Melihat rakan-rakan di destinasi baru ini melaksanakan
semua aktiviti yang dirancang dengan bersungguh-sungguh tanpa
mengira masa dan tenaga membangkitkan nostalgiaku semasa
masih bergelar guru pendidikan khas dahulu.
Rentak kerja yang sama berlaku di sini. Berkejar masuk mengajar
apabila tiba waktu. Bersungguh-sungguh membantu anak-anak
yang tidak tahu.
Masa yang terluang telah mereka penuhi dengan menyiapkan tugasan
yang diberi. Ada rakan guru yang membawa suami ke sekolah untuk membantu.
Tahniah dan terima kasih ku hulurkan. Hanya Allah yang membalasnya.
Waktu yang sepatutnya orang lain bersembang di bilik guru atau kantin, mereka pula
tekun menunaikan amanah. Masa orang lain sudah berada di rumah bersama suami,
anak, isteri, mereka masih berada di sekolah. Keikhlasan sebahagian daripada mereka
dalam membantu membuatkan aku terharu.
Pun begitu, aku masih lagi tertanya-tanya di mana silapnya. Masih ada yang
tidak peka pada persekitaran yang sedang berlaku. Melihat sahaja seperti
tidak perlu buat apa-apa.
Dalam situasi begini membuatkan aku semakin mengerti.
Sebenarnya, perasaan orang lain bukan mudah untuk kita selami.
Apa yang tersirat di hati mereka tidak mudah untuk kita ketahui.
Apapun, sedikti nasihat daripadaku, insan yang terlalu lemah ini.
Tidak bersungguh-sungguh, sambil lewa dalam kerjaya,
memberi alasan, berkira masa juga tenaga serta suka mempersoalkan
apabila diberi tugasan adalah ujian daripada Allah kepada hambanya.
Allah yang tentukan segalanya. Meskipun begitu, kita tidak boleh berhenti
dari terus berusaha. Mohonlah kepadaNYA agar kita diberi semangat untuk
bersungguh-sungguh dalam kerjaya, meskipun ia semakin mencabar
dan memerlukan banyak pengorbanan.
Bayangkan jumlahnya gaji dan elaun yang kita dapat. Kita lupa sebenarnya
kita dibayar atas segala perkhidmatan yang diberikan.
Setimpalkah ia dengan gaji yang diterima. ?
Hingga cuti penggal sebulan lebih pun kita terima habuan.
Pun begitu, kita masih lagi berkira. Amanah diberikan terabai begitu sahaja.
Siapapun antara kita, guru pendidikan khas mahupun perdana , jangan
terlupa bahawa kita akan dipersoalkan atas setiap perkara. Lebih penting dan
merunsingkan ialah anak- anak ini akan menuntut hak mereka di akhirat sana.
Menulis bukan kerana aku yang terbaik, namun ia adalah nasihat bagi diri sendiri
dan sebagai menunaikan tanggung jawab untuk nasihat menasihati.
Selamat berusaha untuk menjadi guru yang lebih baik. Insya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan