6 OGOS 2008 adalah tarikh keramat dalam kehidupan keluarga Haji Hitam. Tuan Haji Hitam Bin Hashim telah pergi menemui tuhannya pada tarikh ini. Kini telah genap 3 tahun abah tinggalkan isteri, anak menantu, cucu dan cicitnya.
Seluruh keluarga terperanjat besar dengan pemergian abah. Begitu juga orang kampung Padang Temu Melaka. Ini adalah kerana petang itu banyak mata yang melihat abah kayuh basikal pergi ke pasar malam. Kata adik, abah pergi pasar malam beli buah epal hijau untuk dibuat jus.
Mengikut nasihat doktor itu adalah air minuman yang baik untuk abah sejak abah disahkan oleh doktor menghidap masalah saluran jantung tersumbat.
Emak adalah orang paling terperanjat. Sebabnya pada hari itu lebih kurang 1 pagi emak tersedar abah bangun dari tidur. Abah buka lampu bilik dan cakap dengan emak dia tidak boleh tidur sebab ada nyamuk.
Menurut emak lagi, abah ambil racun serangga ridset dan sembur dalam bilik. Lepas itu emak perasan abah baring kembali sebelah emak. Emak dengar abah mengucap kalimah syahadah dan beri tahu emak yang dia akan mati. Emak fikir abah saje-saje cakap.
Menurut emak, sejak abah disahkan menghidap penyakit jantung abah memang sentiasa sebut tentang mati. Itulah sebabnya emak tidak ambil kisah sangat tentang cakap abah pada malam itu. Tambahan pula sepanjang hari itu abah terlalu ceria dan bergelak ketawa bersama anak-anak serta cucu-cucunya. Abah tidak ada langsung mengadu sakit pada emak apatah lagi menunjukkan sikap-sikap ganjil.
Menurut emak juga memang abah suka bangun tiap-tiap tengah malam. Solat dan sering menangis ditikar sembahyang. Lepas itu tidur semula. Jadi emak masih fikir perkara yang sama berlaku pada waktu itu. Tambahan masa itu emak kata dia dalam keadaan betul-betul mengantuk.
Dalam keadaan emak masih terlayang, emak sempat juga picit lengan abah yang baring disebelahnya. Tetapi emak kata abah diam sahaja. Pada masa itu emak baru teringat semula akan kata-kata abah sebelum itu. Emak bingkas bangun dan panggil nama abah. Rupa-rupanya abah betul-betul telah tiada.
Doktor dipanggil untuk mengesahkan keadaan abah. Akhirnya doktor mengesahkan abah telah meninggal dunia pada pukul 1.15 pagi. Abah pergi semasa berusia 77 tahun. Abah meninggalkan seorang isteri, 11 orang anak ,11 orang menantu, 54 orang cucu dan 16 orang cicit.
Yang agak unik tentang abah ialah nama abah sama dengan nama emak iaitu Hitam. Cuma bezanya nama abah ialah Hitam bin Hashim dan nama emak Hitam bt Abu.
Padaku, ada kenangan terindah dengan nama ini, iaitu masa aku ditemuduga untuk memasuki maktab. Aku ditanya oleh penemuduga. "Mengapa nama emak dan ayah awak sama?" Aku hanya senyum dan menjawap "tidak tahulah, dah jodoh mereka". Penemuduga hanya senyum dan menyambung " Awak tahu lagu 10 budak hitam?" "Tahu" jawapku ringkas. "Baiklah, sekarang saya hendak awak nyanyikan lagu 10 budak hitam".
Setelah selesai menyanyi aku ditanya beberapa soalan dan diminta keluar kerana sesi temuduga pada hari itu telah tamat. Hatiku begitu gundah sekali adakah aku akan berjaya menjadi guru, jika itu sahaja yang ditanyakan? Persoalan datang dan pergi menerjah difikiranku.
Walau apapun aku serahkan pada Allah sahaja keputusannya. Tambahan pada masa itu aku sedang berada ditingkatan 6. Bagiku, kalau aku gagal ke maktab perguruanpun, cita-citaku untuk masuk ke universiti insyaallah akan tercapai kerana aku masih berpeluang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan.
