Isnin, 30 April 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS / AZAM

Bagi diriku, sebagai pemimipin baharu di sebuah sekolah aku dapat
merasakan bahawa banyak kekuranganku dalam mengurus. 
Banyak perkara yang perlu dipelajari . Aku sering bertanya kepada
rakan-rakan lain yang lebih arif. Aku bukan orang hebat yang tahu 
semua perkara. Guru-guru penolong kananku, rakan-rakan guru serta
staff sokongan yang lain juga terlalu banyak membantu. Jasa mereka 
tidak akan aku lupakan.

Memang dalam mengurus program pendidikan khas selama 19 tahun 
aku mengurus tiga bidang. Bidang Kurikulum, bidang Hal Ehwal Murid 
mahupun bidang Ko-Kurikulum. Pengurusan sebuah program pendidikan
khas sebenarnya sama dengan pengurusan sebuah sekolah. Sistem fail 
juga sama. Perbezaan yang ketara hanya dari segi kandungan kurikulum
dan jumlah bilangan guru serta bilangan muridnya.

 BEG TANGAN

‘Sesebuah sekolah akan dibangunkan oleh pemimpinnya berdasarkan beg 
tangan yang dibawanya” . Ini adalah ucapan yang diberikan oleh seorang
pensyarah Institut Aminuddin Baki semasa aku berkurus di sana. Bunyinya
memang kelakar.Tetapi ada kebenarannya . 

Sebagai bekas guru pendidikan khas, aku begitu peka dengan PPKI yang ada 
di sekolahku. Aku dan rakan-rakan sedang merancang agar program pendidikan
khas integrasi dan pra sekolah pend khas integrasi boleh dijadikan program 
cemerlang dan tempat lawatan di negeri Melaka sepertimana program
pendidikan khasku yang lama. Aku nampak jelas perkara itu boleh dicapai
kerana barisan guru yang ada boleh berusaha untuk mendapatkannya.

Aku juga sedang berusaha membantu rakan-rakan guru di tahun satu
mengenal pasti murid-murid yang bermasalah dalam pembelajaran 
dan cuba membantu mereka menjalankan pemulihan dalam bilik darjah. 
Tujuanku ialah agar dapat mengurangkan kewujudan terlalu ramai murid 
slowlearner di dalam program pendidikan khas.

TERSEDAR 

Hampir 3 bulan juga aku berada dalam keadaan kabur akan arah tuju 
sekolah yang kupimpin ini. Setelah beberapa kali menghadiri kursus yang 
dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Melaka, fikiranku mula terbuka. 
Semangatku menjadi begitu tinggi untuk membangunkan sekolah dalam 
semua bidang dan bukan sahaja dalam pendidikan khas. Terima kasih
kepada semua pegawai di JPNM yang telah berjaya membuka mindaku
dalam menuju arah menjadi seorang guru besar yang berilmu. 

Belum sempat aku meneruskan usaha, arahan kuterima agar aku
berpindah ke destinasi baharu. Amat terkilan kerana langkahku
baru bermula dan segala usaha belum dapat aku lihat hasilnya. Memang
sedikit tertekan apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

Sebagai penjawat awam aku adalah orang yang menurut perintah.
Perpindahan terpaksa aku lalui meskipun dalam keadaan yang berat hati.
Segala yang aku sayangi terpaksa aku tinggalkan. Kakitangan sekolah,
murid-murid dan PIBG yang telah banyak menyokong segala
usahaku kini tidak lagi dapat bersamaku. Lama juga masa yang aku
ambil untuk menerima perpindahan ini dengan redha. Setiap hari ,
aku memujuk hati sendiri agar meneruskan usaha di sekolah baharu. 
Sebenarnya segala yang aku rancang di sekolah lama masih
 terbentang luas dihadapan mata. Ini yang kadangkala menyebabkan
 aku sedikit tertekan.

Memang aku terlalu lemah pada kali ini. Bukan aku tidak biasa
dengan arahan pindah. Sebagai isteri seorang tentera ini adalah perpindahan
ke lapan dalam masa 27 tahun bergelar guru. Perpindahan kali ini agak 
berlainan kurasakan. Mengapa aku yang terpilih aku sendiri sukar
untuk menjawabnya. Ada rahsia yang Allah lebih tahu. 

TUGAS BESAR

Aku sedar bahawa tugas di sekolah baharu lebih besar dan 
mencabar. Kalau dahulu jumlah bilangan murid dan guru tidak
ramai , kini ianya telah bertambah. Kalau dahulu di sekolah gred B
kini telah bertukar ke sekolah gred A. Kalau dahulu semua rakan-rakan
guru termasuk guru-guru penolong kanan adalah berpangkat adik dan
anak-anak denganku, namum di sekolah baharu ramai yang lebih 
senior daripadaku. Apapun sekilas pandang barisan guru di sini juga
adalah teamwork baharu yang memang hebat.

Aku berdoa dan akan berusaha agar sekolah baharu ini dapat aku
bangunkan kearah yang lebih baik dalam semua bidang
terutamanya dalam peperiksaan UPSR yang bakal menjelang
tidak lama lagi. Aku ingin menolak tomahan yang kudengar tentang
diriku bahawa GPK Khas bukan tahu buat apa-apa tentang pengurusan
sebuah sekolah. Aku juga ingin buktikan bahawa pengalaman 
dan rintangan yang aku lalui dalam membangunkan sebuah program
pendidikan khas sehingga menjadi Program Cemerlang Kebangsaan
adalah aset paling berharga buatku dalam menjadi seorang guru besar yang baik.

Insyaallah…. Kepada rakan-rakan harap dapat doakan kejayaanku.

KATA SEORANG DARIPADA BEKAS GURU BESARKU :”HENDAK MELIHAT KEJAYAAN SEORANG KETUA, LIHATLAH APAKAH HASIL YANG DITINGGALKANNYA SETELAH DIA TIADA”.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan