Isnin, 16 September 2019

BICARA YB/ BUKU KEMAHIRAN MOTOR HALUS

Bab 4

Menyepit

Peralatan yang digunakan:
a.    Sepit baju
b.    Bekas /piring kertas

Sepit baju adalah peralatan yang  mudah untuk didapati. Selain murah ianya juga terdapat dalam berbagai warna dan boleh menarik perhatian murid. Ia bukan sahaja penting untuk ibu menyepit pakaian di rumah,  malahan boleh  digunakan sebagai  bahan bantu  untuk meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.

            Dalam aktiviti ini, guru boleh memilih sama ada ingin menggunakan sepit baju yang dibuat daripada  plastik ataupun daripada kayu. Cuma dari segi ketahanan, sepit  baju yang dibuat daripada kayu lebih mudah patah berbanding sepit baju yang dibuat daripada plastik.

        Langkah pertama ialah murid  dilatih untuk menyebut nama peralatan yang digunakan. Seterusnya minta murid memilih sepit mengikut warna tertentu (jika murid telah mengenal warna), ataupun guru memperkenalkan warna sepit baju yang telah dipilih oleh murid.

Kemudian, latih murid untuk memegang sepit baju menggunakan ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah serta  menyepitkannya di tempat yang telah ditetapkan.

Sebenarnya, setiap kali aktitivi menyepit dijalankan, murid sedang meransang motor halus iaitu jari jemari dan pergelangan tangan untuk  berfungsi dengan lebih baik tanpa dipaksa.

Semasa aktiviti berlangsung, murid boleh dilatih mengira jumlah sepit yang digunakan. Guru boleh mengira dalam lingkungan 1-5 ataupun 1-10, mengikut tahap kemampuan murid.

            Latihan menyepit ini perlu konsisten dilakukan bagi membolehkan jari-jemari murid bersedia menjalani tugasan  yang lebih besar iaitu, memegang pensel dan pensel warna untuk menulis ataupun mewarna.

Sebenarnya, setiap kali ingin menyepitkan sepit tersebut, murid akan menggunakan mata untuk melihat dan memastikan sepit berjaya dikepitkan di tempat seperti yang diarahkan oleh guru. Pada waktu ini, murid sesang meransang kemahiran koordinasi mata dan tangan pula sekaligus boleh menambah daya tumpuan dan pengamatan murid.

Sambungan.......

Nantikan kemunculannya pada bukan Oktober




BICARA YB/ BUKU KEMAHIRAN MOTOR HALUS


BUKU KEMAHIRAN MOTOR HALUS PENDIDIKAN KHAS.


Prakata

Semasa menjadi guru pendidikan khas, saya melalui pengalaman yang sukar apabila berhadapan dengan  murid bekeperluan khas yang tidak tahu   memegang pensel  apabila ingin menulis  dan mewarna.
Ibu bapa pula, sering mendesak dan meragui kebolehan guru mengajar, apabila  mereka mendapati anak-anak yang dihantar ke Program Pendidikan Khas Integrasi masih belum boleh menulis meskipun sudah  melebihi satu tahun berada di sekolah.
Sebelum saya mengetahui pentingnya kemahiran motor halus anak-anak bekerpeluan khas ini diberikan penekanan, saya juga adalah seorang guru yang menggunakan pensel ataupun pensel warna dan kertas untuk menyambung titik dan mewarna apabila mula mengajar murid menulis.
Memanglah satu pengalaman yang menyedihkan hati saya apabila mengenangkannya kembali. Saya mengeluh dan merungut apabila telah berpuluh helai latihan menyambung titik dan mewarna saya berikan, namun murid masih tidak boleh memegang pensel untuk menyambung titik-titik dan mewarna dengan betul. Apatah lagi menguasai kemahiran menulis. Malahan mereka masih memerlukan bantuan saya sepenuhnya untuk menyiapkan tugasan. Ketika itu saya umpama penari yang tidak tahu menari lalu menyalahkan  tanah tidak rata. Murid-murid menjadi mangsa kemarahan saya. Padahal kesalahan datang daripada saya sendiri.
Ternyata, dengan cara marah dan memaksa tidaklah boleh mendorong anak istimewa ini berminat untuk menulis. Malahan akan melunturkan semangat dan keinginan mereka untuk mencuba.
Setelah berkongsi pengalaman dengan guru-guru lain, menyertai kursus tentang pendidikan khas dan membuat kajian melalui pembacaan,  saya mula menyedari kepentingan latihan kemahiran motor halus  sebelum murid diajar memegang pensel untuk menulis.
Bertitik tolak dari situ juga, saya kongsikan kembali  aktiviti-aktitiviti kemahiran motor halus yang pernah saya gunakan untuk membantu murid-murid saya. Peralatan yang saya gunakan juga adalah murah dan mudah didapati.

Selamat membaca dan mencuba.

Hasmah Hitam.

Nantikan penerbitannya pada bukan Oktober.