Selasa, 29 Mei 2018

BICARA YB/ PENGALAMAN


Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Pengalaman mengajar  anak-anak istimewa ini selama 
hampir 19 tahun sebenarnya banyak menyuluh kegelapan
hati saya. Kadangkala, terasa mereka sebenarnya lebih
ikhlas melakukan sesuatu berbanding  kita yang sempurna.

Pemberian  kita mengharap ganjaran.  Bantuan  kepada yang 
boleh memberi balasan. Sedangkan mereka tidaklah 
demikian.

Malah  mereka  sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu
menagih sanjungan.  Bantuan  yang dihulurkan adalah 
lahir daripada sikap tanggungjawab dan bukan pujian 
yang di harap.





Khamis, 24 Mei 2018

BICARA YB/ BOTOL SPRAY


Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.



Menggunakan botol spray sebagai satu aktiviti pembelajaran adalah
amat menyeronokkan murid-murid.

Botol spray yang mengandungi air yang dibancuh warna dapat membantu
perkembangan murid-murid seperti berikut:

1. Perkembangan motor halus-menggunakan jari untuk memicit
    pemetik botol spray.

2.Tumpuan- murid memberi tumpuan untuk melihat air berwarna
   yang melimpah di kertas.

3. Warna- murid diajar mengenal warna.












Setiap usaha pasti akan ada hasilnya andai dilakukan
secara istiqamah.

Rabu, 23 Mei 2018

BICARA YB/ PENYEPIT BAJU

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Kalau kita melihat gambar penyepit baju ini kita mungkin
tidak menduga ianya boleh memberi kesan positif yang
banyak kepada proses perkembangan murid-murid, terutama
yang mengalami Masalah Pembelajaran.

Suka ingin saya kongsikan kebaikan penyepit baju ini
andai dapat digunakan semasa sesi pembelajaran.

1. Murid tidak merasa bahawa mereka sedang belajar,.
    Kerana tugas mereka ialah memilih huruf dan menyepitkannya
    di kad  huruf.

2. Murid dapat meningkatkan kemahiran motor halus iaitu
    membuka dan memasang penyepit di kad huruf.

3. Murid dapat mengenal warna.

4. Murid dapat mengira jumlah sepit.

5. Murid dapat mengenal huruf a.

6. Murid dapat mengenal perbezaan dan persamaan huruf dan warna.

Lihat.  Hanya dengan penyepit baju dan kad huruf ini murid telah dapat
meningkatkan banyak kemahiran asas yang membantu mereka untuk
berkembang dengan lebih baik.

Oleh itu, kurangkan pensel dan kertas. Gantilah dengan bahan-bahan
Bantu yang boleh menarik minat murid untuk duduk belajar.

Banyakkan doa kerana pencapaian murid adalah dengan izin Allah.

Selasa, 22 Mei 2018

BICARA YB/ BELAJAR ATAU BERMAIN

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Seringkali saya mendengar rungutan ibu bapa
tentang anak yang tidak mahu belajar serta
sangat fobia dengan perkataan " belajar".

Saya juga pernah mengalami situasi ini dengan
seorang murid yang bermasalah slow learner.

Dia langsung tidak mahu masuk kelas apatah
lagi duduk di kerusi.

Alhamdulillah. Sedikit ilham Allah berikan.

Saya memujuk beliau dengan berkata.

"Jom kita bermain sama-sama".

Dia mula merapati saya dan duduk di kerusi
meskipun masih belum bersedia untuk membuat
aktiviti pembelajaran.

Saya langsung tidak menunjukkan pensel, lembaran
kerja ataupun buku kepada beliau.

Namun saya mengeluarkan peralatan permaian
seperti lego, puzzle huruf, straw dan sepit  baju,
tanah liat dan sebagainya yang bersesuaian.

Dengan permainan itu saya mengajar beliau mengenal
nombor, warna dan huruf.

Setelah beberapa kali pertemuan akhirnya
murid tersebut masuk kelas dengan sukarela
dan duduk di kerusi untuk "bermain" bersama saya.

Selamat mencuba.


Selasa, 8 Mei 2018

BICARA YB/ INTERVENSI

Alhamdulillah.Diizinkan saya menulis.

Anak-anak istimewa yang diberikan intervensi
awal adalah lebih cepat berkembang kemahiran
kognitif mereka berbanding anak istimewa
yang tidak diberikan intervensi awal.

Apapun, banyakkan berdoa. Semoga Allah
permudahkan.

Ahad, 6 Mei 2018

BICARA YB/ LATIHAN

ALhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Latihan membuat kerja rumah yang mudah adalah
sangat penting untuk anak-anak istimewa.

Ianya boleh membantu perkembangan  kemahiran berikut:

Saya berikan contoh.

1. Membuka dan menutup pintu:
   i. Kemahiran mendengar dan mematuhi arahan.
  ii. Kemahiran motor halus (memegang dan memulas
       tombol pintu)

2. Menyusun kasut di rak kasut.
   i.  Kemahiran mendengar arahan.
  ii.  Kemahiran motor halus
  iii. Kemahiran kognitif. ( susun kasut ikut pasangan)


3. Menyusun pinggan mangkuk dan yang seumpama
    dengannya.
  i. Kemahiran mendengar arahan.
 ii. Kemahiran motor halus
iii  Kemahiran .kognitif. (sama saiz. Sama warna, urutan)


Ada banyak lagi latihan asas di rumah yang boleh dilakukan oleh
anak-anak istimewa bagi membantu berbagai perkembangan diri
mereka, terutama pengurusan diri.

Banyakkan berdoa. Allah akan membantu kita kerana anak-anak
isitmewa adalah satu hadiah



Jumaat, 4 Mei 2018

BICARA YB/ PENGAJARAN INDIVIDU.

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Mengajar anak-anak istimewa meskipun di dalam kumpulan
kecil, (6 orang) namun ianya adalah satu cabaran besar.

Tingkahlaku mereka yang berbagai disamping tahap 
kemahiran dan pencapaian yang berbeza menyukarkan 
guru untuk mengajar secara "kelas". 

Untuk mengajar secara individu pula memerlukan
tahap kemahiran dan kepakaran pada diri seseorang 
guru. Andaikata, guru yang baru menjalankan tugas
sebagai guru Pendidikan Khas ianya adalah sangat
mencabar.

Saya pernah lakukan begini.

1. Bahan bantu mengajar dan latihan bertulis untuk murid
    perlu disediakan terlebih awal sebelum pdp.

2.Setelah seorang murid diajar, terus berikan latihan bertulis
   kepada murid tersebut, sementara guru mengajar murid lain.

3.Andai murid tersebut telah berjaya menyelesakan tugasan, 
   sedangkan murid lain masih belum  diajar secara individu, 
   guru boleh menambah lagi latihan bertulis kepada murid tersebut.

4. Jika murid telah bosan, guru boleh selang selikan dengan aktiviti
    lain yang membantu perkembangan kognitif mereka, ( bermain lego,
    plastesin, puzzle dsbnya).

    Boleh juga diberikan aktiviti yang mereka suka, asalkan membantu
    perkembangan.

-Saya berikan satu contoh:
 Kes pertama:
 Saya pernah mengajar seorang murid downsindrome yang haiperaktif.
 Beliau suka berlari apabila tidak diberi perhatian kepada guru.

 Saya mengenalpasti beliau suka mengasah pensel.
 Oleh itu, setiap kali tugasan beliau selesai, saya akan memberikan
 kepada beliau pensel-pensel warna untuk di asah.

 Pada masa melakukan aktiviti tersebut, tanpa  kita sedari sebenarnya
 beliau sedang menguasai kemahiran motor halus, pengamatan dan
 pengurusan tingkahlaku.

  Kes kedua:
  Seorang murid autisme haiperaktif yang suka melukis dan mewarna. 
  Setiap kali siap tugasan dan ingin bangun daripada tempat
  duduk saya akan mengulurkan kertas lukisan dan pensel warna
  untuk beliau melakukan aktiviti yang diminatinya itu.

  Hasil yang boleh didapati daripada kaedah yang saya gunakan ini ialah:

 1. Setiap murid dapat merasa pengajaran secara individu, disamping
     saya tidak mengabaikan murid lain.

2. Dapat meningkatkan perkembangan kemahiran motor halus, 
    pengamatan dan pengurusan tingkahlaku.

3. Mereka belajar berdikari dengan melakukan aktiviti kesukaan
    mereka tanpa bantuan guru.

4. Mereka juga belajar untuk mematuhi arahan.

Jangan lupa untuk melibatkan kerjasama dengan Pembantu Pengurusan
Murid kerana  ia sangat penting bagi melancarkan sesi pembelajaran.

Semuanya adalah izin Allah juga. Sekecil manapun usaha kita,
banyakkan berdoa. Semoga berjaya.




BICARA YB/ DOA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Sebagai guru mahupun ibubapa yang terlibat
mendidik anak istimewa, sudah pasti tidak dapat lari
daripada perasaan tidak dapat bersabar, kerana kelewatan
anak-anak ini memahami dan menguasai setiap perkara yang
diajarkan kepada mereka. Ditambah  dengan tingkahlaku
mereka yang tidak boleh diurus.

Kadangkala, perasaan tidak sabar ini boleh menyebabkan
kita naik tangan ataupun mengeluarkan kata-kata
kasar kepada mereka.

Perlu diingat. Kata-kata ibu bapa dan guru adalah satu
doa kepada anak-anak ini.

Ia sebenarnya sangat berbahaya. Meskipun tidak menimbulkan
kesan kepada tubuh mereka, namun boleh memberi kesan
kepada perkembangan emosi mereka.

"Bagusnya!"

"Bijak! "

"Pandai!"

"Cuba lagi! "

Ini adalah contoh kata-kata  positif yang boleh memberi
kesan  yang baik kepada perkembangan emosi
anak-anak ini, berbanding,,

"Mengapa teruk sangat! "

"Apasal susah sangat nak dapatni?"

"Mengapa nakal sangat?"

yang merupakan kata-katan  negatif kasar yang menjadi satu doa
agar anak-anak ini  menjadi lebih kritikal.

Ada di antara kita kurang menyedari perkara ini.

Rungutan lahir daripada mulut kita.

"Mengapa  anak murid saya semakin nakal?"

"Mengapa anak saya makin degil?"

Jawapan sebenarnya ada pada diri ibu bapa mahupun guru
itu sendiri.

Masakan anak itu akan menjadi semakin baik.
Sedangkan saban hari kata-kata kasar yang negatif
keluar daripada mulut ibu bapa ataupun guru
serta menjadi doa untuk mereka.