CUBA NASIB
Dengan berbekalkan kekuatan penyanyi solo Namun Ku Punya Hati, aku mencuba nasib. Aku dan rakan-rakan menyahut cabaran Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Melaka untuk menghantar murid-muridku menyertai pertandingan nasyid dalam Majlis Tilawah Pendidikan Khas peringkat negeri Melaka.
Bagiku yang menjadikan sebuah pasukan nasyid itu lebih menarik ialah ianya diiringi oleh bunyi peralatan muzik seperti kompang, bongo, tamborin, maracas dan sebagainya. Malangnya tidak ada seorangpun daripada rakan-rakan guru di programku yang dapat membantu. Kami semua tidak pakar dalam bidang muzik.
BERUSAHA
Walaubagaimanapun kami tidak putus asa untuk mencuba. Namun setelah beberapa kali membuat cubaan ianya tidaklah membuahkan hasil. Setiap kali latihan dibuat, bunyi-bunyi muzik itu berubah rentaknya kerana kelemahan kami. Bunyi yang kami sendiri dengarpun tunggang langgang dan tidak mengikut melodi lagu yang dinyanyikan,
Setelah puas memikirkan apa yang patut kulakukan, akhirnya aku dan rakan-rakan diberi ilham oleh Allah. Aku telah cuba menghubungi seorang jurulatih nasyid daripada sebuah sekolah menengah agama yang memang hebat pasukan nasyidnya untuk membantu.
Setelah diputuskan waktu dan harinya aku pergi ke sekolah tersebut. Aku telah membawa penyanyi soloku bersama. Kubawa juga bersamaku 4 jenis alat muzik yang boleh dimainkan oleh murid-muridku. Alat-alat tersebut ialah kompang, maracas, tamborin dan kestenet.
Apa yang aku lakukan ialah meminta pelajar dari pasukan nasyid tersebut memainkan alat-alat muzik serta menyanyi bagi mengiringi penyanyi soloku. Persembahan yang lengkap ini aku rakamkan.
LATIHAN
Dengan berbekalkan rakaman ini aku dan rakan-rakan melatih pasukan nasyid program pendidikan khas kami. Aku mengaturkan sesi latihan yang berterusan. Ianya mesti dilakukan setiap hari walaupun hanya sebentar. Tujuannya ialah bagi membantu murid-muridku lebih mahir, lebih ingat dan berkeyakinan diri.
Disamping itu mereka juga aku latih agar bernasyid sambil membuat pergerakan. Pergerakan mereka kupastikan serentak dan teratur bersesuaian dengan senikata lagu nasyid tersebut.
Memang amat mencabar apabila ingin menjadikan mereka betul-betul mengingati setiap lirik lagu, membuat pergerakan dan berkemahiran pula bermain alat muzik yang kusebutkan diatas. Jika tidak betul-betul kuat semangat memang aku telah mengalah. Ini adalah kerana macam-macam halangan yang datang sepanjang menuju ke hari pertandingan.
Halangan seperti kerap demam dan tidak hadir ke sekokah, tidak ingat lirik, muzik tidak ikut tempoh dan sebagainya kerap muncul setiap kali sesi latihan dijalankan. Walaubagaimanapun, pasukan nasyid itu tetap menjalani latihan demi latihan sebelum menjelang hari pertandingan. Hari yang dinanti-nantikan tiba. Akhirnya pasukan nasyidku telah menjadi johan nasyid pendidikan khas Negeri Melaka pada tahun tersebut.
DIMANA ADA USAHA, PASTI ADA JAYA…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan