Isnin, 30 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS / AZAM

Bagi diriku, sebagai pemimipin baharu di sebuah sekolah aku dapat
merasakan bahawa banyak kekuranganku dalam mengurus. 
Banyak perkara yang perlu dipelajari . Aku sering bertanya kepada
rakan-rakan lain yang lebih arif. Aku bukan orang hebat yang tahu 
semua perkara. Guru-guru penolong kananku, rakan-rakan guru serta
staff sokongan yang lain juga terlalu banyak membantu. Jasa mereka 
tidak akan aku lupakan.

Memang dalam mengurus program pendidikan khas selama 19 tahun 
aku mengurus tiga bidang. Bidang Kurikulum, bidang Hal Ehwal Murid 
mahupun bidang Ko-Kurikulum. Pengurusan sebuah program pendidikan
khas sebenarnya sama dengan pengurusan sebuah sekolah. Sistem fail 
juga sama. Perbezaan yang ketara hanya dari segi kandungan kurikulum
dan jumlah bilangan guru serta bilangan muridnya.

 BEG TANGAN

‘Sesebuah sekolah akan dibangunkan oleh pemimpinnya berdasarkan beg 
tangan yang dibawanya” . Ini adalah ucapan yang diberikan oleh seorang
pensyarah Institut Aminuddin Baki semasa aku berkurus di sana. Bunyinya
memang kelakar.Tetapi ada kebenarannya . 

Sebagai bekas guru pendidikan khas, aku begitu peka dengan PPKI yang ada 
di sekolahku. Aku dan rakan-rakan sedang merancang agar program pendidikan
khas integrasi dan pra sekolah pend khas integrasi boleh dijadikan program 
cemerlang dan tempat lawatan di negeri Melaka sepertimana program
pendidikan khasku yang lama. Aku nampak jelas perkara itu boleh dicapai
kerana barisan guru yang ada boleh berusaha untuk mendapatkannya.

Aku juga sedang berusaha membantu rakan-rakan guru di tahun satu
mengenal pasti murid-murid yang bermasalah dalam pembelajaran 
dan cuba membantu mereka menjalankan pemulihan dalam bilik darjah. 
Tujuanku ialah agar dapat mengurangkan kewujudan terlalu ramai murid 
slowlearner di dalam program pendidikan khas.

TERSEDAR 

Hampir 3 bulan juga aku berada dalam keadaan kabur akan arah tuju 
sekolah yang kupimpin ini. Setelah beberapa kali menghadiri kursus yang 
dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, fikiranku mula terbuka. 
Semangatku menjadi begitu tinggi untuk membangunkan sekolah dalam 
semua bidang dan bukan sahaja dalam pendidikan khas. Terima kasih
kepada semua pegawai di JPNM yang telah berjaya membuka mindaku
dalam menuju arah menjadi seorang guru besar yang berilmu. 

Belum sempat aku meneruskan usaha, arahan kuterima agar aku
berpindah ke destinasi baharu. Amat terkilan kerana langkahku
baru bermula dan segala usaha belum dapat aku lihat hasilnya. Memang
sedikit tertekan apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

Sebagai penjawat awam aku adalah orang yang menurut perintah.
Perpindahan terpaksa aku lalui meskipun dalam keadaan yang berat hati.
Segala yang aku sayangi terpaksa aku tinggalkan. Kakitangan sekolah,
murid-murid dan PIBG yang telah banyak menyokong segala
usahaku kini tidak lagi dapat bersamaku. Lama juga masa yang aku
ambil untuk menerima perpindahan ini dengan redha. Setiap hari ,
aku memujuk hati sendiri agar meneruskan usaha di sekolah baharu. 
Sebenarnya segala yang aku rancang di sekolah lama masih
 terbentang luas dihadapan mata. Ini yang kadangkala menyebabkan
 aku sedikit tertekan.

Memang aku terlalu lemah pada kali ini. Bukan aku tidak biasa
dengan arahan pindah. Sebagai isteri seorang tentera ini adalah perpindahan
ke lapan dalam masa 27 tahun bergelar guru. Perpindahan kali ini agak 
berlainan kurasakan. Mengapa aku yang terpilih aku sendiri sukar
untuk menjawabnya. Ada rahsia yang Allah lebih tahu. 

TUGAS BESAR

Aku sedar bahawa tugas di sekolah baharu lebih besar dan 
mencabar. Kalau dahulu jumlah bilangan murid dan guru tidak
ramai , kini ianya telah bertambah. Kalau dahulu di sekolah gred B
kini telah bertukar ke sekolah gred A. Kalau dahulu semua rakan-rakan
guru termasuk guru-guru penolong kanan adalah berpangkat adik dan
anak-anak denganku, namum di sekolah baharu ramai yang lebih 
senior daripadaku. Apapun sekilas pandang barisan guru di sini juga
adalah teamwork baharu yang memang hebat.

Aku berdoa dan akan berusaha agar sekolah baharu ini dapat aku
bangunkan kearah yang lebih baik dalam semua bidang
terutamanya dalam peperiksaan UPSR yang bakal menjelang
tidak lama lagi. Aku ingin menolak tomahan yang kudengar tentang
diriku bahawa GPK Khas bukan tahu buat apa-apa tentang pengurusan
sebuah sekolah. Aku juga ingin buktikan bahawa pengalaman 
dan rintangan yang aku lalui dalam membangunkan sebuah program
pendidikan khas sehingga menjadi Program Cemerlang Kebangsaan
adalah aset paling berharga buatku dalam menjadi seorang guru besar yang baik.

Insyaallah…. Kepada rakan-rakan harap dapat doakan kejayaanku.

KATA SEORANG DARIPADA BEKAS GURU BESARKU :”HENDAK MELIHAT KEJAYAAN SEORANG KETUA, LIHATLAH APAKAH HASIL YANG DITINGGALKANNYA SETELAH DIA TIADA”.


Selasa, 24 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MUHASABAH

Duduk sendiri terfikir bahawa apalah yang hendak dibanggakan dengan apa yang kita miliki,
 semuanya akan ditinggalkan satu hari nanti.

Khamis, 19 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ KENAPA DAN MENGAPA?

Kenapa dan mengapa? Persoalan silih berganti.
Pelik tapi benar, rupanya dah menjadi realiti.

HARUS TERIMA...

SETIAP PERTEMUAN   PASTI  ADA PERPISAHAN

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ KEPUASAN

Mengimbas kembali saat menjadi seorang guru Pendidikan Khas
amat menggembirakan. Masa yang berlalu begitu pantas ada
kalanya tidak terasakan. Melayan kerenah mereka dari awal
pagi hingga waktu pulang memang meletihkan. Namun itu yang
dipanggil satu kepuasan.

Adalah amat mengembirakan. Ada guru yang datang minta pandangan.
Cara mana untuk buat yang terbaik bagi membantu siistimewa.
Ada yang kongsi idea bagaimana mereka telah cuba banyak perkara
yang membawa kejayaan pada siistimewa. Hebat sungguh rakan-rakan
di program pendidikan khas. Muga usaha dapat diteruskan.


Pun begitu aku agak rasa terkilan, jika ada yang sudah bergelar
guru pendidikan khas tetapi tidak gembira dengan kurniaan tuhan.
Sambil lewa dalam menunaikan amanah, meskipun mereka yang istimewa
terlalu memerlukan. Tidak bersemangat dalam mendidik insan yang
kekurangan. Tidak mahu mencuba mencari idea baru dalam membina
perubahan.

Bukan hendak menyalahkan sesiapa. Aku juga banyak kekurangan.
Pun begitu apa ada pada nama jika semua tugas tidak mahu
dilaksana. Apa ada pada jawatan jika semua tugas lepas tangan.

Aku sentiasa menasihati diri sendiri, kekurangan diri perlu
terus dibaiki. Jangan alpa dengan apa yang kita ada. Perubahan
terus perlu dilakukan. Pembangunan untuk anak-anak ini perlu
difikirkan. Ini adalah satu amanah tuhan...

Menulis bagi memuhasabah diri... apa yang pernah kulakukan
apabila bergelar guru Pendidikan Khas.

Rabu, 18 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PASRAH

Semakin lama difikirkan semakin banyak persoalan yang muncul.
Jawapan meskipun telah ada, tapi kehidupan realiti seolah-olah
enggan menerima. Inilah kelemahan diri sebagai manusia.

Terpaksa memujuk hati sendiri saban waktu saban hari. Tiada
siapa yang harus dipersalahkan. DIA maha mengetahui setiap
apa yang tersurat. Meskipun pahit harus ditelan. Muga ada manis
yang menanti dihadapan.

INYAALLAH...

Selasa, 17 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SUKAR

Adalah sukar sebuah program pendidikan khas dapat menuju ke arah
kecemerlangan jika mempunyai GPK atau penyelaras yang berkira
masa dan tenaga dalam membantu membangunkan program.

Adalah sukar sebuah program pendidikan khas menuju ke arah kecemerlangan
jika ada guru-guru dan PPM yang berkira masa dan tenaga dalam membantu
membangunkan program.

Amat mudah untuk membawa program pendidikan khas ke arah
kecemerlangan jika GPK , penyelaras ,guru dan PPM membuang
sikap berkira masa dan tenaga dalam memajukan program.

MENULIS BERDASARKAN SEDIKIT PENGALAMAN YANG ADA

Isnin, 16 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MUHASABAH

Mengapa kita harus memikirkan perkara yang telah tiada dan
tidak mensyukuri apa yang ada, melupakan nikmat yang ada dan menyesalkan
nikmat yang telah tiada. Mengapa kita iri hati dengan apa yang
dimiliki orang lain dan melupakan apa yang kita miliki?

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MUHASABAH

Kata bijak pandai...

Kebaikan yang tersembunyi di sebalik sesuatu yang kita benci kadang-kadang
lebih baik daripada yang ada dalam sesuatu yang kita sukai,kerana kita
tidak mengetahui akibat yang akan terjadi. Betapa banyak kenikmatan yang
tersembunyi dalam kesusahan dan betapa banyak kebaikan tersembunyi di sebalik
keburukan.

Kuserahkan kepadaMU kerana kau selalu beri yang terbaik kepadaku
di sepanjang kehidupan ini....


Rabu, 11 April 2012

Bicara guru pend khas/jiwa

Orang yang berjiwa besar masalah menjadi kecil..
Orang yang berjiwa kecil menjadi besarlah masalahnya
Prof. Dr Muhayah,Radio Ikim

Jumaat, 6 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ ISTIMEWA

Pagi   hening,
Membuka  kelopak  mata,
Menyelak   tabir  kehidupan,
Tiba-tiba......
aku diburu  resah,  diburu  gelisah.

Tertanya-tanya,
Bermimpikah aku atau  berada  di alam  nyata,
Apabila  ada cahaya,
Namunku   meraba-raba,
Mencari  kekuatan  diri,
Yang bagaikan pergi takkan kembali.

Dimana akan kucari...
Penawar  kerinduan  ini,
Perpisahan kali  ini ,
Membuatkan   aku....
Merasa  kalian makin jauh,
Dari  pandangan  mata  juga  hati.

Mengapa  mereka  tidak memahami,
Selama  ini  kita tidak  pernah  berjauhan,
Terlalu   rapat  jiwa  dan perasaan,
Sebati,
Saling  mengenali,
Dalam semua  segi,
Dalam  setiap  ukuran inci,

Apakah  perpisahan  ini...
Akan  mengurangkan  usahaku...
Dalam  membantu  meleraikan  kekusutan,
Yang  kalian  alami,

Atau    ini  adalah  perpisahan  sementara,
Menguji  kejujuran  dan  keikhlasan,
Dalam  sebuah  perhubungan,
Dalam  sebuah  perjuangan,
Untuk   menjadikan  kalian,
Insan  istimewa  yang  sentiasa  dihormati.

UNTUK  INSAN-INSAN  YANG  BERGELAR  ISTIMEWA

Khamis, 5 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PASRAH

Tidak dapat untukku fikirkan  lagi  mengapa   dan  bagaimana  ia terjadi.
Jawapannya   memang  telah   aku  ketahui,
Aku hanya  layak merancang
tetapi DIA yang  tentukan.

Kini, sendiri   memujuk hati   dan  perasaan.
Terpaksa  meninggalkan  segala  yang   amat  disayangi
Atas arahan.
Segalanya  perlu  bermula kembali.
DIA  yang  maha
mengetahui  ....Aku  pasrah...meskipun  terasa  semangat  semakin  lemah.

Selasa, 3 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/BERSEDIA

KATA  BIJAK  PANDAI,   HUKUMAN  APABILA   MENJADI SEORANG  PEMIMPIN  IALAH BERSEDIA UNTUK :
TIDAK   MEMPUNYAI   SAHABAT  KARIB.
TIDAK  DISUKAI
MENJADI   BAHAN  CACI......  BETULKE?

