Ahad, 30 April 2017

BICARA YB/INSAF

Alhamdulillah.

Jangan berbangga    jika masa lalu kita adalah kebahagiaan.
Masa kini kita adalah kegembiraan. Kerana  masa hadapan
yang bakal mendatang tidak berada di dalam pengetahuan.

Tatkala kita memandang dengan mata dan hati yang sakit
kepada orang yang telah tua dan nyanyuk sebenarnya kita
terlupa satu perkara. Pengakhiran hidup kita bukanlah
mengikut yang kita pinta.

Rasa insaf dan simpati adalah sangat bermakna berbanding
 menghina.





Khamis, 13 April 2017

BICARA YB/TERPILIH


ALHAMDULILLAH.

Pagi ini mendapat berita tentang saudara sebelah suami
yang  meninggal dunia.

Penghulu segala hari yang penuh keistimewaan. Beruntung
dan bertuahlah hamba Allah  yang TERPILIH.

Al fatihah.
Semoga Allah menjadikan kita insan TERPILIH  juga.
BERDOALAH.


Isnin, 10 April 2017

BICARA YB/KETENTUAN

Alhamdulillah.

Kadangkala kita sering  mengatakan sesuatu perkara yang
berlaku adalah  kebetulan.

Bagi saya pula, semuanya adalah ketentuan tuhan.

Sebenarnya masalah katarak di mata saya telah hampir 2 tahun
memerlukan pembedahan. Namun saya biarkan sahaja,  kerana
masih mampu melihat dan tidak mengganggu sangat penglihatan
saya.

Pada  bulan Februari yang lalu saya dan suami pergi ke Hospital
Trendak Melaka. Sebagai bekas tentera,  suami   berhajat menggunakan kemudahan pembedahan oleh doktor pakar mata yang ada
di hospital tersebut.

Disebabkan suami tidak membawa bersama maklumat sejarah
 perubatannya yang lalu, maka tarikh temujanji untuk suami
bertemu doktor pakar tidak dapat dilakukan, sedangkan saya
 beroleh tarikh pada 22.5.2017.

Atas kehendakNYA.  Allah temukan saya dengan pegawai bertugas
 yang berhati mulia di bahagian pakar mata. Dia menempah awal
nama suami dan nama saya untuk tarikh serupa meskipun suami
tidak melepasi pemeriksaan pertama.

Alhamdulillah. Setelah diusahakan,  dua minggu selepas itu, suami
juga berjaya mendapatkan maklumat sejarah perubatan lama daripada
klinik kesihatan Ayer Keroh .

Sahlah bahawa pada  22.5.2017 kami akan bertemu doktor pakar.

Pada pertengan bulan Mac pihak hospital menelefon saya.
Memaklumkan, ada kekosongan pesakit untuk pembedahan.

Jadi saya dan suami diminta hadir untuk bertemu doktor pakar pada
 28 .3.  2017.

Subhanallah. Memang DIA telah permudahkan.

Hari ini saya dan suami akan menjalani pembedahan katarak  mata.

Suami di tingkat 1 dan saya di tingkat 3 Hospital Trendak Melaka.

Masih terbayang dimata saya semasa hendak menentukan tarikh
 pembedahan.

 Jururawat itu berkata.

"Ok,  makcik dengan pakcik saya beri tarikh pembedahan yang sama ye,  11.4.2017". Tanpa kami minta. 

Saya dan suami tersenyum. Tapi dalam hati saya tertanya-tanya

"Siapa nak jaga siapa ni?"

Allah akan menjaga kami. Doakan kami.











Bersama pesakit lain sedang menunggu giliran untuk pembedahan.








Ahad, 2 April 2017

BICARA YB/ PERTEMBUNGAN EMOSI


PERTEMBUNGAN EMOSi

Di dalam mendidik anak -anak yang istimewa  cabaran 
sentiasa menanti.  Semakin berat masalah yang dihadapi
oleh anak-anak ini,  makin besarlah cabaran kepada ibu bapa
di rumah  dan guru di sekolah  di dalam membantu mereka.

PERANAN GURU

Apabila anak ini mula bersekolah, guru mesti  menentukan
objektif yang perlu   dicapai   selepas dilakukan ujian diagnostik 
atau pemerhatian keatas mereka.

RPI (Rancangan Pengajaran Individu) jangan sekali kali diabaikan. Ia merupakan panduan penting untuk  membantu   guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran  dengan lebih terarah.

RPI yang tidak dirancang dengan teliti akan melambatkan
pencapaian objektif pembelajaran.

Guru perlu ada inisiatif yang lebih untuk memikirkan cara  
bersesuaian dengan keperluan murid. Bersungguh-sungguh di dalam membantu murid mencapai objektif yang telah dirancang.

Kesungguhan guru sangat penting di dalam membantu perkembangan 
dan kemajuan  anak istimewa ini. 

Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak ini semasa 
pengajaran dan pembelajaran di sekolah, harus ditangani dengan 
lebih rasional dan bukan mengikut emosi.

Terutama sekali masalah berkaitan pengurusan  tingkahlaku 
dan urusdiri.

Menyalahkan ibubapa sahaja tentang masalah anak-anak 
adalah kurang tepat. 

Peranan guru ialah menyampaikan maklumat tentang kemajuan 
murid mengikut jangkamasa yang telah ditetapkan di dalam RPI, 
disamping selalu berbincang dengan ibubapa tentang kepentingan 
bantuan daripada mereka di rumah. 
 

PERANAN IBU BAPA

Di rumah pula, ibu bapa perlu ada inisiatif untuk melakukan  
kesinambungan pengajaran dan pembelajaran.

Masa mereka di rumah lebih panjang berbanding di sekolah.  
Oleh itu peluang ini tidak sepatutnya dilepaskan  oleh ibu bapa 
begitu sahaja.

Semakin banyak latihtubi atau pengulangan sesuatu kemahiran
 berlaku, harapan untuk melihat mereka berdikari  semakin cerah.

Tidak dinafikan terdapat sesetengah ibubapa yang tidak 
mempunyai sebarang pengalaman atau pengetahuan di dalam
membantu meningkatkan perkembangan pendidikan anak-anak ini.

Meskipun begitu, situasi  ini tidaklah wajar dijadikan alasan 
oleh ibu bapa untuk berlepas tangan daripada  melaksanakan 
tanggungjawab   mereka di rumah.

Pelbagai media boleh  digunakan untuk  mencari bahan rujukan
 yang boleh dijadikan panduan.


Kini peluang mendapatkan  ilmu tentang pendidikan ke atas 
anak anak istimewa terbentang luas berbanding di awal tahun 
90an, semasa bidang pendidikan ini  baru diperkenalkan di Malaysia.

PERBINCANGAN

Adakalanya kegagalan anak anak ini menguasai sesuatu 
kemahiran yang dipelajari,  menimbulkan keresahan hati  
ibubapa yang tidak bersabar. 


Tahniah kepada ibu bapa  yang sudi untuk bertemu guru dan  
bertanya serta berbincang tentang perkembangan anak anak 
mereka. 

Namun terdapat juga ibubapa yang lebih suka berbunyi 
di belakang  berbanding bersemuka sehingga menimbulkan 
cerita negatif tentang guru.

Keadaan ini akan menimbulkan kemarahan di kalangan
guru-guru yang telah berpenat lelah membantu anak anak 
ini di sekolah.  

Akan timbul juga salah faham yang menyebabkan  kedua
dua belah pihak saling menuding jari  dan  berusaha
 mengenengahkan kelemahan antara satu sama lain. 

Jika emosi  marah yang bertembung antara guru dan ibu
bapa ini telah menjadi perkara utama yang dibincangkan 
setiap hari , maka objektif untuk membantu anak istimewa
 ini tidak lagi merupakan satu kepentingan.


Meskipun tidak ada bukti yang tepat tentang perkara ini 
namun pengalaman saya selama hampir 31 tahun menjadi
 pendidik menunjukkan bahawa pertembungan emosi marah 
 diantara guru dan ibu bapa  adalah antara faktor penyebab yang
 boleh membantutkan pekembangan ilmu anak istimewa ini.

Segera membuat perbincangan untuk menyelesaikan masalah 
adalah lebih baik berbanding terus salah menyalah.

Sabtu, 1 April 2017

BICARA YB/PENGURUSAN TINGKAHLAKU

Alhamdulillah.

Allah menjadikan anak-anak istimewa dengan berbagai
masalah tingahlaku. Pengurusan tingkahlaku untuk mereka
bukanlah  satu mata pelajaran yang patut di ajar apabila tiba
waktunya.

Malahan pengurusan tingkahlaku untuk mereka adalah
merentas kurikulum dan perlukan tindakan  sertamerta
setiap kali ianya berlaku.

Berbagai tingkahlaku negatif boleh mereka lakukan sepanjang
waktu berada di sekolah.

Contohnya, menjerit di tapak perhimpunan, berlari
di dalam bilik darjah, bermain air di dalam tandas,
bertolak-tolak di kantin ataupun merayau-rayau di dalam
kawasan sekolah sewaktu menanti ibubapa untuk pulang.

Pendek kata sebaik mereka sampai ke sekolah sehinggalah
mereka pulang, tingkahlaku negatif mereka perlu diperhati dan
dilaksanakan pengurusannya oleh guru dan pembantu
pengurusan murid.

Jika semua guru dan pembantu pengurusan murid
bertindak membantu mereka dan ibu bapa membuat
kesinambungan di rumah,  Insya Allah tingkahlaku negatif
mereka dapat diatasi dengan cepat dan jayanya.