Aku adalah peminat setia ruangan motivasi pagi radio IKIM. Kalau dah tiba waktu siaran ke udara jika aku baru sampai ke sekolah, aku akan menunggu di dalam kereta untuk mendengar hingga ruangan itu selesai. Pagi ini certia tentang dendam positif. Satu tajuk yang amat menarik dan terkesan di hati kecil ini.
Sebenarnya bila sebut tentang dendam, dari mata kasar memanglah tidak digalakkan oleh mana-mana agama sekalipun. Walauapapun jika dendam boleh membina ke arah kebaikan seseorang, ianya menjadi perlu dalam kehidupan.
Bercerita tentang aku, sebagai guru kepada anak-anak istimewa ini memang tidak pernah terniat apatah berminat untuk sambung belajar dalam Ijazah Sarjana Muda . Selepas menamatkan kursus setahun dalam bidang Pendidikan Khas di MPIK pada tahun 1991 aku terus menyepi seribu bahasa.
Duniaku ialah sekolah dan rumah tangga. Ditambah lagi dengan kesibukan di program yang menjadi tempat tumpuan lawatan dari dalam dan luar negeri. Aku sibuk sepanjang masa. Hingga kadangkala waktu malam pun aku dan rakan-rakan berada di sekolah kerana membuat persediaan menerima tetamu pada awal pagi esoknya.
Hujung minggu selalunya hari Sabtu jika kawan-kawan tidak dapat bersama, aku akan bawa suami ke sekolah. Ada waktunya apabila ketandusan guru lelaki, suamiku akan membantu mencangkul batas untuk bercucuk tanam. Aku pula akan mengemaskini keceriaan program. Bukan apa, selalunya apabila waktu pembelajaran memang tiada kesempatan untuk lakukan semua itu.
Berada di programku memang membuatkan aku dan kawan-kawan sentiasa berada dalam keadaan bersedia. Ini adalah kerana kadangkala ada sahaja lawatan mengejut berlaku. Memang tidak dapat dielakkan kerana ianya adalah arahan . Aku dan kawan-kawan berusaha untuk akur tanpa banyak membantah.
Kadangkala yang datang melawat menjangkau kepada 2 buah bas. Meskipun begitu, kami gembira. Kami rasa seronok walaupun kadangkala teramat penat. Ini adalah kerana jika tiada mendapat peruntukan, kami akan memasak sendiri makanan untuk tetamu. Walaubagaimanapun berkat kerjasama dari semua rakan-rakan, segala yang telah dirancang berjalan dengan lancar sekali. Terima kasih semua.
Aku berminat untuk berkongsi dengan pembaca tentang kelebihan menerima tetamu ini. Aku dapat rasakan rezeki anak-anak muridku memang murah. Walaupun tidaklah semewah mana, tetapi kami dengan mudah mendapat apa yang diperlukan untuk kegunaan anak-anak ini di program.
Selain itu, kami sentiasa berada dalam keadaan gembira dan melalui bekerjasama melaksanakan semua tugasan kami menjadi semakin akrab bagai sebuah keluarga bahagia.
Jika ke sekolah pada hari Sabtu, aku akan hantar anak-anak dahulu ke masjid Al- Azim untuk program hafaz Quran. Selepas anak balik kelas hafaz quran, apabila tiba waktu makan tengah hari kami makan berkelah di sekolah bersama.. Selepas waktu zohor kami sekeluarga baru balik kerumah.
Bila diimbas kembali zaman itu, anak-anak yang dah mula pandai menilai kadangkala kata "lebih baik mak tidur kat sekolah aje". Tapi kini, apabila melihat kejayaan yang diperolehi oleh programku, baru mereka sedar kepentingan kesungguhan di dalam melakukan sesuatu.
Berbalik cerita dendam positif tadi inginku kaitkan dengan cerita hidupku. Seperti yang ku katakan diawal tadi kesibukan membawa aku tidak terniat atau berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang kuceburi ini.
Setiap kali dengar kawan-kawan seangkatanku yang berkursus di MPIK seperti En Mokhtar bin Tahar, Dr Mohd Hanafi bin Yasin, En Wan Zulkifli dan ramai lagi dah sambung belajar dan menjadi somebody dalam bidang Pendidikan Khas, aku hanya tumpang gembira tanpa terfikir untuk mengikut jejak mereka ini. Suami memang selalu mendesak untuk aku sambung belajar tapi aku anggap sepi saja.
Satu insiden telah menimpaku yang telah menyebabkan aku begitu sedih dan hampa. Begitu rendah tarafnya rupanya orang yang tidak ada DEGREE ini. Tidak dapat untuk ku jelaskan disini apakah insiden itu. Terlalu sensitif. Aku memang betul-betul terharu jika mengenangkannya kembali.
Aku tidak mahu menyentuh peribadi sesiapa. Walau apapun apabila berlakunya insiden itu lama juga masa yang aku ambil untuk memujuk hati sendiri bagi menerima dengan redha apa yang berlaku. Hati masa itu berkecai umpaca kaca jatuh kebatu.
Ikhlas kukatakan bahawa sebagai manusia memang ada rasa dendam dalam hati pada masa itu. Benci juga tengok muka orang yang terlibat. Tapi bila fikirkan anak-anak istimewa ini, aku jadi mengalah. Kerana bagiku jika perasaan itu kubiarkan berterusan menguasai diri, sudah pasti prestasi kerja akan juga terjejas. Lebih malang ialah murid-murid istimewa ini akan menerima tempiasnya.
Baruku sedar rupa-rupanya segala penat lelahku selama ini bukan sesuatu yang dapat memberi makna gembira dalam hidupku sebagai guru Pendidikan Khas. Aku telah hampir menyimpan niat untuk mengundurkan diri dari bidang yang telah menjadi darah dagingku itu.
Meskipun begitu, atas nasihat suami, dan beberapa orang terdekat denganku menyebabkan aku redha. Mungkin bagiku ianya satu musibah, tetapi disisiNYA, DIA yang lebih mengetahui.
Suami menasihatiku untuk membuktikan bahawa aku juga boleh mendapatkan DEGREE macam orang lain. Perisitiwa itu sebenarnya telah memaksa diriku untuk mengisi borang bagi menyambung pelajaranku dalam Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pendidikan Khas.
Memang sakit kepala, masa belajar dah kutinggalkan berpuluh tahun. Terasa apa yang dibaca satu benda tak melekat di otak. Macam nak menangis pada mulanya. Berbagai suppliment minda yang aku makan.
Masa itu rasanya jasad bergerak, tapi fikiran dan hati ingatkan tugasan dan periksa. Anak-anak memang respect kat aku masa tu. Mesti tidak ada yang percaya kalau aku kata, bila kemana-mana modul sentiasa ada dalam kereta. Kalau traffic light berhenti nombor 99, aku cepat-cepat capai modul dan selak bahagian penting yang telah kutandakan.
Kadang-kadang anak bongsuku diminta bekerjasama membacakan modul untukku semasa aku sedang memandu. Kenapa sampai begitu? Jawapannya ialah aku mudah lupa apa yang dibaca jadi kena ulang selalu.
Suamiku yang paling banyak berkorban. Rumahpun kadangkala tak sempat dikemas. Dia yang bantu. Masak lebih kurang asal suami dan anak-anak boleh makan. Tapi dia tak pernah merungut. Bila tahu aku ada periksa, dia yang akan masuk dapur buat sarapan untukku dan anak-anak.
Setiap kali aku mengeluh dia akan berkata bahawa aku boleh lakukannya. Sebenarnya memang sejak mendirikan rumahtangga suami memang banyak memberi semangat dan idea untuk aku jadi lebih berjaya. Setiap kali menghadapi masalah dan aku hampir mengalah dia adalah pemberi semangat kepadaku.
Berkat usaha walaupun aku tidak berjaya dapat yang paling cemerlang, 5 semester aku dapat anugerah dekan. Seronok juga walaupun tersiksa jiwa dan raga.
Selalunya bila dapat aje sijil anugerah aku akan terus ke tempat kerja suami jika pada hari itu dia bekerja. Tunjukkan pada dia . Gembira hatiku bila dia senyum bangga. Ini adalah kerana dia adalah insan tercinta yang paling banyak berkorban apabila aku menyambung pelajaran.
Yang paling seronok ialah dapat aplikasi yang yang dipelajari dalam bilik darjah. Terasa sendiri banyak ilmu baru yang aku dapat. Selama ini syok sendiri, macam dah pandai semua. Rupa-rupaya macam tong kosong.
Itulah hikmahnya apabila menerima sesuatu ujian. Telah banyak kali aku menerima ujian sepanjang menjadi pendidik kepada anak-anak istimewa ini. Banyak kali juga aku dapat lihat sendiri Allah memberikan nikmat yang amat besar apabila aku redha dengan ujiannya itu.
Setelah sekian lama peristiwa itu berlalu, aku semakin dapat memujuk hati untuk memaafkan insan yang terlibat. Apapun aku bersyukur pada Allah dan berterima kasih kepada insan itu kerana jika insiden itu tidak berlaku mungkin hingga kini aku belum mempunyai DEGREE.
Akhirnya, pada bulan Oktober 2010 aku telah menerima segulung ijazah dalam bidang yang kuceburi ini. Itu adalah berkat dari dendam posotif yang kutanamkan dalam diri.
ALLAH LEBIH MENGETAHUI RAHSIA DISEBALIK SETIAP MUSIBAH YANG BERLAKU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan