Ahad, 19 Julai 2015

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PUISI UNTUK EMAK

Bismillahirrahmanirrahim
Emak...
Tatkala melihat dirimu yang  semakin uzur,
Hatiku digamit untuk menukilkan sesuatu,
Buat santapan mata dan  hati
Semua zuriat keturunanmu.
Emak...
Melihatkan kejayaan anak-anak mu
Boleh dibayangkan betapa hebatnya dirimu,
Menjadi guru kepada 11 orang cahayamata,
Tanpa dirimu sendiri tahu menulis dan membaca,
Allahuakhbar. Allah Maha Besar.
Semua anak-anak emak  telah berjaya,
Dunia dan semoga  akhiratnya.
Berkat didikanmu hanya  seorang guru mengaji.
Emak...
Hati ini  sering dijentik kesedihan
Mengenangkan kembali ,
Kesempitan hidup yang pernah emak  lalui,
Ranjau halangan yang tidak pernah berhenti,
Doamu yang tidak pernah bersempadan
Dalam membesarkan kami,
Semoga Allah membalasi syurga buat  emak.
Emak,
Masihku ingat.
Tatkala azan bergema dinihari,
Tangan dan mulutmu tak pernah berhenti.
Mengetuk pintu  bilik  dan meleteri
Menggesa anak menantu segera menunaikan seruan Ilahi
Masa itu memang kami  marah.
Lena  dan mimpi  kami diganggu.
Namum emak..
KIni baru kami merasakan , asbab leteranmu,
Membawa banyak kejayaan dalam kehidupan keluarga kami,
Telah lahir dari rumah-rumah kami,
Hafiz hafizah, daie,  daieyah, ustaz ustazah juga pemegang ijazah.
Tidak ternilai syukur dihati kami
Kerana Allah menjadikan emak, emak kepada kami.
Banyak yang kami pelajari dari emak.
Tentang urusan dunia dan akhirat,
Tentang pentingnya ibadah,
Tentang pentingnya usaha, doa dan tawakkal,
Tentang pentingnya satu hati dalam keluarga,
Tentang  pentingnya sifat adil pada anak-anak,
Tentang ketulusan hati,
Tentang sifat rendah diri,
Tentang pentingnya memaafkan orang ,
Tentang  tanggungjawab anak-anak pada ibubapa dan mertua,
Tentang banyak lagi,
Bukan melalui kuliah,
Namun....melalui perlakuan.
Emak...
Masih kuingat.
Dalam sukarnya kehidupan emak,
Tidak pernah emak terlupakan cucu -cucu,
Apabila menjelang raya.
Sekayu kain sama warna emak belikan
Minta dijahitkan untuk semua cucu-cucu emak,
Pakaian  sama dipagi raya.
Subhanallah. Maha suci Allah.
Emak sentiasa jadi suri  tauladan bagi kami..
Emak idola kami,
Emak sentiasa dihati kami.
Doakan kami emak
Halalkan segala makan minum kami,
Maafkan kami,
Tanpa emak siapalah kami,
Kerana di telapak kaki emak,
Terletaknya syurga kami.

1 Syawal 1436 H
Teratak kasih abah.
Padang Temu. Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan