas untuk belajar solat
dimulakan berdasarkan kesesuaian masaku dan masa ibu
tunggal itu.

Sedikit pengalaman yang Allah berikan sepanjang bergelar
guru Pendidikan Khas banyak  membantuku mengenalpasti
kelemahan dan kekuatan murid dewasaku itu.

Akibat daripada diabetes yang dihidapi, kakinya  bengkak
dan sukar untuk duduk semasa amali solat. Akhirnya aku
memutuskan untuk mengajarnya melakukan solat secara
duduk di atas kerusi.

Semasa aku menjalankan ujian diagnostik ternyata
dia hanya lancar membaca al fatihah dan beberapa
surah pendek dari juz amma.Bacaan-bacaan lain  di
dalam solat belum dikuasainya.

Allahuakbar. Aku agak bingung untuk memulakan
sesi pengajaran. Tidak tahu hendak bermula di mana,
kerana dia memang tidak tahu apa-apa. Paling ketara ialah
dia cepat lupa.

Setelah beberapa kali mengulang rukun-rukun Fi'li dengan
bantuanku, dia masih tidak dapat melaksanakannya.

"Betul-betul tidak pernah solat . Kasihannya. Hatiku berbisik.

Semasa sedang mengulang-ulang bacaan dalam solat,
tiba-tiba dia bersuara sambil menangis.

"Saya takut kak, saya takut". 

"Mengapa?". Aku bertanya kehairanan.

"Dulu saya pernah pergi belajar solat dengan seorang 
guru. Bila dah dua tiga kali saya tak dapat ikut apa yang 
diajar  dia kata saya bodoh, bangang di hadapan orang lain."

Dia menjelaskan kepadaku  dalam esak tangis.
Terlalu hiba mengenangkan kisah lamanya. Dia  khuatir
pisang akan berbuah dua kali.

Tidak ada ungkapan yang dapat aku keluarkan dari
mulut ketika itu. Terkejut mendengar ceritanya.

Terasa dihati. "Aku juga seorang guru"

Terlalu mendalam kesannya kata-kata daripada  seorang
guru terhadap perasaan seorang murid.

Entah sudah berapa lama dia memendam rasa.
Hanya Allah yang mengetahui.

"Sejak itu saya terus berhenti belajar hinggalah hari ini".
Jelasnya lagi.

"Jangan risau. saya tidak akan buat begitu pada awak. 
Saya seorang guru yang  pernah mengajar murid pendidikan khas. 

Ragam murid-murid  yang saya pernah ajar dahulu  telah mendidik 
saya untuk jadi penyabar". 

Aku cuba menjelaskan kepadanya  bagi meleraikan
kekusutan hatinya. Dia kelihatan mempercayainya.

Ampunkan aku Ya Allah. Jika aku pernah berkata sedemikian
kepada murid-muridku dahulu.

Kepada rakan-rakan guru. Apa yang kutuliskan ini adalah
satu kisah benar. Sama-samalah kita mengambil ikhtibar.






Sabtu, 27 Februari 2016

BICARA YB/ ZIARAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

ZIARAH.

Sembang  pagi itu aku mulakan dengan bertanya khabar.
Ternyata ibu tunggal yang sedang aku  ziarahi adalah seorang
penghidap penyakit diabetes yang serius. Bacaan kandungan
gulanya mencapai angka 16 meskipun beliau  mengambil insulin
4 kali sehari.

Kebimbangan hati diluahkan kepadaku. Tergambar  juga di wajahnya.

Aku menyarankan  beberapa petua yang dirasa dapat membantu
mengatasi masalah  berdasarkan pengalaman dan pembacaan sendiri.
Daripada penjelasannya,  dia telah mengamalkan sebahagian
daripada petua yang aku berikan. Alhamdulillah.

Kami rancak berbual meskipun pertemuan baru  kali ke dua.

Sebelum mengundur diri aku sempat menghulurkan nasihat.

"Yang memberi penyakit ialah Allah. Yang berhak untuk 
menyembuhkannya juga Allah".

Dia mengangguk tanda faham.Hanya menundukkan kepala.
Tidak memandang wajahku.

"Solat jangan ditinggalkan. Banyakkan solat sunat.  Cuba amalkan solat dhuha.
 Banyakkan berdoa". Aku menambah.

Tiba-tiba. dia  memandang kearahku dan  bersuara sambil menangis.

"Saya tidak tahu solat kak. Dari kecil tak pernah solat.
Saya jahil. Saya tak pandai, Saya banyak dosa".

Kenyataanya diulang beberapa kali dengan esak tangis.
Aku merasa sebak dan turut sama  mengalirkan airmata
melihatkan  keadaan itu.

"Syukur awak sudah sedar. Tidak mengapa nanti saya boleh
ajarkan". Ujarku. bagi meredakan kesedihannya.

