Jumaat, 23 Mac 2018

BICARA YB/ TERLUPA

Alhamdulillah.

Apabila mendapat anak istimewa ramai ibu bapa
yang merasa kecewa dan sukar untuk menerima.

Tambahan lagi jika mereka tidak mendapat
sokongan moral daripada ahli keluarga
sendiri.

Namun begitu, mereka tidaklah membiarkan
anak-anak tersebut begitu sahaja. Tanpa bantuan
yang sewajarnya.

Berbagai usaha telah  diambil.
Rawatan bersama  doktor pakar kanak-kanak,
berbagai program terapi juga  program intervensi,
anak -anak tersebut dibawa hadiri.

Ditambah lagi dengan memberi pelbagai makanan
tambahan yang dikira mampu membantu.

Semuanya adalah demi  memastikan anak-anak
istimewa ini dapat meningkatkan perkembangan diri
dan seterusnya boleh berdikari.

Alhamdulillah. Tahniah.
Peningkatan kemahiran demi kemahiran dapat
dilihat hasilnya yang positif.

Namun, satu  perkara penting yang kerap dilupakan
oleh ibu bapa ialah pergantungan yang lebih
kepada Allah SWT.

Solat, solat hajat, solat sunat, puasa, sedekah
doa dan sebagainya. Demi mendekatkan lagi
diri kepada yang mencipta anak istimewa.

Kita terlupa, segala yang diusahakan tidak
akan berhasil andai tidak dengan izin-Nya.

Dia yang memberi ujian  itu. Dia juga yang
layak untuk menyelesaikannya.

Jangan terlupa.
Usaha, amal, doa, tawakkal.








BICARA YB/ ISTIMEWA

Alhamdulillah. Diizinkan saya untuk menulis.

Sungguh.
Insan istimewa adalah satu anugerah.

Tidak diminta.
Tidak diduga.
Namun dia tiba-tiba menjelma.
Di dalam hidup sesiapa sahaja.
Yang telah Allah pilih berdasar kelayakannya.

Meskipun berat, tetap perlu  dikendung.
Walaupun pahit, tetap perlu ditelan.

Andai tidak tahu, carilah ilmu.
Andai bersendiri, carilah teman menemani.
Juga berkongsi derita yang dialami.

Andai penat, duduklah seketika, berehat.

Andai masih hampa, masih kecewa
dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa.

Jangan lupakan Dia.
Allah,  yang memberi ujian dan menerima
setiap permohonan.






BICARA YB/ SEPI

Alhamdulillah.

Menyepi bukan bererti lupa.
Kau tetap di hati.

Teristimewa Untukmu.

Jumaat, 19 Januari 2018

BICARA YB/ INTERVENSI 2

Alhamdulillah. Sedikit perkongsian tentang intervensi.

Kanak-kanak yang lewat perkembangan dan istimewa perlukan
perhatian yang lebih khusus semasa p&p.

Ada diantara mereka yang langsung tiada tumpuan perhatian.
Terdapat sebahagian mereka yang singkat daya tumpuan.

Oleh itu pelbagai aktiviti menarik perlu disusun bagi
menarik perhatian mereka.

Antaranya ialah:

1. Mencantum lego.
2. Memasukkan bola pingpong ke dalam lubang bakul.
3. Memasukkan syiling ke dalam tabung.
4. Mencucuk penyedut minuman ke dalam lubang
    yang terdapat pada bakul.

Semua aktiviti di atas adalah bertujuan meningkatkan
kemahiran tumpuan dan motor halus murid.
                               
Aktiviti-aktiviti tersebut juga perlu dilaksanakan dalam
jarak masa yang singkat.

Berlama-lamaan dengan aktiviti yang sama akan
menimbulkan kebosanan dan mengurangkan minat
anak-anak ini untuk melakukan aktiviti seterusnya.

Selamat mencuba.



Aktiviti Mencantum lego.






Aktiviti memasukkan
syiling ke dalam tabung




Aktiviti memasukkan bola pingpong
ke dalam bekas telur.




Memasukkan straw ke dalam lubang
di bakul.













Kanak-kanak ini boleh memberi perhatian kurang daripada 5 minit.

Isnin, 15 Januari 2018

BICARA YB/INTERVENSI 1

Alhamdulillah. Sedikit perkongsian tentang intervensi.

Kes 1.
Nama: Afif
Tarikh lahir:27.6.2014
Umur: 3 tahun 6 bulan.
Masalah: ASD

Untuk memulakan program intervensi terhadap anak-anak
terutama yang istimewa tidaklah semudah yang
difikirkan.

Mereka sangat sukar didekati. Apatah untuk disuruh
melakukan aktiviti.

Oleh itu langkah pertama yang perlu dilakukan oleh guru
ialah membina hubungan.

Apabila terbina hubungan akan lebih mudah anak tersebut
didekati serta mengikut arahan.

Antara kaedah:
1. Dapatkan maklumat daripada ibu bapa aktiviti yang
    disenangi oleh murid.

    Pertemuan pertama mulakan dengan perkara yang
    disenanginya.

    Ada murid yang suka dipeluk.
    Ada murid yang suka bermain dengan sesuatu contoh lego.

2. Sediakan ganjaran positif yang disukai oleh murid.
     Selang selikan aktiviti pembelajaran dengan ganjaran.

Selamat mencuba.



Kaedah memeluk untuk
menenangkan kanak-kanak.








Ahad, 14 Januari 2018

BICARA YB/ INTERVENSI

Alhamdulillah. Saya tuliskan sedikit perkongsian.

Antara aktivti yang boleh membantu meningkatkan
kemahiran menulis dan tumpuan.

1.Mengoyak kertas.
- membantu murid meningkatkan daya  tumpuan.
-membantu menguatkan jari-jemari.

2. Menggunakan spray yang mengandungi air
    berwarna.
-membantu menguatkan jari-jemari.
-membantu murid meningkatkan daya  tumpuan.
-mengenalkan warna.

Murid yang masih lemah memegang alatulis
jangan dipaksa menulis.

Dengan paksaan sedangkan murid belum bersedia
akan menghilangkan minat mereka untuk menulis.

Berikan aktiviti yang membantu menguatkan
anggota tangan untuk memegang alatulis terlebih
dahulu.







BICARA YB/ MUTIARA KATA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.


Berhati-hatilah dengan prasangka,  
kerana prasangka adalah seburuk-buruk ucapan.

(Radio IKIM)

Sabtu, 6 Januari 2018

BICARA YB/ ALUMNI

Alhamdulillah. Di izinkan saya menulis.

Saya pernah berimpian untuk menjadi pentadbir
di Sekolah Kebangsaan Padang Temu ini,
sebaik saya memegang jawatan Guru Besar.

Namun, saya hanya mampu  merancang.
Allah yang memutuskan.

Saya hanya menyimpan mimpi yang ada.
Akhirnya ia dikuburkan  bersama alam
persaraan saya.

Namun kini,  impian saya menjelma kembali.
Apabila pengerusinya cikgu Rashid bin Doralim
mempelawa.
Pertubuhan Alumni SK Padang Temu Melaka.
Sangat unik dan tiada had usia.

Hadirnya saya kali ini.
Bukan untuk menjadi seorang guru besar.
Jauh sekali untuk mengajar.

Sekadar membantu mana yang mampu.
Mana yang sekolah perlu.

Allah.
Sungguh DIA mengetahui.
Niat cikgu Rashid Doralim yang luhur
Allah luaskan lorongnya.

Perjumpaan pertama yang pada awalnya
bagaikan hujan di tengah hari.
Namun, akhirnya menjadi.

Alhamdulillah.

Memang kita semua adalah alumni SKPT
yang hebat. Banyak perkara yang  mampu dibuat.
Andai langkah kita sederap. Hala kita seucap.
Buat membangun modal insan yang sentiasa 
mengharap.

Kepada semua alumni SKPT.
Memang masa kita juga terhad.
Tugasan kita seharian sudah cukup padat.
Meskipun begitu, bantulah mana yang dapat.

Kerana di SKPT  ada anak cucu kita.
Zuriat keturunan kita.
Yang mengharap kerjasama daripada semua.

Biarpun  bantuan yang ada sedikit cuma.
Namun diharap mampu menjana kecemerlangan
SKPT di mata dunia.

SKPT segalanya bermula.
















Rabu, 27 Disember 2017

BICARA YB/ PERJUMPAAN ALUMNI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

PERJUMPAAN  ALUMNI SK PADANG TEMU, 
KALI PERTAMA.

24 Disember 2017- KAMPUNG PADANG TEMU MELAKA.
Perjumpaan kali pertama alumni SK Padang Temu Melaka telah 
berlangsung  di Dewan SK Padang Temu Melaka dengan dihadiri 
oleh lebih kurang 70 orang bekas murid.

 Pertubuhan Alumni yang baru 2 bulan dibentuk  ini, dipengerusikan
oleh seorang pesara guru iaitu En Rashid bin Doralim. 

Ianya berbeza daripada alumni lain kerana,  terbuka  kepada 
semua bekas murid SKPT Melaka dari berbagai peringkat umur.

Tuan Haji Saleh bin Abu 81 tahun, Tuan Haji Buang bin Bongsu 
76 tahun, Puan  Jamaliah bt Tahir, 72 tahun, dan Pesara Guru Besar 
Tuan Haji Sidek Md Ali 66 tahun  adalah alumni warga emas,
manakala Muhd Akmal bin Muhd Hisham 19 tahun adalah 
alumni termuda yang hadir pada hari tersebut.

 Alumni lain yang hadir pada hari tersebut  ialah, En Zulkili 
bin Sulaiman (Pengerusi JKK Kampung Padang Temu),  
Datuk Dr Mizan Hitam,( Profesor Fakulti Senibina dan 
Perancang Bandar UiTM Shah Alam) dan Tuan Hj Ismail bin Omar
(Jurutera, juga Pengarah Urusan Firma Kejuruteraan Dan Pembinaan).

Kehadiran semua alumni dimeriahkan lagi  dengan iringan paluan
kompang oleh Pasukan Kompang  Al Azhar Kampung  Padang Temu 
yang diketuai oleh saudara Nazri bin Omar.

Perjumpaan yang bertujuan menyambung silaturrahim 
di antara bekas-bekas murid dan membuat kutipan derma 
membantu sekolah itu,  telah diserikan lagi dengan kehadiran
Guru  Besar SKPT iaitu Puan Rosnah Ismail.

Perjumpaan yang berlangsung lebih kurang 3 jam itu tamat 
pada pukul 1.00 tengah hari. Sumbangan derma sebanyak  
RM 2,120 telah berjaya dikutip daripada ahli yang hadir dan 
diserahkan kepada Guru Besar SKPT pada hari tersebut juga.




















BICARA YB/ CALCUTTA & MELAKA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis


4 orang wanita daripada Calcutta India
bermusafir  menambah ilmu dan iman
di rumah saya. Selama 3 hari 2 malam.

Kaum lelakinya bermalam di surau.

Alahai. Jadi ayam dan itiklah kami.

Namun. .......

Apabila nama Allah disebutkan,
kami sama-sama menyebut swt.

Apabila nama Nabi Muhammad disebut,
kami sama -sama berselawat.

Apabila nama sahabat disebut,
kami menyambung rdhu.

Di dalam perkara ini,  kami  masih boleh
memahami di antara satu sama lain.

Kerana Allah itu satu.
Islam agama penyatu.


BICARA YB/KATA-KATA HIKMAH






BICARA YB/ KATA-KATA HIKMAH






BICARA YB/KATA-KATA HIKMAH






Rabu, 6 Disember 2017

BICARA YB/MOTIVASI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Pernahkah kita  lalui?

Segala yang dirancang tidak menjadi?

Sedangkan.
Semua perkara  telah disusun rapi.
Masa dan tugasan lain yang perlu,
juga telah diteliti.

Berhajat segalanya bergerak laju.
Hala tuju tercapai mengikut waktu.

Dukacita.

Hari berlalu.
Minggu menanti.
Bulan berganti.
Nanum, kantung target  gagal terisi.

Hairan juga.
Sebelum-sebelum ini.
Dalam kalutnya menyiapkan itu dan ini.

Semua menjadi.

Berlainan benar kali ini.

÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷÷

Apabila kita merasakan.

Kita memang hebat.

Berjaya buat itu dan ini.
Sehingga mengenepikan kehendak Allah.

Itulah jadinya.

Allah ingin kita sedar.

Masa itu juga milik DIA.
Kejayaan menghasilkan sesuatu juga
atas izin DIA.

Kembalilah meminta sungguh-sungguh
daripadaNYA.

Kita ini pelakon sahaja.
Lakonan berjaya atas arahan PENGARAHNYA.