Isnin, 25 Jun 2012

bICARA GURU PENDIIDKAN KHAS/ HARAPAN


Syukur  kehadratmu   ya  TUHAN, dengan izinmu  aku dapat  menulis  lagi   di ruangan ini.

Sebenarnya adalah ujian  buatku apabila  bergelar pemimpin.  Dalam  diri  yang serba kekurangan aku memikul amanah maha besar daripadaMU. Sebagai  isteri  dan  ibu aku masih  dapat  merasakan kedaifan  dalam memenuhi tugasku.

Kini  berdiri  di  sini adakalanya membuatkan aku  takut dengan amanah yang terpikul.  Sering aku  muhasabah  diri minta aku  selalu dalam petunjukmu bagi  menjadi  seorang ibu, isteri  serta pemimpin yang baik dan adil.

Ya Tuhan, aku memohon padamu jauhilah diriku  daripada  sifat mazmumah.  Jangan  jadikan  aku insan  yang sering  memandang  buruk rakan-rakan setugasku  Berilah  ruang pada  hatiku sifat menghargai walaupun sedikir bantuan yang mereka hulurkan padaku.

Jadikanlah aku orang yang tidak merasakan diri lebih baik  daripada insan  lain dalam  semua  urusanku. Semuga   aku menjadi insan yang lebih  banyak bekerja  daripada    banyak berkata-kata.  Lembutkanlah hatiku dalam  memberi kemaafan kepada   orang yang berada di sekelilingku.



Aku  tahu yang  tuhanku. Segalanya akan dipersoalkan kepadaku.  Dari  itu, bantulah aku Ya  tuhan  dalam  segala urusan .  Sesungguhnya  engkau  adalah   maha pengasih lagi maha penyayang  yang sememangnya   tidak pernah menghampakanku   di sepanjang  perjalanan  hidup  ini. 

Amin…


Ahad, 17 Jun 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ KETENTUAN

Hidup  adalah  aturan Allah.  Segala yang berlaku  adalah satu  ketentuan.
Jika  hari  ini kita  ketawa, mungkin  esok  kita  akan  menangis.  Begitulah 
sebaliknya.  Jika  hari  ini  kita  berada  di bawah,  mungkin esok  kita
akan berada  diatas.  Allah  lebih mengetahui  segala  rahsia.  Allah  lebih
mengetahui  segala yang berlaku ke atas makhluk ciptaannya.

Aku  dipilih  untuk  menjadi  guru pendidikan khas  juga  adalah atas
pilihanNYA.  Meskipun pada mulanya hati  menolak, namun ketentuan 
berlaku dengan tidak diduga. Dari mendapat  prestasi 72% pada awal
tugas sebagai guru pendidikan khas, aku mengorak langkah, tanpa  mengira 
penat lelah demi anak-anak istimewa ini. 

Dari  tidak  tahu apa-apa aku meredah lautan   cabaran  dengan 
sedikit  kekuatan  yang diberi olehNYA.  Aku  jatuh dan bangun sebagai
insan lemah  yang perlukan  bimbingan.  Segala masalah menjadikan aku
orang yang lebih rapat  denganNYA. Kerap  aku memohon bantuan
daripadaNYA dalam apa  juga  keadaan. 

Syukur, meskipun pahit ... dapat kutelan, meskipun  hati sering luka  
dan  berdarah dapat kutahan.  Kerana aku  sedar  sebagai  makhluk  tuhan aku 
akan sentiasa menerima  ujian. Jika  hari  ini aku  berada  disini tiada 
siapa   boleh menolaknya... tiada  siapa boleh menahannya .
Kerana ianya adalah KETENTUAN..

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/PESANAN

Jadilah guru pendidikan  khas yang suka cuba membuat  
yang  terbaik, untuk anak-anak  istimewa  yang dididik. 
Janganlah  jadi guru  yang sambil lewa kerana  yang 
terbaik  itu akan kembali  kepada kita semua jika 
tidak  di  dunia,  pastinya  di akhirat  sana.

Pengalaman mengajarku  tentang perlunya 
lakukan  sesuatu yang  terbaik meskipun anak-anak istimewa 
ini  tidak  tahu  menilai, namun Allah  adalah penilai  utama
atas  segala  kebaikan.


Ahad, 10 Jun 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SYUKUR

Bukan  sedikit halangan  yang  aku  dan  rakan-rakan lain pernah lalui  dalam  memajukan sebuah program pendidikan khas.  Meskipun   kelihatan  di mata kasar ianya  mudah  untuk  dilaksanakan, namun  secara  praktikalnya ianya  amat  mencabar.

Kesabaran dalam melayan kerenah anak-anak  istimewa ini perlu  di tahap  yang  maksimum. Kesungguhan  perlu  sentiasa ada.  Tidak  boleh  mudah berputus  asa samada  dalam  membuat keceriaan  bilik  darjah,  membantu untuk  pengurusan  tingkah laku,  membantu  dalam pengurusan diri   mahupun mengajar  anak-anak  ini  menulis  membaca.

Ini  adalah  kerana  belum  pernah  berlaku objektif  sesuatu aktiviti dapat  dicapai  hanya  melalui  satu sesi  pembelajaran.    Ianya mengambil  masa berjam-jam, berhari-hari,  berminggu-minggu,  berbulan-bulan dan kadangkala  bertahun. Itulah  cabaran  sebagai  guru pendidikan khas.
Ujian  berbentuk  cabaran kesusahan yang Allah  berikan selama  ini membawa aku menjadi  seorang  yang sedikit penyabar, rajin   berusaha dan tidak  mengenal  erti kegagalan.  Syukur padamu   tuhan  atas  segala -gala yang  kau berikan  sepanjang  aku  bergelar  guru  pendidikan  khas.
                   
                  







 



Rabu, 6 Jun 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TAKUT

Seorang  rakan  lama  menghubungiku bertanya  khabar  setelah  lama  berpisah.
Sebagai  seorang  penyelaras  dia  merasakan  tugasnya  di  sekolah semakin
mencabar.  Ini  adalah  kerana  ramai  murid  baharu  yang  masuk  ke programnya
bermasalah  tingkah  laku  yang severe.  Terdapat  juga  murid yang menghadapi
masalah kritikal  yang  perlukan  bantuan penuh  daripada  guru.

Sebagai  orang  yang  telah lama menceburi bidang ini, aku  hanya menasihatinya
supaya  bersabar dan teruskan  usaha.  Bagiku,  jika   semua  guru memberikan
kerjasama,   segala  masalah  yang berat  akan  menjadi  ringan. Dia  menerima
nasihatku   dengan tangan  terbuka.

Masalah    lain yang dihadapi  olehnya  adalah  lebih  mencabar  lagi.  Menurutnya
guru  besar  baru  yang  bertukar  ke  sekolahnya  seorang  yang  amat  hebat.
Cemerlang   dalam semua  bidang  tugasnya.  Malangnya guru besar itu dikatakan
takut  dengan murid pendidikan  khas. TAKUT  dipukul  atau diganggu jika dekat
dengan murid-murid ini .

Kelakar  pula  bunyinya.  Persoalannya   ialah  dia  TAKUT  pada  murid
pendidikan  khas lebih  daripada  TAKUT  pada Allah  yang  telah mengamanahkan
dia  menjadi  pemimpin  kepada  guru-guru  dan murid-murid  pendidikan  khas.


PENGALAMAN  YANG PERNAH  KULALUI  IALAH,   MURID PENDIDIKAN
KHAS DAPAT MERASAKAN  KEIKHLASAN  SESEORANG YANG MENDEKATINYA.
TIDAK PERLU  TAKUT...  

Jumaat, 1 Jun 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ RENUNGAN

Hari kelmarin telah mati, hari ini  dalam pengendalian 
dan  hari esok  belum hadir. Kita  hanya memiliki saat
ini sahaja.  Oleh kerana  itu, isilah ia dengan
ketaatan, nescaya kita akan mendapat manfaat yang
berlipat ganda.