Setelah tangisannya reda aku meminta nombor telefonnya untuk
mudah berurusan selepas itu.

"Saya tidak boleh membaca kak. Jadi akak jangan sms . Lebih 
baik call". Dia menerangkan sambil menghulur kepadaku secebis
kertas yang diambilnya diatas almari dan  telah tersedia bertulis
nombor telefon .

Sekali lagi aku terpana. "Kasihnnya," bisik hatiku .

Akhirnya aku meminta diri untuk pulang. Semasa bersalam dia memelukku
dan berkata.

"Dah lama saya berdoa. Minta  Allah hantar kepada saya orang
yang boleh ajar saya solat. Rupa-rupanya akak yang datang.
Terima kasih kak, terima kasih". luahan hati dibisikkkan kepadaku.

"Bersyukurlah,  sebab  Allah  perkenankan doa awak  walaupun
awak belum berdoa dalam solat" . Jawabku.

"Nanti saya akan telefon awak dan maklumkan waktu sesuai  
untuk  mula belajar solat" Aku menyambung.

Nampak jelas wajahnya kembali ceria. Aku melangkah menuju ke kereta.

"Allahuakbar!. Kau Maha Pengasih Ya Allah. Mengaturkan
pertemuan ini". Bisik hatiku dan terus memandu pulang kerumah.








Rabu, 17 Februari 2016

BICARA YB/ APABILA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Apabila bersahabat berhentilah mengata dibelakang.
Ikhlaskan diri untuk menasihati. Doakan jika nampak
tidak berkenan dihati. Insya Allah. Hubungan pasti
lebih dirahmati,


Isnin, 15 Februari 2016

BICARA YB/KONGSI ILMU

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Perkongsian ilmu yang diharap dapat
memberi manfaat kepada kita bersama.
Insyaa Allah.

Bilik Mesyuarat Melur
Menara TM MITC.
Bersama Datin Hafizah Muhammad
Presiden Tiara Nita TM Melaka dan AJKnya.



Sabtu, 13 Februari 2016

BICARA YB/ YANG BERSARA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

YB adalah singkatan  kepada dua perkataan iaitu Yang Bersara.

Telah tiba ketikanya aku mengubah tajuk setiap bicara kepada
Yang Bersara supaya dapat memberi sedar pada diri sendiri
bahawa usia semakin bertambah. Tidak boleh berlengah-lengah
dalam menambah ibadah.

Ingin kuimbas kembali saat   mengambil keputusan
untuk menjadi YB.

Sebenarnya aku memang bercita-cita ingin bersara apabila
usia perkhidmatan mencapai  30 tahun.

Ramai rakan yang mempersoalkannya. Dengan kesihatan yang
baik kurniaan Allah seolah-olah tidak logik apabila bercita-cita
sedemikian. . Tambahan pula usia 52+ adalah masih muda
 pada akal orang zaman sekarang  untuk  bergelar  YB.

Mengikutkan perasaan sendiri,  sejujurnya aku masih  berbelah
bahagi saban hari sebelum menghantar borang permohonan untuk
bersara.

Meskipun begitu, setelah beberapa kali melakukan solat istikharah
petunjuk telah Allah berikan. Hati makin berat  dan telah berhenti
daripada angan-angan untuk meneruskan kerjaya.

Borang permohonan berjaya kuhantarkan ke Jabatan Pendidikan
Negeri Melaka meskipun tarikhnya agak terlewat.

Alhamdulillah. Dengan izinNYA pada 2 hb Januari 2016 telah tamat
tempoh kerjayaku  sebagai  seorang penjawat awam. Pun begitu,  hakikatnya
dihati kecilku aku belum bersedia untuk bersara daripada menjadi  guru.

Subhanallah. Gembira tidak terkira . Semangat baru untuk menjadi guru
lahir dalam diri ini selepas tarikh di atas. Tidak dapat aku ceritakan disini.
Allah mengetahui.

Namun untuk menggambarkannya aku pernah menyuarakan kepada anak-anak.

"Kegembiraan emak selepas bersara ini melebihi daripada 
kegembiraan emak sewaktu dinaikkan pangkat'.

Seikhlasnya inginku tuliskan disini bahawa aku telah temui  kembali
kepuasan  sebenar menjadi guru yang tidak menerima  tekanan untuk melakukan
tugas-tugas lain.  seperti  30 tahun yang lalu.

Alhamdulillah.




Jumaat, 12 Februari 2016

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/BERSARA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Aku hanya bersara dari menjadi  penjawat
awam. Pun begitu  masih bertugas sebagai GURU.
Guru yang sentiasa menuntut ilmu dan mencurahkan
ilmu. Bukan lagi kerana gaji yang akan diperolehi
namun untuk bekalan di alam yang kekal abadi.

Permudahkan Ya Allah.