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ JOHAN NASYID


       CUBA   NASIB  
                                    
Dengan   berbekalkan  kekuatan   penyanyi  solo    Namun  Ku Punya  Hati,  aku   mencuba  nasib.  Aku   dan  rakan-rakan  menyahut   cabaran  Unit  Pendidikan  Khas  Jabatan  Pelajaran  Melaka  untuk menghantar  murid-muridku menyertai  pertandingan  nasyid   dalam Majlis   Tilawah   Pendidikan Khas  peringkat  negeri  Melaka.
Bagiku   yang  menjadikan  sebuah  pasukan  nasyid  itu  lebih  menarik ialah  ianya diiringi  oleh  bunyi peralatan    muzik  seperti  kompang,  bongo,  tamborin,  maracas  dan  sebagainya.  Malangnya  tidak  ada  seorangpun  daripada  rakan-rakan  guru  di programku yang  dapat  membantu.  Kami semua tidak  pakar  dalam   bidang   muzik.
BERUSAHA
Walaubagaimanapun   kami  tidak  putus  asa  untuk  mencuba.   Namun  setelah  beberapa   kali  membuat  cubaan ianya  tidaklah   membuahkan  hasil.    Setiap  kali  latihan  dibuat,  bunyi-bunyi   muzik   itu  berubah  rentaknya  kerana  kelemahan  kami.  Bunyi   yang kami  sendiri  dengarpun   tunggang   langgang  dan  tidak  mengikut  melodi  lagu  yang dinyanyikan,
Setelah   puas   memikirkan   apa yang  patut  kulakukan,  akhirnya  aku  dan rakan-rakan  diberi  ilham oleh   Allah.  Aku  telah  cuba   menghubungi   seorang  jurulatih  nasyid  daripada sebuah  sekolah menengah  agama   yang  memang hebat  pasukan  nasyidnya untuk   membantu.
Setelah  diputuskan  waktu  dan  harinya  aku  pergi  ke sekolah  tersebut.  Aku  telah  membawa  penyanyi  soloku bersama.  Kubawa juga   bersamaku   4   jenis  alat muzik  yang   boleh  dimainkan  oleh  murid-muridku. Alat-alat  tersebut  ialah  kompang,   maracas,  tamborin  dan  kestenet.
Apa   yang  aku  lakukan  ialah  meminta  pelajar   dari  pasukan  nasyid  tersebut  memainkan  alat-alat  muzik serta  menyanyi  bagi  mengiringi   penyanyi  soloku.   Persembahan  yang  lengkap   ini aku  rakamkan. 
 LATIHAN
Dengan  berbekalkan  rakaman  ini  aku  dan  rakan-rakan  melatih  pasukan  nasyid  program  pendidikan  khas  kami.   Aku  mengaturkan  sesi  latihan  yang berterusan.   Ianya  mesti  dilakukan setiap hari  walaupun  hanya    sebentar.    Tujuannya ialah   bagi  membantu  murid-muridku   lebih  mahir,  lebih ingat  dan  berkeyakinan  diri.
Disamping  itu  mereka  juga aku  latih  agar  bernasyid  sambil  membuat  pergerakan.   Pergerakan  mereka  kupastikan  serentak  dan  teratur  bersesuaian  dengan  senikata  lagu  nasyid   tersebut. 
Memang  amat  mencabar  apabila ingin  menjadikan  mereka betul-betul   mengingati setiap  lirik  lagu, membuat   pergerakan  dan  berkemahiran  pula  bermain  alat  muzik  yang  kusebutkan  diatas.  Jika  tidak  betul-betul  kuat  semangat  memang  aku  telah  mengalah.   Ini  adalah  kerana  macam-macam  halangan  yang  datang   sepanjang  menuju  ke  hari  pertandingan.   
Halangan  seperti  kerap  demam   dan  tidak  hadir  ke  sekokah, tidak  ingat  lirik, muzik  tidak  ikut  tempoh  dan  sebagainya  kerap muncul  setiap  kali  sesi  latihan dijalankan. Walaubagaimanapun,  pasukan  nasyid  itu  tetap  menjalani latihan demi  latihan  sebelum  menjelang  hari  pertandingan.  Hari   yang  dinanti-nantikan  tiba.    Akhirnya  pasukan  nasyidku   telah  menjadi johan  nasyid  pendidikan  khas  Negeri  Melaka pada  tahun tersebut.
DIMANA  ADA  USAHA,  PASTI  ADA  JAYA… 
  


BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MENGAPA?

Dua  kali  terlibat   sebagai  ketua  pengawas  peperiksaan  UPSR  memberi
ruang  kepadaku mendengar  beberapa  keluhan. Sebagai  orang  yang  telah
terlibat  lama  dengan  insan  istimewa  ini  memang  aku  amat  tersentuh   dengan
keluhan  yang kudengar.

Untuk  melahirkan  rasa ketidak puasan  hati  apabila  mendengar  keluhan
mereka  aku  agak kurang mampu.  Ini  adalah  kerana   seorang  diri
mempertahankan  hak  anak-anak  istimewa  ini  sedangkan   orang  lain
tidak  mengakuinya  adalah satu  perkara  yang amat  sukar.

Keluhan  ketua  pengawas yang   kumaksudkan ialah  dikalangan mereka
yang bertugas di sekolah   yang   ada menempatkan calon  pendidikan  khas
dalam periksaan  tersebut.  Keluhan  yang  kudengar membayangkan kehadiran
calon-calon  ini  amatlah  MENYUSAHKAN   mereka. 

Mengapa  ya?
JAWAPANNYA  MUDAH- KERANA  MEREKA  TIDAK  DIUJI  OLEH  ALLAH
DENGAN   MEMPUNYAI  ANAK  ISTIMEWA...

Isnin, 2 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ HIDUP

Hidup  adalah  ketentuan.  Dalam  menjalani  hidup, perasaan  sedih  dan  gembira meskipun  dua  perkara berbeza  namun  ada  kalanya  ia bertemu  di satu    penjuru  tanpa sesiapapun  dapat  melarikan  diri  daripadanya.