Ahad, 3 Februari 2019

BICARA YB/ MENGAMUK (TANTRUM) DAN BERKATA-KATA KASAR

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Sebagai guru kita sudah pasti tidak terlepas daripada
melihat berbagai kerenah anak murid yang datang ke PPKI

Salah satunya adalah,  mengamuk dan mengeluarkan
kata-kata kasar apabila mereka marah.

Saya pernah mengajar murid yang suka bersikap sedemikian
apabila kemahuannya dilarang atau kehendaknya tidak
dipenuhi.

"Kau jangan dekat dengan aku,  bodoh!"

"Aku sepak kang!"

"Jangan pegang akulah! Sakit bodoh!"

Perkataan bodoh umpama nyanyian di bibirnya.
Kaki akan menendang, diikuti tangannya yang
mencapai, membaling dan memukul siapa sahaja
yang ada di sekitarnya.

Allahuakhbar!  Guru bukan malaikat. Manusia yang
juga ada perasaan. Sungguh. Sangat menguji kesabaran
setiap kali ianya berlaku.

Andai anak sendiri, memang sudah ditangankan.
Apabila mendidik anak orang, berfikir dua tiga kali agar
tidak terlepas tangan.

Namun, apabila sudah keterlaluan, kadangkala guru
terlepas juga tangan.

Namun, adakah perlu dibiarkan sahaja, perkara
ini berlanjutan?

Ataupun  terus menerus gunakan kekerasan sebagai tindak balas?

Di sinilah letaknya kebijaksanaan guru mengendali dan
menyelesaikan masalah.

Cadangan saya.

1. Selidek sejarah pendidikannya di rumah, dengan siapa
    dia sahabat  serta media tontonannya.

    Kes begini biasanya bermula dari rumah.

    Contoh kepada kes murid saya, ianya  adalah berpunca
    daripada ibu bapa yang  sering bertengkar di rumah.

    Ayahnya seorang penagih dadah sering memukul ibunya.

    Drama yang dilakonkan oleh ibu dan bapa dirumah telah
    dibawa kesekolah. Anak menjadi mangsa keadaan. Guru
    pula teruji kesabaran.

2. Berbincang hati ke hati dengan ibu bapa,serta berikan
    solusi agar masalah tersebut boleh diatasi.

3. Sediakan bahan bantu atau aktiviti menarik minat murid
    sepanjang berada di sekolah agar tidak memberi ruang kepadanya
    untuk mengamuk.

4. Berikan ganjaran positif apabila tingkah laku semakin baik.
 
5. Tarik semula ganjaran apabila tingkah laku berulang. Boleh
    gunakan ganjaran negatif apabila perlu.

6. Berikan selalu nasihat dan ingatan kepada anak murid tentang
    tingkah laku yang baik.

7. Kawal pemakanan di sekolah.
    Contoh- elakkan memberi makanan dan minuman yang manis.
    Akan memberi tenaga berlebihan. Begitu juga di rumah.

8. Pantau keselesaan murid. Pastikan murid sentiasa selesa.
    Contohnya apabila berpeluh, penat dan panas
    murid    akan rasa tidak selesa dan mula mengamuk. Tukarkan
    pakaiannya. Andai perlu mandikan murid tersebut.

9. Banyakkan berdoa.

Semuanya daripada Allah. Kita berusaha. Dia yang mengizinkannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan