Jumaat, 14 Februari 2014

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/SYUKUR

Salam kasih sayang untuk pengunjung blog.

Rasanya terlalu lama tidak melontar idea disini.
Tiada keizinan daripada Allah untuk   aku menulis,
meskipun  deretan cerita harian masih bersusun menanti
giliran.

Tentang tajuk syukur ini, inginku titipkan sebuah kisah
untuk renungan bersama.


"Saya rasa betul-betul susah dan tidak gembira apabila 
ditukarkan cikgu. Tak tahu mengapa badan saya sakit-sakit 
dan semangat  bekerja saya terus hilang apabila berada 
disekolah baru  itu". Luahan hati dilontarkan dihadapanku.

"Puas saya solat hajat  dan berdoa agar saya dapat kembali
ke sekolah ini semula" dia menyambung lagi.

Guru itu sebenarnya di arahkan bertukar sekolah yang dekat 
dengan tempat tinggalnya.
Jarak rumah dengan sekolah terlalu jauh.

Namun atas sebab kesihatan, dia  terpaksa membuat rayuan
untuk  kekal disekolahku. Dia lebih rela memandu berpuluh 
kilometer setiap hari untuk sampai ke sekolah berbanding 
sekolah baru yang dekat  dengan tempat tinggalnya.

Ujian besar untuknya didalam menuju arah menjadi orang yang
sentiasa bersyukur.

Selama berada disekolahku,  dia akan sampai  lebih awal berbanding 
guru lain yang tinggal berdekatan dengan sekolah. 

Hakikatnya,  dia. telah membuktikan kebenaran bidalan
"Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih".


"Saya dah niat cikgu, kalau saya dapat pindah semula ke sekolah
Ini saya akan memberi sedikit  sumbangan untuk PPKI." Sambungnya 
lagi.


Masya Allah. Dia lebih méngetahui akan segala rahsia disebalik semua 
peristiwa. Kesungguhannya selama ini bukan hanya dengan perkataan.
Kesakitan yang dia lalui beberapa minggu menyebabkan 
dia menjadi orang yang paling bersyukur.

Lebih rela menanggung kesusahan perjalanan yang jauh, asalkan
diberi Allah nikmat kesihatan dan kegembiraan dalam bekerja.

Dia menyerahkan kepadaku wang berjumlah Rm 1000  sebagai 
memenuhi nazar  dan tanda syukur dapat  kembali mengajar 
di sekolah ku.

Peristiwa yang  membolehkan kita sama-sama bermuhasabah diri. 
Betapa selama ini   terlalu banyak nikmat yang kurang kita  syukuri 
berbanding  guru muda ini.

Kita hanya pandai mengeluh dengan ujian yang ada. Lambat 
kesekolah dengan berbagai alasan. Tidak menghormati segala 
peraturan.  

Memarahi anak-anak murid diatas setiap kesilapan. Diri sendiri
penuh dengan  kesilapan  yang tidak cuba dibetulkan

Berapa ramai antara kita yang dapat mencontohinya.
Apa yang bersarang dalam kehendak nafsu kita ialah kemudahan
dan bersenang lenang.  Menganggap semua tugasan selain 
mengajar menyusah dan membebankan. 

Terlalu berkira dan bertanya 
"Mengapa saya yang kena lakukan dan bukan dia"

Mungkin kita belum diuji seperti guru muda itu. 
Menyebabkan kita kurang bersyukur dan sambil lewa dalam
kebanyakan amanah yang kita terima.

Semua yang ku tulis adalah satu nasihat untuk diri sendiri. 
Juga rakan-rakan yang sudi untuk memahami.

Semoga kita semua sentiasa menjadi orang yang mensyukuri 
segala nikmat yang diberi Allah. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan