Jumaat, 15 Februari 2019

BICARA YB/ BERUSAHA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Meskipun telah bersara, masih ada ibu bapa yang merujuk tentang
masalah anak mereka kepada saya. Apabila disoal tentang perkembangan
anak, ada yang  menjawab.

"Saya pun tak tak tahu apa yang cikgu dia ajar kat sekolah."

"Dah 4 tahun pergi sekolah, tak kenal abc lagi."

"Masih tak boleh bercakap"

"Masih tak boleh urus  diri ke tandas."

Bunyinya bagai menyalahkan guru semata-mata.

Dalam situasi ini biasanya saya akan memberi solusi seperti berikut:

1. Ibu bapa perlu ambil tahu perkembangan anak dengan cara
   selalu berbincang dengan guru-guru.

2. Perlu sediakan masa di rumah untuk melakukan kesinambungan
    pembelajaran.

3. Masa anak-anak bersama ibu bapa lebih lama, berbanding dengan guru di sekolah.
    Jika ibu bapa tidak menyediakan masa untuk membantu, anak-anak tidak
    akan berkembang potensinya.

4. Alasan tidak tahu cara mengajar anak di rumah sudah tidak boleh
    digunakan lagi. Ada banyak sumber yang boleh dirujuk  untuk
    membantu anak-anak istimewa.
 
   Contohnya:
  1.  Hadiri  kursus jangka pendek yang dianjurkan oleh Permata
       Kurnia dan NGO yang lain.

  2. Sertai group FB atau Whatsapp ibu bapa yang ada anak istimewa.
      Contohnya FB Autisme Malaysia.

  3. Berkongsi pengalaman dengan ibu bapa yang ada anak-anak istimewa.

  4. Rujuk masalah kepada pakar perubatan di hospital dan pakar dalam
      bidang Pendidikan Khas seperti Dr Hasnah Toran.

  5. Boleh juga merujuk kepada FB Azman Mustafa yang banyak memberi tip mendidik
      anak autisma bertutur.

  6. Tonton youtube yang menunjukkan kaedah mengajar anak istimewa.
     
     Meskipun banyak sumber yang saya tuliskan di atas adalah berkaitan sutisma,
     namun maklumat yang mereka berikan sesuai digunakan oleh murid yang
     bermasalah selain    autisma.

Apapun usaha yang kita buat, jangan sekali-kali lupakan Yang Menciptakan
anak-anak ini. Dia yang memberi ujian, Dia juga tempat meminta agar ujian
bertukar kegembiraan.




   

BICARA YB/ DOA IBU

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Mendidik anak istimewa adalah satu cabaran yang sangat besar.

Terutama dalam menahan diri dari marah apabila mereka
membuat kerenah.

Ianya tidak semudah bicara. Tidak semudah pandangan mata.

Kerana kerenah mereka bukan sedikit. Dari mereka celik mata
sehinggalah mereka tidur semula.

Saya pernah bertanya kepada seorang ibu yang mempunyai anak
haiperaktif. Anak tersebut telah tujuh  tahun tinggal di madrasah.


"Bila melipat baju, saya berdoa agar anak saya tahu menguruskan
bajunya, kerana bajunya selalu hilang."

"Bila baca quran, saya berdoa biar anak saya mudah hafal quran."

"Pendek kata setiap detik sambil saya membuat kerja rumah,
doa saya tujukan kepada anak saya."


Terbukti. Anak lelakinya semakin matang di dalam pengurusan
diri dan keperluan peribadi. Juga hafazannya semakin bertambah.

Alhamdulillah. Jawapan yang diberi oleh ibu itu membuka minda saya.

"Doa ibu adalah segala-galanya."

Apabila kita kembali kepada yang menjadikan. Kita akan
lebih tenang dan kurang tertekan.

Semoga bermanfaat.




Rabu, 13 Februari 2019

BICARA YB/ THE MAKING OF BUKU TERISTIMEWA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Sepanjang menjadi guru pendidikan khas, penuh  kisah suka dan duka
yang saya lalui.

Andai ingin dibukukan,  akan menjadi lebih dari 3 buah buku.

Masalahnya, apabila saya menulis selepas bersara, fokus saya lebih kepada
kisah pengalaman sebagai  seorang guru besar dan pesara.

Kisah lama di pendidikan khas bagaikan berkubur begitu sahaja.

Apabila buku yang terhasil  dibeli oleh rakan-rakan., terdengar keluhan
daripada  mereka.

"Fikirkan akak tulis tentang pendidikan khas". Nada mereka hampa.

Saya pun  mula mengumpul bahan-bahan penulisan untuk buku ke dua
tentang pengalaman sebagai guru pendidikan khas.
,
Entah mengapa dalam masa yang sama   Allah bukakan hati saya untuk
lakukan satu perkara lagi.

"Kan lebih baik kalau aku berkolaborasi dengan adik-adik guru Pendidikan
Khas yang masih bertugas. Tentu kisah yang ditulis lebih menarik."

"Boleh juga menurunkan ilmu yang aku pelajari  kepada mereka walaupun sedikit"

Allah menentukan yang terbaik.

Bermula dengan Cikgu Hamzah, Cikgu Hajah Hamidah,
diikuti oleh Cikgu Norzalina, Cikgu Ros Laini dan yang terakhir cikgu Hairiah, akhirnya
jumlah kami menjadi enam orang penulis.


Bertungkus lumus kami cuba menyiapkan buku sebelum Pesta Buku
Antara Bangsa  2019.

Nantikan kemunculan buku Teristimewa, Kisah Kasih, Kau, Aku dan Dia.









Isnin, 4 Februari 2019

BICARA YB/ DOA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Melepaskan anak yang bekeperluan khas tinggal di asrama
bukanlah satu perkara mudah. Ianya adalah satu bebanan
emosi kepada ibu bapa. Perasaan mereka hanya Allah mengetahui.

Seorang ibu yang mempunyai anak bermasalah ADHD telah
dengan bulat hati menghantar anak beliau masuk ke sebuah
madrasah untuk menjadikan anaknya seorang hafiz al-Quran.

Banyak laporan yang negatif diterima daripada  adik kepada
anak istimewa ini setiap kali lawatan hujung minggu dibuat
ke madrasah.

Jubah dan duit hilang. Di permainkan oleh anak-anak normal
di madrasah juga selalu lambat masuk kelas. Itu adalah
laporan yang biasa diterima.

Bagi ibu muda ini, dia amat yakin segalanya adalah
aturan Allah. Ianya boleh diselesaikan melalui jalan
berdoa.

Sungguh. Solat hajat dan doa tidak pernah berhenti di bibir
dan hati ibu ini.

Kini, telah 6 tahun anak istimewa ini bergelar pelajar madrasah.

Adakah semua masalah yang timbul sejak anak ini masuk
ke madrasah telah dapat di atasi?

Belum! Belum sepenuhnya. Masih berlaku kehilangan jubah
dan tidak dapat dikesan. Perlu diganti saban bulan.

Namun ibu ini sangat yakin dengan kuasa doa beliau.

Anak ADHD ini kelihatan semakin matang dalam mengurus
diri  meskipun tidak menyamai anak-anak normal.

Meskipun, masih ada laporan negatif, namun ibu ini sudah
mampu tersenyum. Berkat doa tidak berhenti kini anak ADHD
ini telah menghafal 17 juzuk dari al _Quran.

Andai dilihat raut wajahnya apabila berjubah dan berserban tidak siapa
menduga bahawa anak ini adalah seorang insan istimewa.








Ahad, 3 Februari 2019

BICARA YB/ MENGAMUK (TANTRUM) DAN BERKATA-KATA KASAR

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Sebagai guru kita sudah pasti tidak terlepas daripada
melihat berbagai kerenah anak murid yang datang ke PPKI

Salah satunya adalah,  mengamuk dan mengeluarkan
kata-kata kasar apabila mereka marah.

Saya pernah mengajar murid yang suka bersikap sedemikian
apabila kemahuannya dilarang atau kehendaknya tidak
dipenuhi.

"Kau jangan dekat dengan aku,  bodoh!"

"Aku sepak kang!"

"Jangan pegang akulah! Sakit bodoh!"

Perkataan bodoh umpama nyanyian di bibirnya.
Kaki akan menendang, diikuti tangannya yang
mencapai, membaling dan memukul siapa sahaja
yang ada di sekitarnya.

Allahuakhbar!  Guru bukan malaikat. Manusia yang
juga ada perasaan. Sungguh. Sangat menguji kesabaran
setiap kali ianya berlaku.

Andai anak sendiri, memang sudah ditangankan.
Apabila mendidik anak orang, berfikir dua tiga kali agar
tidak terlepas tangan.

Namun, apabila sudah keterlaluan, kadangkala guru
terlepas juga tangan.

Namun, adakah perlu dibiarkan sahaja, perkara
ini berlanjutan?

Ataupun  terus menerus gunakan kekerasan sebagai tindak balas?

Di sinilah letaknya kebijaksanaan guru mengendali dan
menyelesaikan masalah.

Cadangan saya.

1. Selidek sejarah pendidikannya di rumah, dengan siapa
    dia sahabat  serta media tontonannya.

    Kes begini biasanya bermula dari rumah.

    Contoh kepada kes murid saya, ianya  adalah berpunca
    daripada ibu bapa yang  sering bertengkar di rumah.

    Ayahnya seorang penagih dadah sering memukul ibunya.

    Drama yang dilakonkan oleh ibu dan bapa dirumah telah
    dibawa kesekolah. Anak menjadi mangsa keadaan. Guru
    pula teruji kesabaran.

2. Berbincang hati ke hati dengan ibu bapa,serta berikan
    solusi agar masalah tersebut boleh diatasi.

3. Sediakan bahan bantu atau aktiviti menarik minat murid
    sepanjang berada di sekolah agar tidak memberi ruang kepadanya
    untuk mengamuk.

4. Berikan ganjaran positif apabila tingkah laku semakin baik.
 
5. Tarik semula ganjaran apabila tingkah laku berulang. Boleh
    gunakan ganjaran negatif apabila perlu.

6. Berikan selalu nasihat dan ingatan kepada anak murid tentang
    tingkah laku yang baik.

7. Kawal pemakanan di sekolah.
    Contoh- elakkan memberi makanan dan minuman yang manis.
    Akan memberi tenaga berlebihan. Begitu juga di rumah.

8. Pantau keselesaan murid. Pastikan murid sentiasa selesa.
    Contohnya apabila berpeluh, penat dan panas
    murid    akan rasa tidak selesa dan mula mengamuk. Tukarkan
    pakaiannya. Andai perlu mandikan murid tersebut.

9. Banyakkan berdoa.

Semuanya daripada Allah. Kita berusaha. Dia yang mengizinkannya.