Ingin aku menyambung cerita tentang masalah murid inklusif
yang tidak masuk ke kelas gara-gara kelalaianku tidak
membuat pemantauan berterusan setiap kali murid tersebut
menghadiri kelas inklusif.
Aku bertindak bertanya kepada guru yang berkaitan di aliran perdana.
Tiada jawapan pasti yang aku terima kerana menurut cikgu tersebut
muridku tidak menimbulkan apa-apa masalah di dalam kelas.
Dia juga tidak pernah dimarahi.
Untuk berlaku adil aku menyoal murid yang terlibat. Baru aku
tahu bahawa dia tidak suka masuk kelas inklusif sebab menurutnya
cikgu itu terlalu garang . Setelah mendengar jawapan ikhlas daripadanya
aku berbincang dengan guru kelas tersebut bagaimana masalah
tersebut boleh diatasi.
Sukar juga apabila menghadapi masalah ini. Muridku rupanya
terasa apabila rakan-rakan lain dimarahi walaupun bukan dia
yang terlibat.
Setelah berbincang dengan mengambil kira kepentingan menegur
murid lain di kelas yang sama, maka aku mencadangkan agar apabila
hendak memarahi murid lain cikgu tersebut jangan langsung memandang
muridku. Kalau didengar kaedah ini memang menyukarkan guru
tersebut. Namun itu sahaja jalan yang ada bagi mengatasi masalah itu.
Alhamdulillah, rupanya kaedah itu berjaya. Apabila marah
guru tersebut tidak langsung memandang muridku itu. Semenjak
itu dia tidak lagi ponteng kelas .
MEREKA INI ADALAH GOLONGAN YANG JUGA MUDAH TERASA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan