Rabu, 11 Januari 2017

BICARA YB/EMAK

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.


Menziarahi emak adalah salah satu daripada aktiviti wajib 
yang saya selitkan di dalam jadual  selepas persaraan . 
Setiap hari Jumaat, sekitar 8.30  pagi saya dan  suami 
(kadangkala sendirian jika suami ada urusan) akan ke rumah
 emak yang letaknya lebih kurang  15 km dari tempat tinggal kami.

Waktu itu biasanya emak sudah selesai menunaikan solat dhuha.
Tersenyum mesra menyambut ketibaan kami.

Saya tersangat gembira setiap kali melihat emak makan masakan saya.
 Menu biasa sahaja. Samada nasi goreng, mi goreng, mi sup,
 nasi himpit bersama  sambal ikan bilis, nasi lemak atau jemput jemput.

 Itulah hidangan yang saya selang selikan  setiap pagi Jumaat 
untuk mengisi selera emak.

Asalnya  saya membeli makanan yang siap dimasak di gerai-gerai
 yang ada di tepi jalan. Malangnya, setiap kali makan  emak merungut.

“Masin sangat sambalnya”

“Pedas ”

“Rasanya isi ajinomoto ni”

Petanda-petanda  yang dia kurang selera. Sejak  itu saya akan memastikan
 untuk memasak sendiri. Alhamdulillah.  Tiada rungutan lagi selepasnya.

Bukan banyak manapun emak makan. Selalunya makanan yang saya bawa 
berbaki dan boleh dikongsi dengan makcik,  adik saya   yang tinggal 
bersama emak.

 “Emak sebenarnya mengharapkan ziarah daripada anak anak. 
Rasanya wang bulanan yang emak perolehi daripada anak anaknya 
 lebih daripada mencukupi untuk membeli makanan lebih enak
 sebagai memenuhi seleranya.”
 Itulah telahan hati kecil saya  setiap kali melihatkan telatah
 emak apabila  menziarahinya.

Disetiap kunjungan emak seronok  bercerita. Itulah juga  sebenarnya
 hajat  emak. Seorang  kawan yang boleh mendengar meskipun
 cerita yang sama.

Cerita tentang anak- anak dan cucu- cucu. 
Tentang arwah abah yang masih hidup di hatinya. 
Selebihnya tentang murid mengaji dan rakan rakan serta saudara 
mara yang sakit ataupun meninggal dunia.

Pendek kata masa itu emak umpama membawa liputan berita
sepanjang minggu untuk saya  dengari  dan fahami.

Emak juga akan mengingatkan saya tentang jemputan kenduri
daripada sanak saudara. Jika ada jemputan yang  tidak dapat dihadirinya, 
 saya adalah antara  yang akan menjadi wakil.
Wang telah siap dalam sarung angpau dan  diserahkan 
kepada saya untuk dibawa kemajlis kenduri.

Pada masa itu emak umpama penasihat merangkap setiausaha   pula. 
 Allahuakhbar. Bagitu besar jasa  emak. Masih membimbing saya
 tidak pernah berhenti dari kecil sehingga tua.  

Jauh disudut hati, saya amat bersyukur kerana pilihan 
bersara awal memberi ruang yang banyak kepada saya
 untuk membayar hutang tanggungjawab kepada emak yang telah lama saya
lupakan.

Terimakasih kepada adik beradik terutama Kak Zamnah,
 Kak Rosni, Abang Uda, Pak Ngah Bahar Hitam, Adik Mizan Hitam,
 Azman Hitam, Muhammad Zaki Hitam, Sufinah Hitam dan Raizun Hitam
 yang menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk menyusun jadual
 ziarah ini meskipun telah agak terlambat dan tidak dapat menandingi 
kalian.

Kepada insan-insan  bergelar anak di luar sana yang mungkin 
membaca coretan ini, jangan lupa kepada ibubapa yang melahirkan kita 
meskipun di mana kita berada.

 Redha mereka adalah redha Allah.
 Gembiranya mereka adalah sumber rahmat daripada Allah.

Jangan lepaskan peluang mendapat pahala percuma dengan
 hanya melihat wajah ibubapa sendiri. Ada  diantara kita  yang
 tidak mendapat peluang serupa kerana telah kehilangan ibubapa
 untuk selama-lamanya.

Kasih ibu bawa ke syurga.
Kasih bapa bawa bahagia.
                                                                                                                            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan