Sabtu, 31 Mac 2018

BICARA YB/PANCAINDERA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Semakin banyak pancaindera yang murid gunakan
semasa belajar, semakin mudah mereka memahami
dan mengingat.

Contoh:
Menggunakan kad huruf  a daripada kertas pasir 
untuk dilihat, dirasa, disurih dengan jari dan disebut oleh
murid lebih berkesan berbanding hanya melihat dan 
menyebut nama huruf di buku.

# Bahan bantu mengajar amat penting untuk 
mencapai objektif pembelajaran.#

BICARA YB/HADIAH

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Hasil  kerja murid ini adalah hadiah sempena hari
persaraan saya.

Sangat cantik. Gambar saya dihiasi dengan lipatan
kertas seperti rama-rama.

Dengan kerjasama menantu saya ia telah di"frame"kan.
Apabila telah siap saya begitu teruja dan bersemangat
Ingin menggantungkannya didinding.

Malang sungguh. Tidak seorangpun anak-anak saya bersetuju.
Alasan mereka ialah gambar manusia digantung
dalam rumah, malaikat tak masuk.

Allah "frust" sungguh masa tu.

Hampir setahun saya menyimpannya di belakang kerusi.

Kadang-kadang hati "jahat" ini  berkata-kata juga.

"Rumah aku, aku punya sukale, apasal anak-anak nak  halang apa
aku nak buat".

Tetapi apabila saya fikirkan masak-masak, saya terima
dengan lapang dada.

Benar. " Tak gunalah saya hantar anak pergi belajar agama kalau
nasihat  mereka saya tak mahu guna".

Redha dalam  terpaksa ajelah.

Suami dapat merasakan keinginan saya.

Suatu hari dia berkata kepada saya.

"Apa susah sangat Yang. Ambik frame tu biar
abang buka semula cerminnya. Ayang cabut gambar tu,
susun rama-rama tu biar nampak penuh"

Allah. Sayapun tidak terfikir begitu.
Untung juga ada suami kreatif ni.
Tindakan serta merta telah kami ambil.
Ubah suai semula.

Beres!. Bukan main gembira lagi hati saya apbila
ianya berjaya digantung didinding.

Lagi bangga apabila saudara mara dan
kawan-kawan  memuji.

"Wah cantiknya. Siapa buat ye?"

Dengan bangga saya menjawab.

"Murid-murid Pendidikan Khas SKDDH yang buat."

Saya taklah cakap guru-guru dan PPM nya juga buat sama.😀

Terima kasih.
Saya sayang anda semua.😍

Gambar A sebelum ubah suai. Gambar B setelah diubah suai.
Mungkin telah hilang keasliannya. Namun saya sangat suka.💕


Jumaat, 30 Mac 2018

BICARA YB/ KREATIF

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Ingin berjaya sebagai guru terutamanya
Guru Pendidikan Khas perlulah:
1. Kreatif
2. Prihatin
3. Pengasih dan penyayang
4. Bertanggungjawab
5. Tidak mudah berputus asa
6  Penyabar.
7. Mahu belajar
8. Inovatif
9. Berkesungguhan
10.Tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit.

Ada berbagai lagi. Andai  ini yang ada dalam diri kita.
Alhamdulillah. Murid berjaya. Guru sentiasa ceria.

Jumaat, 23 Mac 2018

BICARA YB/ TIPS

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Antara tips memberi arahan kepada  kanak-kanak.
Normal apatah lagi istimewa:

1. Ringkas.
2. Gunakan bahasa mudah.
3. Cukup 1 arahan.
4. Ulang paling kurang 3 kali.

Buat masa sekarang saya rasa memerlukan
arahan sebegini.

Allahhuakhbar....

Sungguh, fitrah kehidupan.
Perlu selalu muhasabah.

BICARA YB/ TERLUPA

Alhamdulillah.

Apabila mendapat anak istimewa ramai ibu bapa
yang merasa kecewa dan sukar untuk menerima.

Tambahan lagi jika mereka tidak mendapat
sokongan moral daripada ahli keluarga
sendiri.

Namun begitu, mereka tidaklah membiarkan
anak-anak tersebut begitu sahaja. Tanpa bantuan
yang sewajarnya.

Berbagai usaha telah  diambil.
Rawatan bersama  doktor pakar kanak-kanak,
berbagai program terapi juga  program intervensi,
anak -anak tersebut dibawa hadiri.

Ditambah lagi dengan memberi pelbagai makanan
tambahan yang dikira mampu membantu.

Semuanya adalah demi  memastikan anak-anak
istimewa ini dapat meningkatkan perkembangan diri
dan seterusnya boleh berdikari.

Alhamdulillah. Tahniah.
Peningkatan kemahiran demi kemahiran dapat
dilihat hasilnya yang positif.

Namun, satu  perkara penting yang kerap dilupakan
oleh ibu bapa ialah pergantungan yang lebih
kepada Allah SWT.

Solat, solat hajat, solat sunat, puasa, sedekah
doa dan sebagainya. Demi mendekatkan lagi
diri kepada yang mencipta anak istimewa.

Kita terlupa, segala yang diusahakan tidak
akan berhasil andai tidak dengan izin-Nya.

Dia yang memberi ujian  itu. Dia juga yang
layak untuk menyelesaikannya.

Jangan terlupa.
Usaha, amal, doa, tawakkal.








BICARA YB/ ISTIMEWA

Alhamdulillah. Diizinkan saya untuk menulis.

Sungguh.
Insan istimewa adalah satu anugerah.

Tidak diminta.
Tidak diduga.
Namun dia tiba-tiba menjelma.
Di dalam hidup sesiapa sahaja.
Yang telah Allah pilih berdasar kelayakannya.

Meskipun berat, tetap perlu  dikendung.
Walaupun pahit, tetap perlu ditelan.

Andai tidak tahu, carilah ilmu.
Andai bersendiri, carilah teman menemani.
Juga berkongsi derita yang dialami.

Andai penat, duduklah seketika, berehat.

Andai masih hampa, masih kecewa
dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa.

Jangan lupakan Dia.
Allah,  yang memberi ujian dan menerima
setiap permohonan.






BICARA YB/ SEPI

Alhamdulillah.

Menyepi bukan bererti lupa.
Kau tetap di hati.

Teristimewa Untukmu.