BUKU KEMAHIRAN MOTOR HALUS PENDIDIKAN KHAS.
Prakata
Semasa menjadi guru pendidikan khas, saya melalui pengalaman yang
sukar apabila berhadapan dengan murid
bekeperluan khas yang tidak tahu memegang pensel apabila ingin menulis dan mewarna.
Ibu bapa pula, sering mendesak dan meragui kebolehan guru mengajar,
apabila mereka mendapati anak-anak yang
dihantar ke Program Pendidikan Khas Integrasi masih belum boleh menulis
meskipun sudah melebihi satu tahun
berada di sekolah.
Sebelum saya mengetahui pentingnya kemahiran motor halus anak-anak
bekerpeluan khas ini diberikan penekanan, saya juga adalah seorang guru yang
menggunakan pensel ataupun pensel warna dan kertas untuk menyambung titik dan
mewarna apabila mula mengajar murid menulis.
Memanglah satu pengalaman yang menyedihkan hati saya apabila
mengenangkannya kembali. Saya mengeluh dan merungut apabila telah berpuluh
helai latihan menyambung titik dan mewarna saya berikan, namun murid masih
tidak boleh memegang pensel untuk menyambung titik-titik dan mewarna dengan
betul. Apatah lagi menguasai kemahiran menulis. Malahan mereka masih memerlukan
bantuan saya sepenuhnya untuk menyiapkan tugasan. Ketika itu saya umpama penari
yang tidak tahu menari lalu menyalahkan
tanah tidak rata. Murid-murid menjadi mangsa kemarahan saya. Padahal
kesalahan datang daripada saya sendiri.
Ternyata, dengan cara marah dan memaksa tidaklah boleh mendorong
anak istimewa ini berminat untuk menulis. Malahan akan melunturkan semangat dan
keinginan mereka untuk mencuba.
Setelah berkongsi pengalaman dengan guru-guru lain, menyertai
kursus tentang pendidikan khas dan membuat kajian melalui pembacaan, saya mula menyedari kepentingan latihan
kemahiran motor halus sebelum murid
diajar memegang pensel untuk menulis.
Bertitik tolak dari situ juga, saya kongsikan kembali aktiviti-aktitiviti kemahiran motor halus yang
pernah saya gunakan untuk membantu murid-murid saya. Peralatan yang saya
gunakan juga adalah murah dan mudah didapati.
Selamat membaca dan mencuba.
Hasmah Hitam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan