Jumaat, 29 Julai 2011

BICARA 18:GURU PENDIDIKAN KHAS

Ucapan ketua Sektor Bahagian Pendidikan Khas Puan Hajah Shamsinar semasa mengunjungi kumpulan kursus Jurulatih Utama  Kurikulum Standard Sekolah Rendah  Tahun 2  kelmarin amat menyentuh hati. Bagi  beliau akan-anak pendidikan khas adalah anak-anak yang telah dikurniakan oleh Allah  kad ahli sebagai penghuni  syurga.

Oleh itu,  sebagai insan yang bergelar  guru pendidikan khas, curahkanlah bakti  kepada mereka dengan keikhlasan dan kesungguhan hati  agar hasilnya dapat dipetik  bersama di akhirat nanti.
















Bila kufikir-fikirkan  tentang ucapan yang kudengar itu , bolehlah  dapatlah kubayangkan   betapa beruntungnya aku kerana telah terpilih menjadi  guru kepada insan-insan ini. Begitu besar nikmat yang telah Allah kurniakan kepadaku selama ini yang mana mungkin rakan-rakan lain tidak dapat menikmatinya.

Muga ucapan keramat ini menjadi pembakar  semagat kepadaku  dan mungkin rakan-rakan guru pendidikan khas  lain yang membaca coretan ini untuk berusaha lebih tekun dan bersungguh-sungguh dalam membantu golongan ini.  Insyaallah...

Selasa, 26 Julai 2011

BUATMU.... TUHANKU

Entah mengapa sesekali aku sayu,
Rasa hati tidak menentu,
Mengenang nikmatmu,
Yang tidak pernah jemu,
Kau hulurkan kepadaku.
Sedangkan aku,
Selalu lesu,
Dalam menghadapmu,
Selalu leka dengan nikmat darimu,
Selalu terdorong dengan sifat mazmumahku,
Mengapa jadi begini?
Aku jadi tidak pasti,
Ya Allah,
Jangan kau biarkan aku,
Terus lesu,
Dalam memburu syurgamu,
Pandanglah aku,
Dengan pandangan rahmatmu,
Tunjukilah aku,
Jalan lurusmu,
Dengarlah rayuanku,
Sambutlah tanganku,
Hidup dan matikan lah aku,
Dalam redhamu....Ya Tuhanku...

Khamis, 21 Julai 2011

KAU TETAP MENCINTAIKU...

Kau tetap mencintaiku...
Meskipun aku melukaimu,
Kau tetap menyayangiku..
Meskipun aku sering melupaimu,
Kau tetap menungguku...
Meskipun aku sering,
Meninggalkanmu.
Kau tetap merenungku....
Meskipun aku tidak menoleh padamu,
Kau tetap memberi rezeki kepadaku...
Meskipun aku tidak mensyukurimu,
Kau tetap merahmatiku....
Meskipun aku sering mengingkarimu...
Kau tetap mengizinkan aku menumpang dibumimu........,
Meskipun aku derhaka padamu,
Kerana  kau maha pemurah lagi maha pengampun,
Ya  tuhanku.....
.

Ahad, 17 Julai 2011

KELIRU....

Apakah sebenarnya yang kucari,
Akupun sendiri tidak pasti,
Apakah yang sebenarnya yang kunanti,
Aku sendiri tidak pasti,


Apakah sebenarnya yang kuharapkan,
Akupun sendiri keliru,
Apakah yang sebenarnya yang kuimpi,
Aku sendiri tercari-cari.


Hebatnya Allah,
Menguji aku begini,
Membolak-balikkan hati,
Jadikan aku terharu,
Jadikan aku terganggu,
Fikiranku bercelaru,


Semuanya...
Menguji keimananku,


Muga diriku diampuni,
Rahmatilah aku,
Ya tuhanku...

DUNIA

Dunia pinjaman sementara buat kita,
Dunia pentas lakunan buat kita,
Dunia terlalu indah di mata,
Dunia telah banyak  menipu kita,
Dunia akan kita tinggalkan bila tiba masa,
Segala yang berlaku di dunia,
Akan dipersoalkan diakhirat sana,
Buatlah persiapan didunia,
Sebelum kita meninggalkannya.

Diri ini terlalu lemah , terlalu rapuh iman Ya Allah...
Selalu leka dibuai impian dunia ... ampuni Ya Allah.

Selasa, 12 Julai 2011

KERJASAMA DALAM MAJUKAN PROGRAM

Membaca respond rakan-rakan di dalam facebook memberi idea untuk  aku menulis lagi. Ianya membuatkan aku terfikir bahawa respond-respond  itu   juga adalah merupakan salah satu masalah  yang dihadapi oleh guru-guru lama mahupun   guru baharu di dalam  usaha menjadikan program pendidikan khas tempat mereka bertugas sebagai sebuah program yang mantap dari semua segi.

Mantap tidak kira samada dari segi perkembangan muridnya  mahupun program itu sendiri. Masalah yang kumaksudkan ialah,  tiadanya  kerjasama yang baik di antara semua orang yang  terlibat di dalam Program Pendidikan Khas .

Terlibat sebagai   salah seorang daripada panel penilai   Hari Kualiti Pendidikan Khas negeri Melaka juga, telah memberikan  kepadaku ruang untuk mendengar luahan hati  beberapa orang  Penyelaras atau Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas.  Ianya juga lebih  berkisar   tentang kegagalan  mereka untuk memajukan program  disebabkan tidak adanya  kerjasama di kalangan mereka yang bertugas di Program Pendidikan Khas.

Tidak setakat itu sahaja, terdapat  juga  program-program pendidikan khas lain  yang  melawat ke programku   di mana  pengunjungnya membisikkan  bahawa agak sukar untuk melaksanakan aktivit-aktiviti sepertimana  yang aku dan rakan-rakan buat disekolahku.  Ini berpunca dari  masalah tidak ada kerjasama sebagai ahli pasukan di dalam Program Pendidikan Khas sendiri.

Sebenarnya untuk mencapai tahap bekerjasama yang  100% dari semua yang terlibat dengan Program Pendidikan Khas adalah mustahil dan  tidak mungkin akan  terjadi.

Dalam pengalamanku,  memang akan ada seorang atau dua orang diantara kita yang akan menjadi duri dalam daging ataupun kadangkala menjadi nila yang merosakkan susu sebelanga. 

Aku pernah bekerja dengan seorang guru yang banyak menimbulkan masalah kepadaku.  Kata budak-budak sekarang tension dibuatnya.  Datang sekolah pukul 8.00 pagi.  Waktu  balik pula  cepat.  Kerap  tidur di dalam kelas.  Pukul   murid sampai  meninggalkan bekas.

Pernah juga aku menerima seorang guru baru yang datang  mengajar di programku. Dia pula suka sangat mengambil cuti sakit. Dalam sebulan akan ada sahaja alasan yang diberikan supaya boleh mengambil cuti.  Aku amat menyayanginya. Macam anak sendiri.

Rasanya tidak mahu melihat masalah yang dihadapinya menjadi penghalang untuk dia lebih berjaya dalam bidang perguruan. Aku menasihatinya untuk berusaha agar dapat  bertukar mengikut isterinya walaupun aku rasa tenaga dan buah fikirannya amat kuperlukan dalam  memajukan program kami. Permohonannya berjaya, kini dia telah bertukar dan kami masih lagi berhubung di face book.

Kadangkala apabila bertemu  situasi yang sebegini kita terpaksa lepaskan orang-orang yang kita  sayangi  demi kebaikan bersama.  Jika dibiarkan terus,  masalah akan menjadi  lebih rumit dan kita juga akan  menanggung  berbagai lagi masalah lain.

Berbalik semula pada ceritaku tentang guru yang banyak menimbulkan masalah tadi. Memang banyak dosa aku pada  masa itu. Di dalam kelas cerita pasal dia.  Di luar kelas hingga balik kerumahpun, cerita yang sama pada suami dan anak-anak mengenai keburukan guru ini.  Semuga Allah sahaja yang mengampuniku. 

Walau apapun,  aku pernah bersemuka dengan guru itu dan menjelaskan apa yang pernah kulakukan.  Mungkin tidaklah dapat kususunkan mengikut satu persatu ayatnya, tetapi jelas dia ikhlas dalam memaafkan aku. 

Hingga kini dia dan keluarganya adalah sahabat baikku.

Pernah sekali, aku menegur sikapnya yang suka datang lewat dan balik cepat.  Jawapannya pedas sekali. "Awak  siapa, nak tegur-tegur, kalau guru besar dah benarkan,  awak  apa peduli".

Dia memang berani,  sebab beza umur kami hampir 20 tahun.  Sejak itu aku terasa malas hendak menegur. Tetapi apbila difikirkan  semula,  sampai  bila hendak  kubiarkan ianya berlaku.  Ini adalah kerana semakin lama ianya akan  menjadi virus yang  boleh  merosakkan  guru-guru baru di dalam programku.

Memang  kita akan rasa tertekan, sakit hati dan geram apabila mendapat rakan sekerja yang membawa banyak masalah.  Tidak kira samada dia adalah seorang penyelaras , Guru Penolong Kanan , guru-guru mahupun  Pembantu Pengurusan Murid .

Perasaan marah dan benci  kepada mereka ini tetap sama. Ini adalah kerana masalah-masalah yang ditimbulkan akan menyebabkan orang lain terutamanya murid-murid kita yang menjadi mangsa.

Yang lebih tidak seronok ialah masalah yang dibawa akan menyebabkan orang luar memandang negatif kepada  sesiapa sahaja yang terlibat dengan pendidikan khas. Kadangkala perasaan ini membawa kita merasakan seperti ingin keluar terus dari bidang yang mulia ini.

Nasihatku,  orang bermasalah  yang sebegini usahlah dirisaukan sangat.  Doakan selalu kebaikan untuk mereka. Sebenarnya kadangkala semakin banyak kita  bercerita mengenai insan-insan  yang bermasalah ini , semakin banyak dosa yang akan kita dapat. 

Cuma pesananku , buat semua kerja yang telah diamnahkan kepada kita sebaik mungkin.  Jangan sekali-kali merasa putus asa dengan masalah yang kita hadapi .  Selalu tunjukkan contoh tauladan yang baik. Kepimpinan melalui tauladan.  Berhenti daripada mengata di belakang . Doakan selalu kebaikan untuk mereka.  Insyaallah,  Allah akan beri hidayah kepada mereka ini.


Bagi diriku, pengalaman adalah guru paling baik dalam kehidupan. Semakin ramai orang yang aku temui, semakin banyak masalah yang aku hadapi,  semakin mematangkan aku dalam mengurus.

Mereka yang banyak mendatangkan masalah ini sebenarnya adalah ujian Allah buat kita.  Dia juga kadangkala adalah guru paling baik buat kita didalam  banyak  perkara, terutamanya  di dalam mendidik hati untuk menjadi orang yang penyabar. 

Jika hendakku  ceritakan  malu juga.  Hingga suatu  tahap di mana apabila hendak berjumpa dengan guru bermasalah ini bagi memberi nasihat, aku bersembahyang hajat minta Allah buka hatinya untuk menerima teguranku.

Pernah sekali  dalam bergurau aku menegurnya tentang  hasil rezeki yang diberi kepada anak-anak apabila kita sambil lewa dalam mendidik anak-anak orang lain.   Alhamdulillah usaha ku ini memang ada sedikit membuahkan hasil.

Pada masa yang sama sewaktu aku sedang menghadapi masalah  berdepan dengan guru ini, aku ditemukan dengan  seorang guru besar. Alhamdulillah, guru besar ini   yang banyak mengajarku  bagaimana  menjadi pengurus kepada guru  seperti ini.   Semenjak itu dada  menjadi  semakin  lapang.  Masalahku sedikit demi sedikit  semakin berkurangan.

Kupanjatkan syukur kepada  Allah,  dengan berkat doa, nasihat dari guru besar tersebut, cuba jalankan tugas-tugasku dengan baik  serta  berhenti daripada  mengata di belakang,  guru tersebut dapat aku manfaatkan dalam membangunkan kelas.

Cuma bezanya  bukan sebagai guru yang mengajar murid-murid membaca,menulis dan  mengira  tetapi sebagai orang utama dalam menceriakan kelas melalui mata pelajaran kemahiran hidup.

Sejak ia dihargai dengan memberi ruang kepadanya melakukan perkara yang amat diminatinya iaitu , berkebun, bertukang  dan menceriakan kelas,  dia menjadi orang paling awal datang ke sekolah dan paling lewat balik ke rumah. 

Hari cutinya juga kadangkala dimanfaatkan  dengan menceriakan kawasan sekolah.  Dari hasil usahanya itu,  dua tahun berturut-turut program ku mendapat anugerah Program Cemerlang Pendidikan Khas  Negeri Melaka.

Tugasku  pada masa itu hanyalah  memberi arahan dan menyediakan peruntukan bagi menyempurnakan  apa yang ingin dilaksanakan. Apapun aku dan rakan-rakan lain kadangkala terpaksa berkorban masa untuk menggantikuan kelas dia mengajar kerana dia sibuk bertukang dan berkebun. 

Di sini memang kita kadangkala terpaksa membuat pilihan,  iaitu  samada menggunakan seseorang itu  kepada perkara  yang lebih memberi manfaat kepada kelas,  atau membiarkan dia terus menjadi seorang guru yang  banyak menimbulkan masalah.

Walaupun kadangkala tindakan itu  tidak tepat dari mata kasar, tetapi ianya lebih membawa erti sebagai satu langkah  untuk menyelesaikan masalah .

Bila kufikirkan semula guru tersebut  sebenarnya adalah orang  di belakang tabir yang banyak membantu aku menjadikan progam yang kuterajui  mencapai kejayaan demi kejayaan di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan.

Ini terbukti apabila,  walaupun dia telah bersara,  tetapi hasil tanganya serba sedikit membantu programku  mendapat anugerah Program Cemerlang  Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Peringkat Kebangsaan pada tahu 2003.


Kita tidak boleh mencipta pengalaman. Pengalaman akan kita perolehi apabila kita telah melalui sesuatu perkara.  Pengalaman juga adalah guru paling baik dalam kehidupan. Terlalu banyak pengajaran yang kudapati dari  semua pengalaman  yang kulalui ini.

Inginku panjatkankan rasa syukur kepada  Allah dengan apa yang pernah kukecapi ini.  Lebih berbahagia lagi apabila guru-guru  yang banyak membawa masalah kepadaku sebenarnya kini adalah sahabatku. Banyak perkara yang dapat kupelajari daripada  ujian bertemu orang-orang yang banyak menimbulkan masalah ini. 


Pertamanya   ialah banyakkan  munajat pada Allah minta dimudahkan segala usaha kita.  Allah yang memberi kita segala masalah. Hanya DIA  juga  yang  boleh menyelesaikannya.  Seterusnya ialah cuba berhenti daripada mengata di belakang.  Selesaikan segala masalah melalui perbincangan.

Tidak kurang penting juga ialah tunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu sebelum menegur orang lain.  Dalam semua urusan di kelas, walaupun apa jawatan yang kita pegang ,  bertindaklah sebagai seorang ahli di dalam sebuah pasukan.  Jangan sekali-kali  hanya pandai memberi arahan,   tetapi  kita sendiri bertindak  lepas tangan .

Apabila menghadapi masalah, cuba muhasabah diri, kerana kadangkala ianya adalah berpunca daripada kesalahan kita sendiri. Atau mungkin Allah hendak menguji dan membimbing kita menjadi orang yang lebih baik lagi.

Cuba dapatkan nasihat yang baik daripada orang-orang yang lebih berpengalaman.  Jangan sekali-kali meminta nasihat daripada insan-insan yang suka menyiram minyak ke dalam api.  Pasti masalah akan menjadi lebih besar dan membakar diri kita sendiri.

Cuba berhenti daripada  memandang keburukan mereka yang bermasalah ini. Belajarlah untuk menghargai kebaikan mereka walaupun sedikit.  Memang sukar untuk mengamalkan apa yang kutuliskan ini. Perlukan kesabaran dan  kekuatan hati .

Sebagai manusia yang serba kekurangan,  aku sendiri berperang dengan perasaan sendiri apabila berhadapan dengan orang-orang yang bermasalah sewaktu mengurus. Tekanan demi tekanan kurasakan apabila berhadapan dengan mereka ini.

Walaubagaimanapun  satu perkara yang cuba  kutanamkan dalam hatiku ialah,  kita tidaklah cukup sempurna untuk menuding jari kepada kelemahan orang lain. Banyakkan mohon pada Allah.  Bantuan Allah pasti datang  jika kita benar-benar ikhlas. Insyaallah.


Sepakat membawa berkat.

Rabu, 6 Julai 2011

BICARA 15: GURU PENDIDIKAN KHAS/BUKAN PRESTASI YANG KUHARAPKAN

Pagi tadi , menyertai taklimat J-QAF Pendidikan Khas di Jabatan Pelajaran telah membuat aku terpanggil  lagi untuk menulis hari ini.

Bisikan rakan seperjuangan tentang apa yang berlaku disekolahnya,  membuatkan aku tertanya-tanya di dalam hati. Rupa-rupanya  walaupun Pendidikan Khas di Malaysia telah lama dilaksanakan, tetapi cerita yang sama seperti aku membuka program 19 tahun dahulu masih berlaku lagi.

Guru Pendidikan Khas ingin ditarik mengajar dialiran perdana bagi menggantikan guru cuti bersalin. Aku nak gelak pun ada,nak marah pun ada bila  mendengar rungutan kawanku ini.  Mengapa ye?  mustahil pentadbir sekolah tidak faham bidang tugas guru Pendidikan Khas. Semuanya telah ditaklimat oleh Unit Pendidikan Khas.  Apapun,  aku harap  masalah itu boleh diselesaikan   dengan baik dan tidak dipanjang-panjangkan.

Al kisah ingin kucoretkan cerita  silamku pada tahun 1992. Baru buka program,  masa itu masih muda, kuat bekerja dan bersemangat, jadi apa juga masalah yang datang dapat ditepis atau  ditangani dengan baik.

Muridku pada masa itu rasanya 13 orang. Terdiri daripada berbagai kategori. Ada haiperaktif, down sindrom, autisme, bermasalah urusdiri, bermasalah peruturan dan slowlearner.

Masa itu akulah  guru Bahasa Melayu, aku teacher, aku guru Pendidikan Jasmani, aku guru Muzik, aku  ustazah dan aku juga PPM.  Pendek kata,  semua kena buat  seorang diri sebab tidak ada yang sudi untuk menemani lagi. 

Terasa semakin diuji apabila waktu itu aku sedang mengandungkan  anak yang ke 3.  Allah sahaja yang tahu dari pukul 7.45 pagi hingga 12.00  tengah hari,  seorang diri melayan murid berbagai kategori. Balik rumah bateri terus lemah. Baik suami orang memahami. Banyak urusan di rumah dan kadangkala di sekolah dia yang tolong tangani.  Inilah dia dikatakan, kejayaan isteri atas dorongan dan semangat seorang suami.


Alhamdulillah seorang sahabat yang prihatin dari sekolah yang sama,  telah secara sukarela  ingin menjadi guru Pendidikan Khas.  Allah mudahkan semuanya.  Dulu,  asalkan mengajar sepenuh masa di kelas khas dah boleh dapat elaun RM 60, tidak perlu hadir apa-apa kursus. Jadi lebih mudahlah urusannya cikgu itu .

Aku gembira sekali,  sudah dapt  kawan,  walaupun tidak ada free, tapi kelas dapat  bahagi dua. Ada sikit relax. Panas tak sampai ke petang. Rupanya hujan ditengah hari. Aku dipanggil oleh GPK 1 mengadap. Minta restu,  agar  guru yang mengajar bersamaku itu,  dipinjamkan bagi menggantikan guru  aliran perdana cuti bersalin.

Allahhu akhbar.....  Allah lebih tahu  hatiku pada  masa itu.  Aku cuba jelaskan padanya akan prosedur sebenar apabila telah bergelar guru Pendidikan Khas. Nampaknya dia tidak  boleh terima,  sehigga aku tertinggi suara.  Akhir sekali dia berkata bahawa jika tidak ada budi bicara  dariku,  dia tak kisah dan tak akan ambil guru Pendidikan Khas tersebut.

Aku begitu lega.  Walau apapun,  nama sudah sedikit tercalar.  Heboh satu sekolah,  aku melawan GPK.   Allah memang mengujiku.  Sebagai tanda tidak puas hati  kerana  HAJATNYA tidak kesampaian , aku dikenakan lagi.

Caranya agak berbeza.  Aku diberi berbagai tugas sekolah yang tiada kaitan dengan pendidikan khas selepas waktu mengajar.  Siapa yang baca coretan ini bolehlah  bayangkan sendiri,  dalam keadaan sarat
mengandung aku terpaksa selesaikan banyak  perkara lain selepas berpenat lelah di dalam kelas. 

Tak cukup itu sahaja, dia masuk memantau aku mengajar.  Wah... habis kena komen, tak ada satupun yang betul dan elok apa yang aku buat.


Sepertimana yang kukatakan,  masa tu masih muda. Alhamdullillah, semuanya dalam bantuan Allah.  Demi anak-anak istimewa ini aku redha dengan apa yang berlaku.  Jika niat GPK itu ingin menginayaku,  biarlah Allah yang membalasnya.

Dalam pengalamanku, memang sukar  bagi kita hendak mempertahankan hak  yang sepatutnya menjadi milik anak-anak ini. Walau apapun nasihatku pada rakan-rakan seperjuangan dan adik-adik yang bergelar guru Pendidikan Khas,   usah khuatir.   Allah tetap bersama,  jika kita berada di pihak yang benar teruskan usaha. Rezeki kita ditangan Allah, tidak ada sesiapa yang boleh menentukannya. 

Prestasi hujung tahun makin menggemparkan sekolah.  Markah  prestasiku hanya 72%  sahaja.  Menurut rakan-rakanku,  itu adalah prestasi guru yang bermasalah dan tidak boleh buat kerja langsung. Masa itu kalau aku mohon  berkursus atau sambung belajar, memang tak akan berjaya.

Subhanallah...  .Dia yang lebih mengetahui akan maksud yang tersirat disebalik markah yang paling teruk  yang kuperolehi ini.

Memang sedikit tercabar dengan apa yang berlaku ini.  Apapun,  aku semakin memahami erti perjuangan menegakkan hak anak-anak ini.  terlalu sukar, perlu tabah dan  walaubagaimanapun perlu dilaksanakan sebagai memikul amanah. 

Kini baru aku sedar telah terlalu banyak nikmat lain yang telah Allah berikan padaku sepanjang bergelar guru Pendidikan Khas.  Ianya sebagai menggantikan musibah yang kuterima 19 tahun yang lalu.

Aku telah menerima 6 anugerah sepanjang menjadi guru pendidikan khas.  Bukan hendak mendabik dada, jauh sekali ingin takabbur. muga Allah mengampuniku...

Apa yang ingin ku kongsikan kepada semua, demi anak-anak ini lakukanlah yang terbaik.  Cubalah buka minda.  Jangan takut bersuara jika perlu .  Perjuangkan hak mereka.  Allah tetap bersama kita.  Usah takut dengan prestasi rendah kerana prestasi yang akan Allah berikan kepada kita,  lebih berharga daripada apa yang kita dapat didunia ini.

Insyaallah....

Sabtu, 2 Julai 2011

BICARA 14: GURU PENDIDIKAN KHAS

Kemahiran  dalam sesuatu perkara hanya  akan diperolehi  setelah  seseorang itu  kerap melakukan   latihan.  Oleh itu ,menjadi guru Pendidikan Khas,  tidak boleh merasa  jemu didalam melatih anak-anak  ini  sehingga mereka  berjaya memperolehi  sesuatu kemahiran yang boleh  menjadikan mereka insan yang berdikari selaras dengan Falsafah Pendidikan Khas. Ingatlah bahawa,  apabila sesuatu  ilmu yang bermanfaat kita curahkan kepada  orang lain   pahala akan terus mengalir kepada kita walaupun kita telah tiada nanti. Carilah ganjaran akhirat disamping nikmat  dunia. Insyaallah..