Allah maha mengetahui. Rupanya lagu 10 Budak Hitam itu membawa tuah padaku. Aku telah diminta melapur diri di Maktab Maktab Perguruan Melayu Melaka pada tahun 1982. Tingkatan 6 Atas kutinggalkan walaupun hati sayu kerana aku sudah mula meminati mata pelajaran yang sedang kupelajari dan bercita-cita lebih tinggi untuk memasuki universiti.
Berbalik cerita tentang abah. Abah hanya seorang nelayan. Dilahirkan di Kampung Parit Sakai Laut Muar Johor dalam sebuah keluarga miskin. Kampung abah sangat indah pemandangannya. Terletak di tepi laut.
Masa kecil-kecil dulu, aku rajin juga balik kampung abah, terutama apabila musim buah-buahan. Banyak kenangan manis sepanjang berada di kampung abah . Aku berpeluang panjat pokok manggis, petik buah rambutan dan tunggu buah durian gugur.
Kampung abah jauh dari jalan besar. Kalau balik kampung abah masa kecil-kecil dulu, turun sahaja bas kena jalan kaki hampir 2 kilometer untuk sampai kampung abah. Sepanjang jalan masuk kampung abah ada sungai. Boleh lihat banyak anak-anak ketam tepi sungai yang berlumpur. Seronok juga lihat budak-budak berenang disungai bila balik kampung abah.
Di kampung abah ada bahan sejarah iaitu Makam Panglima Lidah Hitam. Cerita tentang kampung abah pernah kutuliskan. Hasil tulisanku itu telah mendapat tempat ke 3 dalam pertandingan mengarang sejarah sekolah Menengah negeri Melaka.
Menurut emak lagi, abah telah turun ke laut sejak kecil kerana datuk meninggal dunia masa muda dan meninggalkan 8 orang anak yang masih kecil. Sebagai anak lelaki abah dan abang-abangnya telah memikul amanah untuk menyara keluarga.
Jadi, abah telah meredah laut semasa rakan-rakan seusianya masih lagi bermain-main. Kelainan pada abah ialah dia tidak pernah mahu anak-anak lelakinya mengikut jejak langkahnya. Walaupun seorang daripada anak lelaki abah bermasalah pembelajaran, namun tidak pernah terlintas dihati abah untuk melatihnya ke laut.
Abah mahu semua anak-anaknya berjaya dalam hidup. Kepayahan mencari rezeki terutama pada musim tengkujuh tidak pernah mematahkan semangat abah untuk menyara anak-anaknya hingga berjaya. Cuma 2 orang anak perempuan abah yang tidak berjaya untuk abah sekolahkan dan terpaksa berhenti di sekolah rendah atas desakan hidup.
Selain itu anak lelaki abah yang menghadapi masalah pembelajaran juga tidak ke sekolah kerana pada masa itu tidak ada Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran.
Kini anak-anak abah telah menjawat jawatan yang agak tinggi juga. Yang tidak dapat bersekolah pula telah melahirkan anak-anak yang berjaya masuk ke Universiti.
Abah hanya ada sebuah basikal buruk. Abah tidak tahu menunggang motosikal apatah lagi memandu kereta. Abah cuma tahu memgendali bot di samudera terbentang luas. Abah tidak tahu membaca rumi apatah lagi menulis. Rasanya abah boleh sedikit-sedikit membaca jawi. Abah juga tidak tahu mengaji.
Menurut emak kalau abah bangun sembahyang malam emak hanya dengar abah baca tiga surah kul. Semasa hendak pergi menunaikan haji, abah hafal semua doa-doa dengan bantuan emak.
Walaubagaimanapun abah pandai mengira. Ikan yang dijual tidak pernah guna kalkulator. Cuma guna kaedah congak selepas ikan ditimbang. Aku kagum dengan abah.
Hasil perkongsian hidup abah dan emak mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata. 6 orang anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Banyak kenangan pahit yang abah lalui dalam membesarkan anak-anak.
Pernah sekali waktu ribut kencang, bot abah pecah dan karam dilanggar oleh tongkang besar. Aku sendiri resah pada malam itu. Kulihat emak bangun dan solat hajat . Mungkin emak dapat mersakan sesuatu yang buruk berlaku pada suaminya.
Bot abah rosak teruk dan jaring juga koyak habis. Mujur ada bot nelayan lain jumpa dan selamatkan abah serta rakannya pada malam itu. Situasi begini yang membuatkan kadangkala makan terpaksa bercatu. Saudara mara turut membantu.
Soal pakaian pula, kami selalunya memakai pakaian sumbangan sanak saudara dan orang yang mengenali kesusahan kami. Emak juga ada ajar mengaji anak orang kampung dan anak seorang guru Selalunya guru ini akan memberi pakaian-pakain yang masih elok dan sesuai dipakai oleh kami sekeluarga.
Dilain masa pula aku tidak lupa juga bot abah hilang di jeti. Menurut siasatan yang dibuat oleh polis, bot itu mungkin telah dibawa lari ke Indonesia dan sukar untuk ditemui semula. Abah betul-betul susah hati. Mungkin masa itu aku lihat abah macam putus asa. Berbagai kerja lain abah buat untuk menyara keluarga.
Semua anak-anak abah termasuk aku juga membantu. Balik sekolah pergi tebang atap nipah . Malam hari membuat atap untuk dijual. Aku agak mahir juga dalam kerja ini. Agak lama juga aku membuat kerja tambahan ini untuk membantu emak dan abah menyara keluarga.
Abah juga ada tanam pokok koko. Pada waktu petang atau hujung minggu abah dan anak-anaknya akan ke kebun untuk menyiram pokok koko. Bila sudah mengeluarkan hasil kami akan petik koko dan abah keringkan untuk dijual kepada peraih.
Bila tidak menebang atap nipah aku akan mengikut ibu saudaraku mencari kayu api. Tempatnya agak jauh juga dari rumah. Keluar rumah lepas zohor, balik ke rumah menjelang tamat waktu asar. Hanya membawa seikat kayu api. Kalau lihat cerita ratapan anak tiri, teringat semula kisah yang kulalui ini.
Kalau tidak membuat atap nipah pada waktu malam aku membantu emak mengajar mengaji. Murid mengaji emak ramai hampir 20 orang. Penuh anjung rumah.
Kadangkala hujung minggu aku dan kakak sepupuku akan pergi ke kebun kelapa terbiar untuk mencari kelapa kering yang gugur. Kelapa ini adalah untuk membuat minyak masak.
Dirumah, emak sediakan parut kelapa . Adik-adik lelakiku pun dilatih oleh emak untuk memarut kelapa bagi dibuat minyak masak. Tapak tangan memang kasar dan urat-urat timbul ditangan boleh dilihat hingga sekarang Ini adalah kesan dari membuat kerja-kerja kasar sejak dari kecil lagi.
Itulah kepayahan hidup yang abah dan anak-anak lalui. Yuran kadangkala lambat dibayar. Ke sekolah bawa bekal lempeng kelapa cecah gula balut daun pisang. Apapun pelajaran tetap diteruskan.
Serik dengan kehilangan bot di jeti kampung, abah bertukar tempat kerja. Abah beli bot baru dan mencari rezeki di Muar tempat tumpah darah abah. Bila tidak ke laut abah akan balik ke Melaka. Itulah abah yang telah banyak berkorban untuk membesarkan anak-anaknya yang 11 orang ini.
Aku masih ingat semasa hayatnya abah mempunyai sifat yang amat pemurah. Dia cukup suka bersedekah terutama pada ahli keluarganya yang susah. Semasa ibunya masih ada, abah tidak pernah berhenti hantar belanja walaupun pada masa dahulu jarak antara Muar dan Melaka itu agak jauh juga jika tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Abah adalah orang yang amat tersentuh bila dengar tentang orang miskin. Mungkin pengalaman hidup abah jadikan abah begitu. Teringat sekali masa adik hendak mendirikan ruamh tangga, kawan abang dari sebuah felda datang dan bermalam dirumah kami. Kalau dulu sebut sahaja felda semua orang tahu mereka susah.
Abah suka simpan duit dalam saku seluar dan gantung seluar ditepi dinding rumah. Tanpa disedari kawan abang curi semua duit abah. Kami nak lapor polis. Abah larang dan menangis. Abah kata dia dah rasa macam mana hidup susah nak besarkan anak-anak. Mungkin kawan abang betul-betul terdesak itu sebab dia mencuri. Abah halalkan aje duitnya yang dicuri itu . Abah begitu yakin Allah akan gantikannya semula. Aku begitu tersentuh melihat pendirian dan ketulusan abah.
Abah akan berbelanja besar apabila anak-anak balik bercuti. Apabila sudah berhenti jadi nelayan., abah akan beli udang saiz besar buat sambal apabila anak-anaknya balik kampung. Musim durian abah borong durian berguni-guni untuk beri anak-anak makan. Memang saat paling gembira pada abah kalau semua anak-anaknya balik kampung.
Dihujung hayat abah, Allah murahkan rezekinya. Anak-anaknya yang telah dididik dari kecil tidak pernah menghampakannya. Setiap bulan abah akan dapat imbuhan yang banyak juga dari anak-anaknya terutama anak lelaki. .Abah suka sedekahkan duit pemberian anak-anak pada orang miskin dan juga sebahagiannya abah simpan ditabung haji.
Abah akan senyum lebar bila dengar anak-anak naik pangkat. Aku masih ingat pada tahun 2005 apabila seorang dari adik lelakiku dinaikkan pangkat jadi pengarah disebuah IPTA di Melaka, abah adalah orang yang paling gembira.
Begitu juga apabila seorang lagi adik lelakiku telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus syarikat terkemuka di Asia Tenggara, abah makin bangga daan lebih banyak bersedekah sebagai tanda syukur dengan nikmat kurnianya.
Begitu juga apabila seorang lagi adik lelakiku telah dinaikkan pangkat sebagai pengurus syarikat terkemuka di Asia Tenggara, abah makin bangga daan lebih banyak bersedekah sebagai tanda syukur dengan nikmat kurnianya.
Abah tidak pandai menyombong walaupun dia telah hidup senang. Dia selalu ingatkan kami supaya jangan sombong walau dah berjawatan tinggi, hurmati orang tua apatalah lagi orang miskin. Tapi kalau dengar abah cakap memang tak siapa sangka abah baik hati. Bahasa abah memang agak kasar. Dah lama jadi orang Melakalah katakan, terikut-ikut cara orang Melaka cakap.
Adik juga seorang penceramah. Abah berpesan pada adik kalau ada orang kampung jemput beri ceramah jangan ambil bayaran, kerana kata abah itu adalah amal jariah. Hingga kini adik masih ingat lagi pesan abah itu.
Abah paling suka kalau dengar adik dijemput beri ceramah di TV. Walaupun tidak faham kerana kadangkala ceramah adik cakap Bahasa Inggeris, abah akan tunggu hingga rancangan selesai. Bila datang rumah , adik cerita semula pada abah isi ceramahnya itu.
Aku masih ingat yang abah amat gembira bila di beritahu yang aku dapat sambung belajar buat Ijazah Sarjana Muda melalui Pendidikan Jarak Jauh. Tiap kali aku menziarahinya, dia akan tanya bila aku akan habis belajar. Sedihnya abah pergi dahulu sebelum sempat melihat aku menggenggam segulung ijazah.
Abah juga banker pada anak-anak dan cucu-cucu yang menghadapi masalah kewangan . Masih terpahat dalam ingatanku semasa berjumpa abah dan menyampaikan niat untuk tambah rumah buat tempat tuisyen untuk anak-anak istimewa abah cukup suka. Tanpa lengah abah tanya nak guna berapa dan minta aku bawa dia ke tabung Haji bagi membuat pengeluaran wang.
Bayaran semula pada abah dibuat dengan cara masukkan semula wang ke tabung haji abah setiap bulan ikut kemampuanku. Bayaran ansuran itu selesai setelah beberapa bulan abah meninggal dunia.
Akhirnya tempat tuisyen itu kini menjadi Taska Raudhatul Sakinah yang diterajui oleh anak-anak dan menantuku. Muga dengan berkat bantuan abah, pahala terus mengalir pada abah melalui program taska anak-anakku yang menerapkan hidup cara sunnah.
Sesungguhnya abah tetap dalam kenangan meskipun telah lama meninggalkan kami. Doa dari isteri, anak-anak, menantu dan cucu cicit abah sentiasa meniti di bibir dan hati.
Pahala untuk abah tetap sentiasa menanti dari isteri , anak-anak serta cucu cicit yang telah hafiz dan hafizah, soleh dan solehah yang sentiasa meletakkan kasih abah dihati. Abah adalah abah mithali buat kami.
Telah disiarkan di majalah MIDI November 2011
Telah disiarkan di majalah MIDI November 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan