Selasa, 24 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ FIKIRKANLAH..

 LUAHAN  HATI

Seorang  bapa  menghubungiku  semalam.  Luahan hatinya   adalah berkaitan
masalah anak lelakinya yang  kini  berada  di  tahun  1  di  sebuah  sekolah
negeri  Melaka  ini.


Menurutnya, setelah seorang guru di sekolah anaknya bertukar,
pembelajaran  anaknya sedikit merosot. Jika sebelum ini  ada   dibekalkan kerja
rumah, kini  semuanya tidak  berlaku .Tidak ada latihan yang baharu di  buku tulisnya.

Dia  telah   cuba menghubungi guru mata pelajaran/guru kelas,
namun panggilan telefonnya  tidak pernah dijawab.  Dia rasa  dukacita
atas  kejadian yang berlaku.  Dia  menyedari akan  kekurangan  yang   ada
pada anaknya. Aku  sedih  mendengar  ceritanya tambahan bapa ini dan isterinya
juga adalah golongan  OKU.

Pernah sekali bapa ini   menyusun buku dan  alatulis  di dalam beg sekolah anaknya.
Apabila  pulang ke  rumah, dia  dapati  buku  dan  alatulis tersebut berada  dalam
keadaan yang   sama, seolah-olah tidak  digunakan langsung.

Anaknya juga   telah dihantar  belajar  dengan seorang guru  yang pakar
dalam mengajar murid bermasalah pembelajaran membaca  dan menulis.
Hasilnya amat memberansangkan. Walaubagaimanapun dia kesal kerana
kebelakangan ini guru-guru di sekolah langsung tidak membantu
perkembangan pembelajaran anaknya.

Kesimpulan daripada   ceritanya dia   merasakan anaknya terbiar begitu
sahaja  semasa berada di sekolah.



CADANGAN

Aku  memang pernah  dibawa bertemu   anak  ini  untuk  beberapa  kali. Cadangan
yang  kuberikan setelah  membuat penilaian  ialah, dia   masih  boleh dibantu dan
tidak  perlu  di tempatkan  di  program pendidikan khas. Walaubagaimanapun  anak
 ini masih  memerlukan tumpuan lebih  daripada guru mata pelajaran serta perlu
diberi perhatian individu  secara berterusan walaupun untuk beberapa  minit di dalam
satu-satu  sesi pembelajaran.

Anaknya boleh  berutur  dengan baik, boleh  mengurus diri, telah  mengenal  abjad
serta  nombor .  Masalah yang  ada  padanya ialah tidak  boleh menulis   dan  yang
amat  ketara  ialah menghadapi  masalah tumpuan yang singkat   serta  mudah terganggu.
Semua kerja bertulis yang dilakukan olehnya perlukan  perhatian dan bantuan
daripada guru. 

Dia  juga telah didiagnos  oleh  pakar perubatan sebagai menghadapi masalah disleksia
yang  ringan.   Bapanya  telah membawa anak ini menjalani program intervensi  di sebuah
pusat intervensi di  ibu negara.  Laporan  yang aku baca dari program intervensi ini
menunjukkan  anak  ini telah melalui perkembangan pembelajaran yang  semakin baik.

HAJAT

Sebagai  seorang yang bergelar OKU bapa ini memang berhajat anaknya  tidak menerima
nasib yang sama dengannya. Untuk  mencapai hasrat ini dia perlukan guru-guru di aliran
perdana yang ada inisiatif  serta komited dalam P&P. Aku  memahaminya.
Memang sukar untuk merealisasikan  harapan bapa  ini  jika guru  tidak ada
pengetahuan dalam  bidang  tersebut.

Tetapi  sebenarnya  kini  terdapat  banyak  cara untuk membantu anak  serupa
ini didalam  kelas  aliran   perdana.  Rujukan  boleh di buat kepada guru-guru
yang  mengajar  di program pemulihan dan pendidikan khas. Rujukan  di media
elektronik juga tidak pernah kurang.  Apa  yang amat  penting adalah keinginan
dan kesungguhan dalam membantu. 


Kita  amat beruntung  kerana serba sempurna juga memiliki  anak-anak
yang bijaksana. Walauapapun, sesekali, cubalah selami hati insan istimewa.
Cubalah buat sesuatu untuk anak-anak yang  boleh kita selamatkan daripada
bergelar OKU. 

FIKIR-FIKIRKAN TENTANG TANGGUNGJAWAB KITA...













Isnin, 23 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PENGURUSAN TINGKAHLAKU

Sedikit tip  ingin aku  catatkan sebagai panduan
kepada guru-guru yang menghadapi kanak-kanak
bermasalah tingkah laku  di program pendidikan khas.

Biasanya kanak-kanak yang belajar  di program
pendidikan khas sangat  bermasalah dalam kehadiran.
Para  guru  biasanya akan merasa gembira  dan 
sedikit lega   apabila kumpulan ini tidak  hadir ke  sekolah.

Ini  adalah kerana kehadiran  mereka selalunya dirasakan
menjadi  satu beban kepada guru-guru dan PPM yang tidak 
mempunyai  minat  dan kesungguhan.

Seperkara yang perlu diingat  bahawa, syarat untuk
menjadikan objektif pengurusan tingkah laku dapat dicapai
dengan jayanya ialah ianya perlu dilakukan secara
istiqamah (berterusan).

Oleh  itu  jika ada  guru  yang gembira dengan ketidakhadiran
murid  bermasalah  tingkahlaku  di sekolah ianya  adalah
satu perkara yang amat  mendukacitakan.

Guru  perlu  berusaha untuk  menarik perhatian mereka  
untuk  hadir ke  sekolah jika ingin objektif  tercapai  dengan
baik. Perlu diingat bahawa untuk  mengurus  tingkahlaku  
kanak-kanak  di program pendidikan khas bukanlah  satu 
perkara mudah.

Latih  tubi  yang berterusan disertai  dengan pengukuhan 
samada negatif atau positif adalah amat  perlu demi membantu
mereka meninggalkan tingkahlaku yang  tidak  diingini .

Tidak kurang  juga terdapat ibubapa yang suka  menyimpan  anak
yang bermasalah  tingkahlaku  di  rumah.  Mereka perlu diingatkan 
bahawa kesukaran semakin dekat,  apabila anak-anak
itu  semakin membesar.  Tingkahlaku  negatif  yang telah menjadi
darah daging bukanlah  satu  perkara  yang mudah  untuk  ditinggalkan.

Program  pengurusan tingkah laku   yang berterusan  perlu  dilakukan
oleh  guru-guru juga ibubapa demi membantu  mereka  berkembang  
dengan  menyeluruh serta  dapat  diterima oleh masyarakat.

Memang penat,  memang sukar,  memang memerlukan   kesabaran
apabila membuat modifikasi  tingkah laku.  Tetapi  hasilnya....
Allah  yang lebih  mengetahui  . Bagiku, kejayaan mengurus tingkahlaku
murid  pendidikan khas adalah  lambang kejayaan seorang guru 
pendidikan khas.

" Berakit-rakit  ke hulu, berenang-renang  ke tepian"

Ahad, 22 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SEMUGA BERJAYA



PROGRAM LAWATAN PENANDA ARAS  DAN  PERBANDINGAN PEMBELAJARAN
GURU PENDIDIKAN KHAS

TARIKH:  11 JULAI 2012
TEMPAT:  SK  SEMABOK  MELAKA.
PESERTA: GURU PELATIH PISMP PEND. KHAS AMBILAN JAN 2010
IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU  MELAKA.
Semuga  semua perkongsian ilmu  dapat  dimanfaatkan agar   kita   semua  akan  menjadi
guru  pendidikan khas  yang cemerlang.

 SELAMAT  BERJAYA....
Insyaallah.


BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/PERSOALAN

Terasa  kerdil  diri  ini apabila  diberi  ruang  untuk
bercakap  berkenaan  tajuk "Pengurusan Tingkah  Laku"
kepada  pegawai-pegawai yang terlibat  menguruskan
guru-guru  di  program pendidikan khas.

Jika  sebelum  ini ruang  lingkup  ceramah agak
bebas kerana peserta  adalah  rakan-rakan  guru
atau guru-guru  pelatih, namun kali  ini ianya amat
mencabar.

Dimaklumkan kepadaku  bahawa  peserta  kursus
kali ini adalah terdiri daripada Ketua Sektor,
Ketua Unit   Pendidikan Khas , pensyarah IPG dan
pegawai-pegawai  daripada Bahagian Pendidikan Khas.

Persediaan  walaupun telah kubuat dengan begitu
teliti, namun hati berdebar-debar risau objektif  ceramah
tidak  dapat  dicapai  dengan jayanya.

Sebelum ceramah  bermula, sepertimana  biasa  aku
memberi beberapa  soalan  untuk  dijawab oleh peserta
kursus.

Antara soalan yang kuuturakan ialah
"Pada pandangan dan pemerhatian anda adakah
guru-guru  di program pendidikan  khas berminat
dan menjalankan tugas  mereka   dengan sungguh-
sungguh  dan komited?

Jawapan yang kuterima ialah separuh  daripada  peserta
mengatakan "tidak". Persoalannya mengapa perkara  ini
 berlaku? 
Jawapannya pasti  ada pada  kita  semua  guru-guru
pendidikan  khas  sendiri.

Tepuk  dada  tanya  selera.



Khamis, 19 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AKU MERINDUI

Dua  bulan  berada  di destinasi  baharu  menjadikan aku
seperti   kehilangan  sesuatu.  Ianya amat   sukar  untuk  kutafsirkan.
Untuk  dilahirkan melalui baris-baris  ayat  juga  amat  sukar
kurasakan. Hanya  aku  dan Allah  memahaminya.

Senyuman yang kuukir sebenarnya dalam duka atas kerinduan.
Semuga  Allah  memberi  aku  kekuatan.  Ku  rasakan  telah
terpisah lama  dan terlalu jauh. Meskipun  dalam  kesibukan,
aku tetap tidak  dapat  melupai mereka.

Inikah  yang dinamakan cinta.  Aku sentiasa   tertanya-tanya.
Cabaran, kegermbiraan, kesedihan dan pengajaran  yang  aku
perolehi sepanjang  hampir  20 tahun bersama  mereka kadangkala
meragut  kegembiraanku.

Airmata adakalanya menjadi penawar keresahan.  Jauh  disudut
hati aku begitu  mensyukuri  akan nikmat  tuhan. Aku dianugerahi
kejayaan demi kejayaan atas sebab kekurangan  insan  istimewa   ini.
Hebatnya Allah  yang menyusun segelanya...Subhanallah
.