Selasa, 31 Oktober 2017

BICARA YB/ BERGURU

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.


Kami adik beradik  banyak berguru dengan emak.
Sejak boleh bertutur dan mengenal nama benda.
Sehinggalah kami kini telah lanjut berusia.

Bermula entah  usia berapa.
Kami  sendiri terlupa.
Sukar untuk meneka.
Lantaran telah berlalu terlalu lama.

Emak bukan pensyarah.
Juga bukan guru.
Hakikatnya emak sendiri  tidak tahu.
Membaca juga menulis rumi.

Dua kekuatan yang ada pada emak.
Boleh membaca jawi dan mengaji.

Syukur. Alhamdulillah.

Dengan ilmu yang ada itu.
Satu persatu ilmu diturunkan kepada kami.
6 orang putera dan 5 orang puteri.

Bukan melalui kuliah.
Tidak ada buku nota.
Tidak ada hari penilaian.
Buat  menguji keberkesanan.

Namun….
Segalanya melalui tingkahlaku emak.
Pesanan dan ingatan tulus daripada emak,
Kadangkala melalui leteran emak.
Juga melalui cerita-cerita kisah silam emak.

Kami tontoni dan dengari setiap hari.

Kami contohi dan tauladani.
Kegagahan  dan ketinggian semangat emak.
Umpama tembok batu yang kukuh.
Menghalang angin dan ribut.
Di dalam mendidik dan  membesarkan kami.

Kami contohi dan tauladani.
Cekalnya emak.
Mengharung lautan kehidupan.
Yang  sering berombak besar.
Sejak dulu hingga kini.
Mungkin hingga,
akhir  hayat  emak satu hari nanti.

Kami tahu.
Bukan emak tidak pernah berdukacita.
Kerenah 11 orang anak-anak emak berbagai rupa.
Kesukaran hidup sering menjelma.

Namun emak ada Allah tempat meminta.
Saban waktu solat dan akhir malam.
Kami lihat, emak merendah diri.
Sujud kepadaNYA buat mencari kekuatan hati.

Solat dan doa.
Itulah ilmu paling berharga.
Emak telah  turunkan kepada kami.
Sebagai bekal untuk menemani.
Buat membesarkan zuriat keturunan emak nanti.
Emak dikaulah suri tauladan kami.


Khamis, 26 Oktober 2017

BICARA YB/SOLAT

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Ingatkan ahli keluarga tentang solat.

Dirikan di awal waktunya.
Berjemaah untuk lelakinya.
Biarpun mereka tak endah.
Jangan mengalah.

Terus ingatkan, terus ingatkan dan terus ingatkan.

Jangan kecewa.

Mengapa mereka tidak mahu solat?
Atau....
Mengapa mereka lewatkan solat?

Kerana mereka masih diberi olehNYA berbagai 
perkara meskipun derhaka.

Kerana mereka tidak yakin dengan siksaan di kehidupan
kali ke dua.

Biarlah kita penat sekarang mengingatkan mereka.
Asal jangan kita tersiksa di alam sana kerana terlupa.

Isnin, 2 Oktober 2017

BICARA YB/ MEMORI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.


Menyelak kembali memori itu.
Emak mula mengajar mengaji sejak tahun 1957.

Bermakna telah 60 tahun tugas ini digalas.
Dengan penuh minat. Tidak mengenal penat.

Sehingga kini, jika hendak dibawa bercuti,
beliau akan memastikan jadual mengajinya berganti.

Hasilnya,  8 daripada 11 anak emak boleh mengajar
anak-anak sendiri mengaji.

4 orang daripadanya telah menjadi guru mengaji. 
Sebenarnya, emak sangat garang apabila mengajar mengaji.

Rotan tidak lepas ditangan.
Mulut tidak berhenti menegur.
"Menderas, menderas, menderas!"
(Maksudnya lancarkan bacaan)
"Jangan berbual!"

Semua muridnya taat. Menurut perintah.
Tidak berhenti membaca. Tidak ada yang
berani berbual.

Mungkin juga gerun melihatkan rotan emak
yang panjang menjulur.

Selagi semua murid tidak selesai diajar, dia tidak
membenarkan seorangpun daripada mereka bangun 
meninggalkan tempat mengaji masing-masing.

Memang lama. Hampir 2 jam baru selesai semua.
Tidak ada pula yang berani cakap mahu  balik cepat. 

Tidak ada juga ibu bapa yang bertanya .
"Mengapa lambat sangat?"

Pada hari persekolahan,  kelas mengaji akan  berlangsung
pada waktu petang dan malam.
Pada hari cuti pula,  ia dilaksanakan pada sebelah pagi.

Murid mengaji emak sangat ramai.
Lebih daripada 20 orang setiap satu sesi.

Seingat saya seawal usia 10 tahun saya dan adik- adik 
telah khatam Al- Quran.  Kami menggalas sama tanggungjawab
membantu emak mengajar mengaji.

Dengan izin Allah. Atas usaha emak, atas kesungguhan 
anak murid beliau, dan keikhlasan ibu bapa menyerahkan
tanggungjawab mendidik kepada emak, ramai yang
telah khatam Quran di tangan emak.

Ada juga yang telah menyambung tugas ini di dalam keluarga 
dan tempat tinggal masing-masing.

Namun, saya amat yakin ada di antara mereka yang tidak
akan terlupa dengan penangan rotan daripada emak.

Sakitnya. Bercalar. Berbekas.  Namun kini mereka telah berjaya.

Saya adalah di antaranya.

Manakala abah pula menjadi guru disiplin kepada kelas 
mengaji emak. Mendisiplinkan anak-anak sendiri agar  
tidak mencuri tulang untuk mengaji sama.

Abah akan naik angin andai  emak mengadu tentang adik-adik.
Pernah sekali seorang daripada  adik perempuan saya telah 
dicampak oleh abah kedalam parit tempat emak membela itik, 
kerana tidak mahu mengaji.

Parit itu tidaklah sedalam mana. Namun sangat kotor.
Pekat hitam airnya.

Hingga kini kami akan ketawa besar apabila mengimbas
kembali kenangan itu.

Masya Allah. Kelihatannya zalim.

Namun, kesannya. Jauh lebih baik daripada
yang dijangka.

7 daripada 8 orang anak adik saya  ini telah bergelar hafiz 
dan hafizah ketika belasan  tahun.

Kini arwah abah sedang memetik hasil di alam sana.
Seorang demi seorang cucu dan cicit arwah mengkhatam 
30 juzuk Al Quran, di dada dan mulut mereka.

Ada yang telah mengimamkan solat, juga ada yang  sedang
menurunkan ilmu al Quran kepada anak  Islam yang lain.

Yang masih tinggal kini ialah emak.
83 tahun usianya.

Teguh, kukuh semangat keguruannya.
Masih mengajar mengaji. tanpa kacamata.

"Menderas, menderas, menderas".

Perkataan 60 tahun yang lalu itu masih keluar daripada
bibir tuanya.


Mungkin selagi ada roh di jasadnya yang semakin 
kurang bermaya.









Ahad, 1 Oktober 2017

BICARA YB/ UNTUNG/RUGI

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

"Untunglah orang yang belajar tentang tempat
sebenar mereka akan pergi"

Itulah  kata seorang  ustaz.  Dalam cemarah bertajuk
Alam Barzah.

Menilai diri sendiri. Saya berani mengatakan.

Banyak perkara wajib yang masih saya
berlengah-lengah.

Perkara sunat juga saya ringan-ringankan.

Saya sebenarnya  telah banyak kerugian.